AKU terus menundukkan wajah apabila pandangan Ammar masih tertumpu padaku. Dia seperti dapat mengenali diriku. Ah, apa patut aku buat ni? Zaril pula ada di sini. Takkanlah aku nak pergi tegur Ammar kut? Atau, takkanlah aku nak berpura-pura tidak mengenali Ammar jika lelaki itu tiba-tiba datang menegurku? Takkan pula aku nak tarik Zaril pergi dari situ secara tiba-tiba? Berbagai-bagai persoalan kini bermain di mindaku. Hatiku juga resah tatkala memikirkan semua itu.
“Kenapa ni, sayang? Something wrong?” soal Zaril dengan wajah tertanya-tanya. Dia cuba melihat semula ke arah yang aku lihat tadi. Apa agaknya yang difikirkan Zaril ketika itu. Mungkin dia fikir yang aku ini sudah gila agaknya. Ah, peduli apa. Janji Ammar tidak dapat mengecam aku.
Tapi…kalaulah aku tidak tegur Ammar sekarang, bila lagikah peluang untuk aku berjumpanya begini? Ini sudah menjadi suatu kebetulan yang sungguh ajaib sekali. Ammar di semenanjung dan juga kini di hadapan mataku sendiri. Bila lagi aku nak cari peluang sebegini untuk bersemuka dengan Ammar? Bukankah ini yang aku mahukan sejak dulu lagi?
“Tak ada apa-apalah. Saya salah orang. Ingatkan kawan saya tadi..” aku berbohong, masih menundukkan wajah. Zaril kelihatan mengangguk-angguk perlahan, namun wajahnya masih diselubungi tanda tanya. Aku risau jika Zaril perasankan cara aku memandang Ammar tadi.
“Excuse me, saya nak ke tandas sekejap. Boleh, kan?” soalku laju. Aku sudah tidak tahan lagi menunduk. Aku ingin lari dari situ, mengelak dari Ammar.
“Okey, pergilah. Abang tunggu kat sini aje..” jawab Zaril dengan anggukan kecil. Aku menarik nafas lega lalu mula bangun, mengatur langkah ke arah tandas yang berdekatan.
“Assalamualaikum..” ucap seseorang dari arah belakangku. Langkahku yang tadinya laju tiba-tiba terhenti. Kedua belah kakiku terasa longlai, lemah tidak bermaya. Suara itu memang teramat dikenali olehku. Suara yang selalu aku rindui. Suara Ammar. Aku menelan liur tanpa menoleh ke belakang. Jantungku usah dikata lagi, sudah laju berlari. Bagaimana lagi harusku melarikan diri?
“Erm..awak ni..” getus Ammar lagi, dari belakangku. Aku takut untuk menoleh. Aku bimbang dengan penerimaan Ammar. Sudah lama betul aku dan dia menyepi tanpa khabar berita. Takkanlah dia masih ingat padaku? Aku menelan liur lagi, terdiam tanpa sebarang kata. Aku benar-benar gugup kini.
“Awak…” panggil Ammar lagi. Aku menarik nafas dalam-dalam lalu cuba menoleh. Ammar kelihatan tenang sambil tersenyum manis.
“Memang betul. Aku tak salah orang, kan? Ini betul-betul kau?” Ammar terjerit kecil, kegirangan. Memang aku boleh lihat air mukanya yang berubah gembira. Sangat gembira.
“Apa yang awak cakapkan ni? Awak ni siapa?” soalku, berpura-pura tidak mengenali Ammar. Tiba-tiba Ammar terkedu setelah mendengar kata-kata yang baru aku ucapkan.
“Jangan pura-pura lagi. Aku tau, inilah gadis aku yang pernah aku sayang..” balas Ammar perlahan dan yakin. Matanya menyorot ke halaman wajahku, mencari sinar kepastian.
“Erm..awak jangan nak melebih. Saya tak kenal awak!” bidasku sambil memalingkan wajahku darinya. Aku ingin segera berlalu namun lenganku tiba-tiba digenggam erat. Ammar menarik lenganku supaya badanku menghadapnya semula. Aku cuba menyembunyikan wajah, bimbang Ammar mampu meneka perasaanku ketika ini yang begitu kacau bilau. Hatiku kini bagai ingin meletup, jantungku pula berdegup kencang.
“Sayang..dah lama aku tunggu kau. Kenapa kau pergi macam tu aje? Aku tetap tunggu kau..sampailah sekarang ni, aku dah dapat sambung pelajaran aku kat semenanjung ni. Aku masih sayangkan kau, tahu tak..?” Ammar mula berkata-kata. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa aku ingin menangis ketika ini. Betapa sebaknya jiwaku kerana tidak mampu untuk berkata apa-apa pada insan kesayanganku ini. Aku juga masih terlalu sayangkan kau, Ammar. Sungguh! Aku cintakan kau..batinku menjerit kuat.
“Aku cintakan kau. Tolonglah jangan pergi dari hidup aku lagi..” rayu Ammar dengan wajah yang cukup sayu. Dia mencapai jemariku, lalu dia genggam erat. Perlahan-lahan jemariku dibawa ke dadanya.
“Apa awak ni? Tak malu, ke? Pegang tangan orang macam ni! Awak ingat, saya ni apa??” aku menguatkan hatiku lalu menarik tanganku dari genggaman Ammar walaupun pada hakikatnya aku begitu terharu dan ingin mengalirkan air mata. Aku menahan gelora perasaan, bimbang air mataku tumpah di hadapan Ammar.
“Aku tak sangka, kau boleh buat aku begini. Aku mintak maaf, aku takkan ganggu kau lagi. Mungkin betul kata mak aku. Aku tak sesuai untuk kau. Mungkin kau lebih sesuai untuk orang lain yang lebih baik dari aku..aku pernah cakap, tak apalah kalau kau nak tinggalkan aku pun, aku tak kisah asalkan kau bahagia bersama orang lain yang lebih layak..aku tak kisahkan hati aku ni. Semoga kau bahagia..assalamualaikum..” balas Ammar dengan suara yang sungguh kecewa, namun dia masih boleh mengukir senyuman paling manis buatku. Aku nampak matanya yang mulai digenangi air, lalu perlahan-lahan dia mengatur langkah, berlalu dari situ.
Aku hanya mampu melihat dengan deraian air mata yang kini sudah tidak segan menuruni pipi mulusku. Ammar kini semakin jauh dan semakin jauh pergi dariku. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir kami berjumpa. Kali pertama yang dulunya aku bayangkan berjumpa Ammar dengan penuh rasa kebahagiaan, namun rupa-rupanya perjumpaan pertama kalinya ini bertukar menjadi perjumpaan yang penuh dengan kedukaan. Ammar!! Jangan pergi!! Aku cintakan kau. Betul, aku sayangkan kau!! Ammar….rintihku di dalam hati yang kian membengkak. Kakiku kini terasa lemah dan longlai. Aku sudah tidak mampu untuk berdiri lalu aku jatuh terduduk ke atas lantai.
*************************************
AKU mengelap air mata yang masih mengalir. Sejak semalam aku berkurung di dalam bilik tanpa mahu bercakap dengan sesiapapun. Hatiku pedih memikirkan kembali bagaimana sengsaranya hati Ammar ketika aku berpura-pura tidak mengenalinya. Jiwaku terasa hancur luluh apabila mengenangkan perasaanku yang terlalu ingin meluahkan kata-kata cinta pada Ammar namun tidak kesampaian. Ammar kini mungkin sudah tidak mahu berjumpaku lagi dan dia mungkin akan terus hilang dari hidupku.
“Aku cintakan kau. Tolonglah jangan pergi dari hidup aku lagi..” kata-kata Ammar tempoh hari masih bermain-main di benakku tanpa henti. Air mataku mengalir lagi, lebih deras dari tadi. Kini badanku terhenjut-henjut menahan esak tangis yang semakin menjadi-jadi.
Seminggu lagi aku akan dinikahkan kepada Zaril. Hatiku terlalu berat untuk menerima kenyataan tersebut selepas pertemuan dengan Ammar tempoh hari, namun apakan daya, ibuku sudah riuh sekampung tentang aku yang bakal bernikah. Aku tidak mahu ibuku mendapat malu sekiranya aku tiba-tiba membatalkan niatku mahu bernikah dengan Zaril. Dan kini aku redha dengan ketentuan yang Allah SWT telah tetapkan dalam diari hidupku yang kini penuh dengan air mata. Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku, aku tahu itu. Mungkin Zaril boleh membahagiakanku selepas kami berkahwin.
****************************************
AKU dan Zaril kini berada di sebuah kedai emas. Dia sedang sibuk memilih cincin untuk pertunangan dan juga perkahwinan kami yang bakal berlangsung dua hari lagi. Aku hanya menurut sahaja apa kehendak Zaril untuk majlis yang bakal berlangsung. Aku sudah malas mahu berfikir. Jiwaku kini sedikit tenang memerhatikan burung-burung yang sedang berterbangan di luar sana. Indah sungguh kejadian alam ciptaan Allah SWT. Setiap sesuatu yang Allah jadikan mempunyai tujuannya yang tersendiri, masing-masing melengkapi peredaran alam semesta ini.
“Cincin ni, okey kan?” soal Zaril tiba-tiba, lalu lamunanku terus terhenti. Aku cuba memandang redup mata lelaki itu yang sedang menginginkan jawapan dariku. Aku hanya mengangguk perlahan selepas melihat sekilas pandang sahaja cincin di tangan Zaril.
“Hmm..sayang, tak happy ke?” tanya Zaril sambil meletakkan cincin tadi ke atas meja cermin di hadapan kami. Dia mengeluh kecil buat seketika. Matanya kini merenung ke dalam mataku. Mungkin sedang mencari sinar kejujuran.
“Saya okey aje..” balasku selamba, tanpa melihat ke wajah Zaril. Aku tahu, Zaril dah banyak bersabar dengan kerenahku yang semakin hari, semakin dingin terhadapnya. Dan agaknya dia tahu kenapa. Aku masih tidak dapat melupakan Ammar. Dia tahu itu.
“Sayang masih tak dapat lupakan lelaki tu, ke?” soal Zaril dengan renungan tajam, terus-menerus ke dalam mataku yang mula mengecil. Jiwaku rasa tersentuh apabila Zaril tiba-tiba sahaja membangkitkan perkara tentang Ammar.
“Dahlah. Kita dah nak kahwin pun lagi dua hari. Takkanlah awak still nak tanya saya perkara macam ni kot?” getusku perlahan. Malas mahu bertekak sebenarnya.
“Abang bukannya apa, abang cuma..”
“Cuma apa? Dahlah. Tak payah risau lagi. Saya takkan lari masa nak akad nikah tu. Saya takkan jadi milik sesiapapun selain awak. Puas hati dengan pengakuan saya ni?” bidasku segera, ingin menamatkan perbualan mengenai Ammar di situ sahaja.
“Bukan itu yang abang mahu! Abang nak kahwin dengan seseorang yang cintakan abang! Bukannya yang jasadnya aje yang abang boleh miliki, tapi hatinya jugak..sayang faham maksud abang?” jelas Zaril dengan wajah yang serius. Aku menelan liur, tidak tahu apa yang perlu aku jawab.
“Saya dah cakap, saya akan jadi milik awak. Takkanlah hati saya ni tak setuju pulak? Kenalah setuju. Kalau hati saya ni tak setuju, hanya jasad aje takkanlah saya boleh rela kahwin dengan awak ni? Bersyukurlah dengan apa yang Allah dah berikan. Dah jodoh saya dengan awak, saya terima jugak. Mungkin nanti Allah akan berikan perasaan cinta itu balik. Masa aje yg boleh menentukan semua ni..” ujarku dengan wajah yang kini sudah kemerahan. Geram dengan pertanyaan demi pertanyaan dari Zaril.
“Mungkin sayang tak faham…” balas Zaril dengan wajah sugul.
Dia terpaksa mengalah lagi. Aku bersimpati juga pada Zaril, namun mulutku bagaikan terkunci dari terus berkata-kata. Biarlah aku merana kerana semua ini mungkin ada hikmah disebaliknya. Aku harapkan Zaril tidak akan menyalahkan aku kerana sikap dinginku ini, aku berharap sangat-sangat. Setiap hari aku akan berdoa supaya Allah memberikan yang terbaik untuk diriku dan juga buat semua orang.
****************************************
AKU berjalan-jalan sendirian di tepi jalan untuk ke perhentian bas berdekatan. Fikiranku seperti biasalah, akan jauh menerawang entah ke mana. Aku memikirkan kehidupanku selepas bergelar isteri kepada Zaril pada keesokan harinya. Aku terpaksa pasrah kini, dengan takdir Allah. Impianku untuk bersama Ammar kini sudah tidak dapat diteruskan lagi sejak kata putus diberikan oleh ibuku supaya aku mengahwini Zaril beberapa bulan yang lepas.
Ketika itu aku menangis sendirian sepanjang malam di dalam bilik, tanpa di ketahui ibu dan juga ahli keluargaku yang lain. Mereka sangkakan bahawa aku sudah melupakan Ammar kerana aku sudah boleh menerima Zaril, namun tidak semudah itu untuk aku melupakan dia. Ammar terlalu istimewa dalam hidupku, sehinggakan keistimewaannya itu tidak mampu untuk aku ungkapkan dengan kata-kata. Aku terpaksa menerima Zaril semula kerana kasihankan ibuku yang saban hari risau dengan keadaan aku yang bagaikan mayat hidup. Takkanlah aku nak mengecewakan ibuku lagi? Ibuku sudah banyak berkorban sejak aku kecil lagi.
Fikiranku terus menerawang jauh. Dalam tidak disedari olehku, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh dua lelaki tiba-tiba melintas di sebelahku lalu beg tangan yang sedang digalasku terus diragut. Semuanya berlaku begitu pantas sekali, sehinggakan aku juga tidak menyangka perkara sebegini akan menimpaku.
“Tolongg!! Ya Allah!! Peragut..!” jeritku meminta tolong.
Tiba-tiba sahaja seorang lelaki datang dari arah belakangku lalu berlari mengejar motosikal tadi yang baru sahaja melepasiku. Lelaki itu mengambil sebatang kayu yang berada di tepi jalan lalu membalingnya ke arah peragut-peragut tadi. Kayu itu berjaya mengenai kepala penunggang motosikal berkenaan, menyebabkan motosikal yang ditunggang tidak dapat dikawal lalu kedua peragut tersebut terus jatuh serentak ke atas jalan raya. Nasib baiklah ketika itu tiada kenderaan lain yang berada di atas jalan raya berkenaan, kalau tidak sudah tentu peragut-peragut itu sudah kehilangan nyawa.
Lelaki tadi berlari mendapatkan peragut-peragut tadi, dengan dibantu oleh seorang lagi rakannya. Seketika kemudian, ramai lagi orang yang turut membantu lelaki tadi memberkas peragut-peragut berkenaan. Aku cuba mengamati wajah lelaki yang membantuku itu. Ammar? Hatiku terus berdebar-debar saat terpandangkan wajah lelaki tercintaku itu. Mataku mula bergenang dengan air jernih. Ya Allah, pedihnya perasaanku ketika ini. Aku terus merenung wajah itu semahu-mahunya.
Ammar masih tidak perasankan aku ketika itu kerana dia masih sibuk memegang seorang peragut yang cuba melarikan diri. Ya Allah, adakah ini suatu kebetulan yang berlaku sekali lagi? Atau adakah ini adalah petunjuk dari-Mu bahawa dia adalah jodohku yang aku tunggu-tunggu selama ini? Kakiku sekali lagi terasa longlai lalu aku jatuh terduduk di tepi jalan. Sayunya hatiku ketika ini apabila memikirkan segala kebetulan yang berlaku. Kebetulankah ini? Atau mungkinkah ini sebenarnya adalah jodoh? Seperti yang telah Allah tunjukkan padaku pada malam aku menunaikan solat Istikharah hampir setahun yang lepas? Ya Allah, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Mengetahui…
“Cik tak apa-apa? Jangan risaulah, kami dah tangkap peragut-peragut tu. Nanti polis datang ambil dia orang. Ini beg cik tadi..” suara Ammar kedengaran menampar gegendang telingaku.
Aku terus mendongak laju. Air mata yang tadinya bergenang, kini ku biarkan sahaja mengalir deras ke pipi. Ammar kelihatan terkesima saat terpandang wajahku. Itupun wajahku yang sedang menangis.
“Kau..tak apa-apa?” soal Ammar lagi, cuba menahan perasaannya. Aku tahu dia sedang gelisah kerana melihat aku menangis. Memang sudah menjadi kelemahan dia apabila aku menangis-nangis begini. Selebihnya, dia mungkin resah menahan gelora perasaannya juga. Mungkinkah dia masih sayangkan aku sepertimana aku yang masih setia mencintai dirinya?
“Ni, beg kau..tapi, kenapa kau menangis ni? Kau ada cedera kat mana-mana ke?” Ammar mulai risau selepas melihat aku yang masih menangis tanpa henti. Beg tanganku yang masih tidakku sambut, di letakkan oleh Ammar ke atas ribaanku. Dia lalu duduk di sebelahku dengan keluhan demi keluhan. Ternyata Ammar keresahan mendengar tangisanku yang masih berlagu, dia tidak berani menyentuhku.
“Kenapa kau muncul lagi? Kenapa?” soalku berkali-kali tanpa aku sendiri sedari. Perasaanku kini begitu terseksa. Aku mahukan Ammar! Aku nakkan dia tenangkan hatiku sepertimana hari-hari indah yang pernah aku lalui bersamanya dahulu. Apabila dia memujukku ketika aku sedang kesedihan atau menangis begini. Aku benar-benar rindukan saat itu. Memang aku tidak dapat menafikan semua ini lagi.
“Maksud kau?” keluh Ammar perlahan, dengan kerutan di dahi. Dia masih merenungku sedalam-dalamnya. Melihatkan renungannya itu, aku terus terkelu lalu menundukkan wajah. Entah mengapa, jantungku bagai ingin meletup saat itu. Bisanya renungan dari sepasang mata yang redup itu.
“Aku tak nak ganggu kau lagi, Mar. Aku tak nak. Kau belajarlah dengan tenang. Aku takkan ganggu kau lagi..” balasku dengan esak tangis yang masih bersisa. Ammar mula tidak senang duduk apabila aku terus-terusan menangis. Dia nyata kegelisahan!
“Iya, aku faham juga. Aku pergi dulu. Sorry, kalau dengan kehadiran aku kat sini telah buat kau menangis. Aku minta maaf. Aku takkan muncul lagi di depan kau..”
“Mar…” panggilku sayu. Entah mengapa aku menjadi begitu lemah begini apabila berhadapan dengannya. Aku mahukan Ammar! Aku nak dia..hatiku menjerit pilu.
“Iya..” Ammar menyahut lembut. Kelembutan suaranya ternyata membelai perasaanku.
“Kau..sihat? Pelajaran kau..okey?” aku bertanya lagi. Kali ini aku lebih tenang. Tangisanku sudah berhenti tatkala Ammar ingin berlalu dari situ. Ternyata aku tidak menginginkan dia pergi begitu sahaja. Aku mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. Cuba mengukir senyum pahit buat lelaki itu.
“Aku sihat. Pelajaran aku pun okey..sekarang ni aku belajar di Politeknik Perlis. Tempat kau belajar dulu jugak..” jawab Ammar tenang. Ya, dia memang selalu tenang. Ketenangannya itulah yang membuatkan hati aku juga selalu merasa tenang.
“Mar..aku mintak maaf pasal hari tu. Aku ..tak sengaja buat-buat tak kenal kau. Aku..rasa bersalah sangat-sangat buat kau begitu..” jelasku dengan rasa menyesal. Aku mengeluh kecil.
“Tak apa, aku faham jugak. Mungkin kau terkejut kot. Jumpa aku di sini dengan tiba-tiba..”
“Mar..sorry..sebab tinggalkan kau..”
“Tak apa, aku masih tunggu kau ni..aku cuma tak faham, kenapa kau pergi macam tu aje..” balas Ammar dengan wajah yang masih boleh tersenyum. Itulah Ammar. Selalu tersenyum. Biarlah apapun yang orang lakukan padanya, dia masih boleh bersabar dan tersenyum.
“Ada orang sms aku, cakap jangan kacau kau. So, aku rasa baik aku tak ganggu kau lagi. Sebabnya, masa depan kau masih jauh Mar..” terangku, menjawab soalan Ammar tadi. Ammar ternyata kelihatan terkejut. Masakan dia tidak mengetahui tentang sms tersebut?
“Ya Allah! Siapa yang sms pada kau tu?”
“Entahlah, Mar. Nombor yang tak dikenali…” balasku lagi.
“Hmm..aku rasa, itu kerja abang akulah. Sebab dia pernah cakap yang aku ni masih muda nak bercinta-cinta..” kata Ammar dengan wajah geram. Siapa yang tidak geram? Sekian lama dia dan aku terseksa kerana satu sms. Ammar kelihatan terdiam tanpa sebarang kata. Aku tahu Ammar sedang berfikir dan ingin bertenang.
“Mar..aku mintak maaf. Sebab terlalu ikutkan kata-kata yang dihantar dalam sms tersebut..” ujarku lambat-lambat.
Aku mengeluh penuh penyesalan. Air mata mulai bergenang lagi di kelopak mataku. Apa lagi yang boleh aku lakukan? Esok aku sudah bakal bergelar isteri kepada Zaril. Hatiku kini sudah dibebani kepiluan yang teramat sangat. Akhirnya titisan-titisan jernih mulai gugur jua ke pipiku.
“Syhh..jangan menangis lagi. Kita boleh mula semula, kan? Hmm, sayang? Aku masih sayangkan kau seperti dulu. Kita mula balik, okey sayang?” Ammar cuba memujukku. Mendengarkan perkataan sayang itu, membuatkan hatiku kembali hancur luluh. Jiwaku terasa nanar. Segala-galanya sudah tidak mungkin lagi, Mar. Aku menangis teresak-esak ketika tangan Ammar menyentuh lembut bahuku, ingin menenangkan hatiku.
“Mar, aku mintak maaf. Esok, aku bakal bergelar isteri orang…maafkan aku!” sebaik sahaja kata-kata itu lahir, aku terus bangun lalu terus beredar dari situ. Sempat aku mengerling ke arah Ammar buat seketika. Sebak benar dadaku tatkala terpandangkan wajah terkejut Ammar itu. Ternyata lelaki itu kelihatannya begitu kecewa. Maafkan aku, Ammar. Aku sayangkan kau..tapi..
*************************************
SEMUA orang begitu sibuk menguruskan majlis akad nikah yang bakal berlangsung pada malam ini di masjid berdekatan rumahku. Aku kini sudah siap di solek dengan solekan nipis sahaja. Ibuku begitu teruja tatkala menatap wajahku yang tidak lama lagi bakal bergelar isteri orang. Aku cuba berpura-pura gembira di hadapan keluargaku yang kerap kali datang menjengukku di dalam sebuah bilik di masjid berkenaan. Namun, perasaan didalam hati ini siapalah yang tahu betapa aku terseksa dan berdebar-debar.
Aku masih terbayangkan wajah Ammar, kelembutan suaranya dan juga ketenangan wajah lelaki itu. Aku cuba menahan air mata dari gugur, sedaya upayaku. Aku tidak mahu kegembiraan keluargaku bertukar kegusaran mereka. Aku akan berkorban asalkan semua orang dapat bergembira. Biarlah aku yang merana, biarlah aku sahaja yang menangis sendirian menangisi nasib diriku ini.
“Jom, Along. Dah sampai masanya..” panggil ibuku dengan senyum simpul. Dia ternyata bahagia di hari bahagiaku ini. Hari bahagiakah ini? Entahlah. Aku hanya boleh berpura-pura bahagia di hadapan semua orang. Aku akui, aku tidak mampu lagi untuk tersenyum ketika hampirnya aku menjadi isteri Zaril seketika nanti. Tetapi aku akan cuba supaya air mata ini tidak mudah gugur.
Aku duduk diatas permaidani di tengah-tengah ruangan masjid berkenaan. Dari jauh, aku sudah dapat melihat Zaril yang sedang bersedia di hadapan orang yang bertanggungjawab untuk mengendalikan akad nikah kami. Hatiku tiba-tiba bagai dicengkam pilu yang teramat, lalu wajahku ditundukkan. Aku mencengkam kain baju kurungku, menahan rasa yang berbuku di hati. Relakah aku? Ya Allah, kuatkanlah hati hamba-Mu ini…janganlah biarkan aku sendirian dalam menempuhi dugaan sehebat ini yang telah Engkau turunkan untuk mengujiku. Ya Allah, bantulah aku melepasi rasa kekecewaan ini..aminn..aku berdoa didalam hati.
Dengan segala kudrat yang ada, aku cuba mendongak kembali tanpa setitis pun air mata yang keluar. Ya, Allah telah memberikanku kekuatan. Aku sudah mampu untuk tersenyum apabila dua tiga orang wanita pertengahan usia di sekelilingku mengukir senyum padaku. Aku pandang sekeliling, ingin melihat para hadirin yang hadir memeriahkan majlis akad nikah ini. Ramai juga teman-temanku yang hadir. Aku hanya tersenyum kembali apabila mereka tersenyum kepadaku.
Di celahan orang ramai, aku dapat melihat kelibat seseorang yang teramat aku kenali berada di luar masjid. Ammar? Ya Allah, dugaan apakah lagi yang telah Engkau turunkan kepadaku kali ini? Kuatkanlah hatiku..peliharalah aku dari perasaan kecewa ini. Peliharalah juga hatinya dari kecewa setelah melihat diriku yang bakal bergelar isteri orang seketika nanti.
Aku nampak Ammar sedang mengalirkan air mata dari kejauhan. Aku tahu, dia teramat kecewa. Tetapi apakan dayaku? Aku terlalu ingin berlari ke arahnya, ingin mengesat air matanya dari terus keluar. Namun aku sudah tidak boleh lagi. Semuanya sudah terlalu lambat. Dan, segala-galanya adalah salahku kerana membiarkan satu sms membinasakan hubungan kami. Maafkan aku, Ammar. Aku cintakan kau..kerana itulah aku lepaskan kau pergi..
Ammar masih merenungku dengan deraian air mata yang tidak berkesudahan. Aku juga kini merenung ke arahnya tanpa sebarang kata-kata yang lahir. Hatiku sahaja yang kian memberontak kerana pertama kali aku melihat Ammar menangis. Dan kalaulah aku mendengar suara tangisannya yang tidak pernah sekalipun aku dengar selama aku kenal dengannya, tentu aku tidak akan dapat menahan rasa lagi. Aku cuba buat tidak tahu, tetapi tak boleh. Mataku akan tetap memandang ke arah Ammar dengan seribu satu rasa yang kini berkumpul di dalam hatiku. Perasaan sayuku sudah tidak tertahan lagi apabila Ammar membuat isyarat ‘I love you’ dengan isyarat tangan. Akhirnya air mataku juga tumpah..
Kini semua mata sudah memandang ke arahku apabila mereka terdengar bunyi esak tangisku yang semakin berlagu sayu. Zaril juga begitu, turut memandang ke arahku.
“Kenapa ni, nak?” soal ibuku lembut.
Dia memegang tanganku erat-erat. Aku hanya mampu menangis dalam esakan. Mataku masih tetap memandang ke wajah Ammar yang kini semakin terseksa apabila terlihat tangisanku. Ibuku juga memandang ke arah yang sedang dipandang olehku. Semua hadirin kini turut menghalakan pandangan ke arah Ammar. Mereka ternyata tertanya-tanya dengan keadaan yang sedang melanda.
“Siapa tu, nak?” soal ibuku lagi, separuh berbisik. Bimbang ada orang yang mendengar. Aku tergeleng-geleng lemah. Kelu lidahku untuk berkata-kata. Hanya air mata yang terus mengalir.
“Itu adalah cinta hati dia, mak cik..” suara Zaril kedengaran dengan tiba-tiba. Aku terus mendongak dan memandang ke wajah ibuku yang begitu terkejut mendengar kata-kata Zaril.
“Apa maksud kau ni, nak?” ibuku bertanya, kurang pasti. Semua hadirin juga turut memandang ke wajah Zaril, menantikan kata-kata seterusnya dari lelaki itu.
“Saya dah tak boleh, mak cik. Anak mak cik tak cintakan saya lagi. Saya rasa, saya tak patut paksa dia kahwin dengan saya. Saya patut lepaskan dia dari dulu lagi. Saya memang sayangkan dia dan saya tak nak tengok dia sengsara begini. Biarlah walau apapun yang jadi lepas ni, saya nak dia happy sentiasa..dan, dia sepatutnya bersama cinta hati dia itu..” jelas Zaril dengan sebuah senyum pahit. Jari telunjuknya menunjuk ke arah Ammar yang masih tercegat di luar masjid.
Dia kini akur dengan takdir yang telah Allah SWT tunjukkan kepadanya. Benarlah kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya. Kita manusia hanya mampu merancang, namun Tuhanlah yang menentukan segala yang berlaku. Zaril merenung redup wajahku yang kini sedang kuyup dengan air mata. Ibuku benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku. Aku juga terkesima dengan kata-kata Zaril itu. Bagaikan tidak percaya Zaril boleh berkata begitu di hadapan semua orang.
“Buat kali terakhir, izinkan abang panggil sayang dengan panggilan sayang lagi. Ermm..abang lepaskan sayang. Abang relakan sayang kahwin dengan dia..” kata Zaril lagi dengan suara yang kian berat. Aku tahu, jiwanya tentu terseksa apabila terpaksa mengeluarkan kata-kata itu yang merupakan duri berbisa buatnya.
Dan semua hadirin kini kelihatan terkejut sambil bercakap-cakap sesama mereka. Tentulah mereka kini sedang membuat spekulasi mereka tersendiri. Dan Zaril terus bergerak ke arah Ammar lalu menjemput lelaki itu naik serta masuk ke dalam masjid berkenaan.
***************************************
“Muhammad Ammar Izzul Islam bin Paiman, aku nikahkan dikau dengan Auni Amauni binti Mohd Affandi dengan mas kahwinnya RM80 tunai..”
“Aku terima nikahnya Auni Amauni binti Mohd Affandi dengan mas kahwinnya RM80 tunai..” ucap Ammar tenang. Tiada langsung rasa gentar dalam dirinya ketika melafazkan akad nikah. Hanya dengan sekali lafaz, aku kini menjadi isteri Ammar yang sah. Aku tersenyum bahagia. Bersyukur aku ke hadrat Ilahi kerana aku kini benar-benar telah menjadi milik Ammar.
Aku memandang wajah Zaril yang cuba tersenyum ke arahku. Aku kembali membalas senyumannya dengan linangan air mata. Aku tahu niatnya ikhlas demi untuk melihat aku bahagia. Ya, memang aku bahagia kini. Terima kasih Zaril, atas pengorbanan kau yang terlalu besar ini. Aku doakan semoga kau juga dapat mencari seseorang yang dapat membahagiakan diri kau..
************************************
AMMAR mencapai jemariku lalu diramasnya perlahan. Seketika, dia mengangkat jemariku lalu dibawa ke mulutnya. Dia mengucup tanganku dengan sepenuh kasih. Aku dapat rasakan air matanya menitis setitis ke jemariku yang masih berada di genggamannya. Aku segera memegang wajahnya, mengelap air mata yang mengalir tadi.
“Kenapa menangis pulak ni?” soalku laju. Ammar tersenyum cuma. Kebahagiaan jelas terpancar dari wajahnya kini.
“Aku betul-betul terhutang budi dengan Zaril. Boleh pula dia bagi semua duit yang dia kumpul selama ni untuk membolehkan aku kahwin dengan kau..pengorbanan dia terlalu besar. Walaupun dia beri aku pinjam aje duit tu…” Ammar berkata sayu. Aku teringat kembali cerita Ammar mengenai Zaril yang memberikan segala duit belanja yang dikumpul kepada Ammar supaya Ammar boleh mengahwiniku.
“Iya, yunk~ aku tahu..pengorbanan dia terlalu besar..aku tahu..” balasku juga sayu.
“Aku janji, aku akan bayar balik sebaik sahaja aku habis belajar tiga semester lagi..insyaAllah..” Ammar berkata perlahan. Aku nampak sinar kesungguhan di dalam matanya.
“Sekarang ni, macam mana pulak dengan aku ni?” aku mula bertanya soalan nakal.
“Macam mana apa?” soal Ammar dengan muka tidak bersalahnya. Aku tersengih. Ammar memang lambat pick up seperti biasa.
“Aku ni laaa….” dugaku lagi. Ammar masih lagi dengan wajah dungunya, membuatkan aku terasa nak cubit aje dia! Sebab comel sangat!
“Aku ni, nak makan apa lepas ni? Kau nak sara aku macam mana ni?”
“Kenapa? Kau dah rasa menyesal kahwin dengan aku sekarang ni?” duga Ammar dengan wajah risaunya.
“Hmm..macam mana nak cakap, ya? Bila fikir-fikir balik, sedalam-dalamnya..memang aku rasa….nyesal ni..” balasku dengan wajah yang cuba diseriuskan.
“Kenapa kau tak fikir habis-habis masa aku tanya kau tadi? Sayang, janganlah buat aku rasa macam ni…” Ammar mula mengerutkan dahi. Aku tahu dia gelisah kini.
“Entahlah. Aku rasa macam nak kahwin aje tadi. Aku malas nak fikir banyak-banyaklah. Baik aku terima aje..dah jodoh, kan?” usikku lagi. “Tapi…”
“Tapi apa pulak ni, sayang?” Ammar semakin tidak senang duduk.
“Tapi, aku tak kisahlah. Walau susah bagaimanapun kehidupan kita selepas ini, aku tahu, aku akan bahagia dengan jodoh yang telah Allah berikan padaku ini. Itupun jodoh yang telah Allah tunjukkan dalam solat Istikharah yang pernah aku lakukan dulu-dulu..tentulah jodoh ini adalah yang terbaik untuk diri aku, agama aku dan juga akhirat aku..aku sayangkan kau..” aku tersenyum. Jemarinya aku kucup dengan sepenuh rasa cinta.
“Sayang!!! Kenapa bergurau macam tu? Nak kena geletek ye?” Ammar juga tersenyum akhirnya sambil membuat wajah geram. Siapa yang tidak geram apabila dikenakan begitu. Namun jauh di sudut hati Ammar, aku tahu dia bahagia dengan kata-kata yang baru sahaja aku ucapkan.
“Tak nak, tak nak!!” aku terjerit kecil apabila tangan Ammar mulai menggeletek perutku semahu-mahunya. Aku kini bergolek-golek ketawa di atas katil bersama Ammar. Penat betul ketawa kerana digeletek teruk oleh Ammar.
“Ah, tahu pun takut dengan aku. Lain kali buatlah lagi. Aku buat benda lain pula…” ugut Ammar nakal. Dia tersenyum penuh makna.
“Maksud kau? Benda apa?” dugaku tanpa rasa takut sedikit pun dengan ugutan Ammar tadi.
“Adalah..something yang seorang suami akan lakukan kat isteri dialah…” Ammar terus-terusan membuat muka nakal. Aku menelan liur dan menggigit bibir. Hish, apa ni. Ugut dengan ugutan macam ni pulak! Aku mulai resah sendirian.
“Kau jangannn…nanti aku tembak kau dengan machine gun! Mahu?” ugutku balik. Ammar meledakkan tawa perlahan-lahan, membuatkan dadaku kini berdebar hebat.
“Cubalah. Ha, ni aku dah dekat ni..cubalah. Mana machine gun kau tu? Sejak awal perkenalan lagi kau asyik ugut aku dengan machine gun aje..cubalah guna sekarang ni..jaga-jaga, aku dah dapat capai kau ni, sayang..” Ammar memegang pipiku yang mula terasa membahang. Buat seketika, bibirnya melekap di pipiku. Aku terkedu sendirian, kaku tidak dapat bergerak walau sedikit pun.
“Ha..tahu pun takut. Sampaikan dah tak dapat dah nak keluarkan machine gun kau tu…dah kaku pun tu..” Ammar terus mengusik. Aku menarik muncung, merajuk.
“Ha, tarik muncung tu panjang-panjang, nanti aku….ehem-ehem!!” Ammar tergelak sakan apabila aku tiba-tiba mendengus marah.
“Aku sayangkan kau terlalu-lalu sayanggggggggg sangat-sangat tau tak?? Cinta sangat sama kamu ni sayangku..” Ammar mula mengucup dahiku pula.
Aku kini terharu lalu tersenyum bahagia. Alhamdulillah, aku kini milik Ammar. Aku berjanji bahawa aku akan terus mencintainya sehinggalah ke akhir nyawaku. Hanya dialah yang terbaik untuk duniaku, hidupku, agamaku dan akhiratku sepertimana yang aku doakan sewaktu menunaikan solat Istikharah tenpoh hari. Ya Allah, aku sememangnya yakin dengan takdir dan ketentuan-Mu yang semestinya terbaik buat hamba-hamba-Mu..
“Aku juga cintakan kamu, Ammar..” ucapku penuh syahdu….
hehe.. best ooo cite ni , :D.. rupa2nya abg c amar tu plak dalangnyer.. ades2.. ap pnya abg xspakat ngn adik.. aahaha xD.. keep up the good work ye sis auni.. hehe.. bwt lg bnyk2 novel , nak bacaaa.. haha xD..
ReplyDeletewhoahhh..happy ending..bestnya..haha bole pulak si zaril tu buat cenggitu?kesian la plokk kat si zaril tu..hehe tapi takpelah,ammar kena bayar balik duit pinjaman tu la gamaknye..hihi
ReplyDeletelast sekali tu scene yg sgt sweet..hahah..cayalah ammar.. =)
isk3,kecian sama zaril :(
ReplyDeletetp tapelah kan,,dia boleyh terime so baguslah akhirnya bahagia jugak si aku tu,,oo nama si aku tu auni ya?ahaha :P
oh my goshh!!
ReplyDeletehahah!!tak sangka ending begini,mati2 dah ingat 'aku' tu kawin dgan zarilllllll.........
oklah ni!thumb up for u sis! :)
Glad, lastly auni kawin gan ammar!hehehe really happy ending lah. sweet je.igtkan yg msg kat auni tu, mak ammar.
ReplyDeletethanks ya.
kira cita ni memang btol2 ikut apa yang sepatutnya kita buat bila nak cari jodoh yg paling baik untuk kita.so,pasni kita buatlah solat istikharah dlu sbelum mencari cinta.biar perasaan cinta tu wujud lepas dah nampak muka pasangan tu dalam solat istikharah,brulah kita meneruskan fasa seterusnya iaitu bercinta dan memupuk perasaan cinta tu supaya takder hati yg akan kecewa pada akhirnya......wallahualam... :)
ReplyDeletebtw,cita ni memang best.storyline yg memang banyak pengajaran..thumbs up,,, :)
hahahahaha
ReplyDeletexsngka dah abis dah pn cte nie,,
sweet lah auni ngn amar 2..
xsngka lak last2 diaowg kwen,,
hope lpas nie writer smbng lak pe yg jdik pls diaowg kwen.
msti bnyk dugaan kan??
2 zaril xsngka krna srng pmpuan snggup brkrban smpai cam 2.
pe2 pn gub job writer,,p)
hahahahaha
ReplyDeletexsngka dah abis dah pn cte nie,,
sweet lah auni ngn amar 2..
xsngka lak last2 diaowg kwen,,
hope lpas nie writer smbng lak pe yg jdik pls diaowg kwen.
msti bnyk dugaan kan??
2 zaril xsngka krna srng pmpuan snggup brkrban smpai cam 2.
pe2 pn gub job writer,,p)
very2 nice story.good job writer.. :)
ReplyDeletekeep up the good work!
best la sis..betui2 touching bile bace part sedih....
ReplyDeletep/s~watlaa banyak2 cerpen or enovel...sentiasa sokong sis selalu...gud luck ^^,
Best sgt..tp cian lak kat zaril..hehe...
ReplyDeletetersangat la sweetnye...i like.....=)
ReplyDeletebest sgt sgt !!
ReplyDeleteohohoho
ReplyDeletesuperb r citer
best best!!
wah best cite ni ada part yg mcm kat kuch2 hota hai la plak kan heee......heeee... tp x pe janji happy ending
ReplyDeletebest sgt2.. tulis lorh lg byk2 citew k.. hehehe :p
ReplyDeletebest2..
ReplyDeletebest2
ReplyDeletewahhh...
ReplyDeletenice cite nie..
suke2...
=)
Ammar tu mmg husband Auni kan. Kiranya, ni kisah benar ke? Sweet korang ni.
ReplyDelete-jaja-
Sikiiiiiiiiiitttt lagi nak TEEERRKeluar aing mata neee.. Keepit up sis!!!
ReplyDelete