ANUAR terduduk lesu di tepi meja makan. Badan ciliknya itu terasa menggigil melihat pertengkaran antara kedua ibubapanya di hadapan matanya sendiri. Tangan abangnya Firdaus mencapai tubuh Anuar lalu ditarik rapat ke dalam pelukan. Firdaus baru berusia 12 tahun manakala Anuar baru menginjak ke umur 10 tahun.
“Abang, kenapa dengan mama dan abah? Kenapa dia orang gaduh-gaduh? Adik tak suka tengok..” rintih Anuar dengan deraian air mata yang mulai turun ke pipi. Firdaus segera menyeka air mata di pipi adiknya itu dengan sepenuh kasih sayang.
“Sabar, dik.. Mama dengan abah bukan gaduh. Dia orang tengah bincang.. Jom kita masuk bilik, ya? Kita main Lego nak? Abang buat robot nanti untuk adik..” pujuk Firdaus lembut. Tangan kecil adiknya ditarik memasuki bilik meninggalkan Hasiah dan Badrul bertelagah sesama mereka. Hatinya kecewa melihat sikap ibubapanya yang selalu bergaduh tidak mengenal tempat itu. Depan anak-anak pun nak bergaduh.
Hasiah dan Badrul selalu bergaduh kerana Badrul tidak berpuas hati dengan isterinya itu yang selalu keluar rumah pergi membuat Direct Selling sehingga mengabaikan rumah tangga serta anak-anak mereka. Makan minum diri sendiri dan anak-anak terpaksa dilakukan oleh Badrul. Jika Badrul tidak benarkan Hasiah keluar pun, wanita itu akan tetap keluar dari rumah walaupun tidak mendapat keizinan.
---------------------------------------------
“AKU ceraikan kau! Hasiah binti Idris, aku ceraikan kau dengan talak satu!” tempik Badrul kuat. Kerana terlalu marah dan telah lama menyimpan perasaan kecewanya terhadap isterinya itu di dalam hati, dia tega mengeluarkan lafaz cerai tersebut.
Hasiah terpempan mendengar lafaz cerai yang dikeluarkan oleh suaminya itu. Jatuh terduduk dirinya ke atas lantai.
“Abang, maafkan Siah.. Siah bukannya apa, sebelum ni.. Siah nak cari duit, bang. Siah keluar cari duit untuk abang dan anak-anak kita tu.. Kalau harapkan gaji abang aje, tak mampu kita nak sekolahkan mereka tu. Nak kumpul duit lagi untuk universiti mereka bila mereka dah besar nanti.. Abang, sanggup abang buat Siah macam ni?!” sahut Hasiah, menangis-nangis memaut kaki Badrul.
“Abang dah lama bersabar dengan Siah.. Tahu tak hati abang ni hari-hari terluka.. Anak-anak lagilah. Langsung tak dapat kasih sayang seorang ibu yang sepatutnya dia orang dapat! Awak ni Siah, ada fikir ke semua tu? Kalaupun nak keluar cari duit, tolonglah bagi perhatian pada kami anak-beranak ni! Tu, tengok Anuar tu.. Tak kesiankan dia ke hah?!” jerkah Badrul sambil menuding jari ke arah Anuar yang berada dalam pelukan Firdaus.
“Abang, maafkanlah Siah.. Abang!” rayu Hasiah lagi.
“Dah, saya tak nak dengar lagi rayuan palsu awak tu! Dah, pergi kemaskan barang-barang awak. Saya hantar balik ke rumah mak awak!” kata Badrul tegas sambil berjalan pergi dari situ. Tangisan Hasiah langsung tidak diendahkan. Hatinya lebih luka kerana perbuatan isterinya itu.
-----------------------------------------
ANUAR sudah meningkat remaja ketika itu. Umurnya sudah masuk 14 tahun. Dia tinggal bersama mamanya dan abangnya Firdaus yang sudah berumur 16 tahun selepas abahnya meninggal dunia akibat terkena strok. Mamanya masih dengan perangai lama sejak bercerai dengan arwah abahnya beberapa tahun yang lepas. Masih aktif dengan Direct Selling. Bila tiba siang hari, Hasiah akan keluar mencari target. Hanya apabila malam melabuhkan tirainya, barulah Hasiah pulang ke rumah.
Anuar sungguh sedih kerana tidak mendapat perhatian mamanya itu, apatah lagi untuk merasai kasih sayang wanita itu. Apa yang mamanya pentingkan hanyalah duit. Alasan yang diberi, kalau tiada duit tak dapatlah menyara perbelanjaan anak-anak. Dan selama ini, hanya abangnya Firdaus sahaja yang memahami apa yang dirasai olehnya. Hanya Firdaus yang sudi menghulurkan kasih sayang.
“Anuar, aku tengok kau ni kan.. Kesian tau.. Mesti hidup kau penuh tekanan kan? Aku ada satu barang baik untuk buat kau lupakan semua masalah kau..” kata Ijan, salah seorang kawan lama Anuar sejak sekolah rendah lagi.
Ijan tahu segala yang berlaku pada Anuar, segala masalahnya dengan mama kawannya itu. Anuar mengerutkan dahi memandang Ijan yang sedikit terhoyong-hayang.
“Betul? Barang apa?” soal Anuar tidak sabar. Ijan mengeluarkan satu tin gam basikal lalu disuakan kepada Anuar.
“Eh, kau bagi aku gam ni kenapa? Apa kaitannya dengan lupakan masalah tu?” soal Anuar lagi, tidak yakin. Ijan tersenyum dengan mata yang kuyu.
“Kau letak separuh gam ni dalam beg plastik macam ni.. Lepas tu, kau letak kat mulut dan buat macam aku.. Tengok ni..” Ijan membuat demonstrasi bagaimana menghisap gam tersebut. “Nah, kau pulak yang cuba..”
“Eh, tak apalah.. Lain kali aje..” balas Anuar. Dia masih tidak yakin yang benda itu dapat menghilangkan masalahnya.
“Kau try ajeee… Aku gerenti kau mesti lupa masalah kau lepas dah hidu gam ni..” pujuk Ijan lagi sambil memberikan beg plastik tersebut pada Anuar.
Anuar mulai menghidu gam di dalam beg plastik tersebut. Sekali hidu, otaknya sudah terasa khayal. Dia bagaikan berada dalam dunianya sendiri. Dunia yang penuh dengan keseronokan dan tanpa sebarang masalah. Anuar mulai ketawa terbahak-bahak dengan mata yang kuyu seperti mata Ijan.
“Betullah apa kau kata!” laung Anuar sambil ketawa macam orang tidak betul. Begitu juga Ijan.
Sejak dari hari itu, Anuar selalu ke belakang belukar berhampiran rumah Ijan untuk menghidu gam. Rasanya jika sehari dia tidak dapat menghidu gam, ketagihan akan terasa bermaharajalela.
---------------------------------------------
“YA Allah! Kau buat apa ni, Anuar?!” tempik Hasiah kuat apabila ternampak bayang Anuar di dalam rumahnya sedang asyik menghidu gam. Bau gam juga sudah memenuhi ruang rumah tersebut.
Firdaus yang baru balik dari sekolah juga amat terkejut melihat adiknya itu yang sedang ligat menghidu gam. Anuar ponteng sekolah, lepas tu hidu gam? Firdaus segera berlari ke arah adiknya lalu menyentap plastik berisi gam tersebut. Dia segera menyembunyikan plastik gam itu di belakangnya apabila Anuar yang sedang mabuk itu tercari-cari.
“Mana?! Mana plastik aku hah? Kalau kau orang nak, buatlah sendiri! Tahu tak betapa susahnya aku nak jumpa penawar duka aku selama ni? Bagi balik!!” Anuar bertempik-tempik bagai orang hilang akal.
Hasiah sudah menangis teresak-esak melihat keadaan anak bongsunya itu. Ya Allah! Apa salah aku dalam mendidik dia? Sayu hati Hasiah berbisik. Sebak sungguh dia melihat Anuar yang sedang menari-nari dan bernyanyi macam orang tidak betul itu. Firdaus segera menghampiri tong sampah lalu membuang plastik gam tadi. Dengan cepat Anuar berjalan ke arah tong sampah itu lalu menyelongkar.
“Anuar! Bawak mengucap! Jangan hisap gam lagi.. Abang ada ni.. Ni abang.. Abang adik!” panggil Firdaus sepenuh hati. Dia juga sebak melihat keadaan adiknya itu. Dengan pantas dia merentap tangan adiknya yang sudah memegang kembali plastik gam tadi. Plastik itu jatuh semula ke dalam tong sampah.
“Hoi! Lepaslah! Kau orang mana tau apa yang aku rasa! Biarlah apa pun aku nak buat!” marah Anuar.
Pangg!! Sebuah penampar hinggap ke pipi Anuar. Firdaus memandang telapak tangannya. Inilah kali pertama dia memukul adiknya itu. Anuar menggigil seorang diri. Dia menahan keperitan di pipinya yang berbekas merah.
Firdaus tunduk. Dadanya turun naik menahan perasaan kasihan berselang-seli dengan rasa marahnya. Rasa kasih sayang juga begitu menebal terhadap adik kesayangannya itu.
Maafkan abang, adik.. Kata Firdaus di dalam hatinya. Matanya menyorot serta mengiringi langkah Anuar ke dalam bilik. Tubuh Hasiah yang terhenjut-henjut menahan esakan itu dipeluk oleh Firdaus sepenuh hatinya. Mama, maafkan Daus sebab tak berjaya membimbing adik.. Bisik Firdaus lagi di dalam hatinya.
-----------------------------------
HARI semakin hari, Anuar kini sudah berumur 17 tahun. Dia semakin teruk ketagihan gam. Dan dia terpaksa diberhentikan sekolah oleh pihak sekolah kerana suka membuat masalah. Sudah banyak pusat serenti dan juga hospital mental yang dimasukinya, semuanya membenarkan Anuar balik selepas melihat pada perubahan baik anak muda itu. Sebenarnya, perubahan baik itu hanyalah suatu lakonan untuk membebaskan dirinya dari dikurung di sana kerana apabila dia tidak menghidu gam, otaknya akan berfungsi dengan baik dan waras.
Malah, dia lebih pandai bercerita dan ceritanya lebih logik dari orang yang sentiasa waras. Sebab itulah semua orang percaya bahawa dia sudah pulih lalu menghantarnya balik ke rumah. Namun, bila di rumah Anuar akan kembali seperti dulu. Apabila dia menghidu gam, otaknya akan khayal dan dia akan menjadi seperti orang yang tidak waras.
Sudah penat Firdaus mencari ikhtiar bagi mengubati ketagihan adiknya itu namun gagal. Tambahan lagi, dia selalu sibuk di tahun pertamanya di sebuah universiti awam. Sukar untuk dia selalu pulang ke rumahnya, dia hanya boleh pulang pada masa hujung-hujung minggu sahaja.
Mama mereka pula, masih dengan aktiviti direct selling. Kadang-kadang Firdaus agak marah pada mamanya itu kerana dalam keadaan Anuar yang begitu memerlukan perhatian itu, mamanya boleh lagi keluar bekerja. Namun setelah difikir-fikir, mamanya keluar bekerja adalah untuk menyara mereka sekeluarga juga. Sebab itulah Firdaus mencuba sedaya-upayanya untuk berjaya dalam pelajaran. Bila dia dah bekerja nanti, tidak perlu lagi mamanya itu bersusah payah keluar bekerja. Dia akan menyara mamanya dan Anuar. Biarlah mamanya duduk di rumah sahaja tengok-tengokkan adiknya itu.
-----------------------------------------
“WALAU sesibuk mana pun kita, kita tetap orang perempuan. So, orang perempuan ni banyak tugasnya kat rumah tu. Nak uruskan makan pakai suami lagi.. Anak-anak lagi.. Tak ada alasan kita kalau buat direct selling ni, tak sempat nak buat kerja-kerja rumah dan uruskan masa dengan anak-anak di rumah tu.. Katalah nak keluar cari target pukul 10 pagi, bangunlah awal sikit.. Buat kerja-kerja rumah lepas tu beri masa sikit kat keluarga tu.. Ingat, ya? Tak ada alasan kita wanita berkerjaya ni abaikan keluarga semata-mata kerana tiada masa..” kata Ema iaitu General Manager syarikat penapis air Olym Star, syarikat direct selling yang selama ini memberikan pendapatan kepada Hasiah.
Hasiah tertunduk. Dia sedar akan kebenaran kata-kata Ema itu. Dengan helaan nafas yang berat, Hasiah beredar selepas mesyuarat ajen-ajen. Dia ligat memikirkan perihal Anuar dan Firdaus yang selama ini terabai kerana sikapnya yang begitu mementingkan wang ringgit sehinggakan tiada masa untuk diluangkan bersama keluarga. Arwah suaminya Badrul juga menjadi mangsa kurang perhatian darinya. Ya Allah! Berdosanya aku..
------------------------------------
KINI Anuar hampir berumur 19 tahun. Firdaus pula mencecah 21 tahun dan sudah tamat belajar. Setahun di matrikulasi dan tiga tahun di Universiti Utara Malaysia. Tidak lama lagi, Firdaus akan beroleh segulung ijazah selepas penat berhempas-pulas dengan pelajarannya. Harapannya selepas ini dia akan dapat membantu keluarganya yang bermasalah sejak dulu itu. Tak perlu lagi mamanya bekerja kerana dia yang akan menyara keluarganya itu. Biar mamanya duduk di rumah, berikan kasih sayang seorang ibu yang didambakan oleh adiknya sejak dulu lagi.
Walaupun mamanya sudah berubah sedikit demi sedikit dan meluangkan masa bersama Anuar di rumah, rasanya semua itu sudah terlambat kerana Anuar sudah menjadi seorang penagih tegar menghidu gam. Jika sehari dia tidak mendapat gam, mulalah dia bising-bising sehingga mengganggu jiran-jiran tetangga. Sehinggakan dia sanggup mencuri duit mamanya atau menyeluk saku orang untuk mendapatkan duit membeli gam apabila mamanya enggan memberikannya duit.
“Budak tak guna! Hidup kat dunia ni menyusahkan orang aje.. Kenapa kau tak mati masa kecik-kecik dulu hah?” hambur Pak long Nan dengan wajah sungguh marah. Mananya dia tidak marah. Sudah berkali-kali Anuar mencuri duitnya, malah mencuri ayam peliharaannya untuk dijual di pasar.
“Pak long ni nak marah-marah apahal? Bukannya saya bunuh orang pun! Setakat ayam seekor pun nak berkira sangat? Saya ni macam anak-anak pak long jugak tau? Anggap aje anak-anak pak long yang ambik ayam tu..” marah Anuar dengan wajah tidak puas hati. Pak Long Nan menarik nafas dalam-dalam menahan geram. Menjawab!
“Anak-anak aku tak ada seorang pun macam kau ni! Jangan samakan anak-anak aku dengan kau! Kau tu sampah masyarakat! Kau tu tahu nak menyusahkan mak kau dengan orang lain ajee!” jerkah Pak Long Nan lagi dengan sesungguh hati. Nafasnya tertahan-tahan.
Hasiah berlari-lari datang apabila terdengar bunyi kecoh-kecoh dari luar rumahnya. Dia terpaksa menebalkan mukanya lalu memohon maaf daripada Pak Long Nan. Wajah lelaki tua itu sudah kemerahan menahan marah dan sakit hati. Kalau diikutkan hatinya, nak sahaja dia panggil polis datang tangkap.
Tetapi, rasanya dah banyak kali juga Anuar masuk keluar lokap. Kalau masuk pun, polis akan melepaskannya kerana Anuar mempunyai surat perakuan dari doktor mental bahawa otaknya tidak berapa betul. Bahkan, kalau dia membunuh orang sekalipun dia takkan disabitkan kesalahan kerana dia mempunyai surat itu. Sebab itulah semua orang di kampung ini sangat takut dengan Anuar jika dia mengamuk.
“Kenapa kau nak bela lagi sampah masyarakat macam ni hah? Baik kau biar aje dia hidup kat tepi-tepi jalan tu.. Mengemis!” hina Pak Long Nan lagi.
“Maafkanlah dia tu.. Dia pun ada hati dan perasaan. Lagipun, dia tu anak saya.. Baik buruk dia tetap anak kandung saya.. Takkanlah saya sanggup biarkan dia merempat kat tepi-tepi jalan? Saya tak sanggup buang anak kandung saya sendiri. Saya mohon maaf.. Nanti saya bayar balik ganti rugi tu…” Hasiah bersuara lemah dalam perasaan sebak.
Semua ini salahnya kerana tidak memberikan perhatian pada anak-anak semasa mereka masih kecil hendak meningkat remaja. Kata orang, semasa anak-anak nak meningkat remajalah masa paling penting untuk diberikan perhatian sepenuhnya bagi mencorak masa depan mereka. Tetapi dia? Dia lebih pentingkan kerjayanya dari anak sendiri. Mujurlah Firdaus tidak begitu. Hasiah masuk ke dalam rumah bersama-sama Anuar yang masih berleter tidak henti-henti kerana rasa tidak puas hatinya pada Pak Long Nan.
“Jomlah, Nuar.. Abang Daus nak balik hari ni.. Kita ambil dia kejap lagi.. Dia dah sampai kat stesen bas kut..” pujuk Hasiah. Anuar yang mendengar nama abangnya terus terangguk-angguk. Sudah lama juga dia tidak bertemu abangnya itu. Rindu juga rasanya.
----------------------------------------------------
MALAM menjelma. “Jom, dik.. Kita ke kedai.. Mama suruh beli barang sikit.. Temankan abang jom?” ajak Firdaus apabila ternampak kelibat Anuar yang sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu rumah.
Dia malas ke kedai seorang diri. Sesekali dia nak juga peneman. Lagipun, dah lama juga dia tidak keluar bersama dengan Anuar. Lusa hari lahir Anuar, sebab itulah mamanya suruh membeli sedikit keperluan untuk buat makan-makan. Jamuan itu nanti juga adalah untuk meraikan dia yang sudah tamat belajar.
“Barang apa, bang? Hmm.. Pergilah sorang.. Penatlah..” rungut Anuar dengan wajah malas.
Firdaus tersengih melihat gelagat adiknya itu. Dia duduk di sebelah Anuar buat seketika. Kepala adik kesayangannya itu diusap lembut. Dia masih terbayangkan wajah Anuar ketika masih kecil dulu. Perasaan sayang dan rindunya pada Anuar terasa membuak-buak kini entah mengapa. Bagai mereka sudah lama betul tidak berjumpa dan akan berpisah lama pula selepas ini. Kerana mereka hanya dua beradik, Firdaus begitu sayangkan Anuar. Kerana Anuar adalah satu-satunya adik yang dia ada. Sejak dulu, kasih sayangnya pada si adik tidak pernah berubah.
“Jomlah, temankan abang. Jomlah.. ekk?” pujuk Firdaus lagi. Anuar terangguk-angguk. Dia bangun dari duduknya lalu berjalan mencapai baju t-shirtnya yang tergantung berhampiran. Mereka keluar beriringan.
--------------------------------------
“ADIK nak naik motor asing-asing? Okey! Tapi hati-hati ya? Ikut belakang abang!” ujar Firdaus tersenyum kecil memandang wajah Anuar yang juga tersenyum.
Mereka menaiki motosikal berasingan ke kedai untuk membeli barang-barang yang disuruh oleh mama mereka. Firdaus mendahului Anuar. Adiknya itu hanya mengikut dari belakang. Laju juga mereka membawa motosikal ketika itu. Sedang Firdaus leka melihat cermin sisi, mereka sudah memasuki kawasan yang gelap tanpa lampu jalan. Firdaus ingin memperlahankan motosikalnya namun sudah terlambat..
BANNGGG!! Kedengaran bunyi kuat di hadapan Anuar. Dia yang menaiki motosikal mengikut dari belakang agak terkejut mendengar bunyi kuat berkenaan. Suasana sangat gelap, jadi dia tidak dapat lagi meneka apa sebenarnya yang berlaku. Bayang abangnya juga sudah tidak kelihatan. Apa sebenarnya yang berlaku agaknya? Dia memberhentikan motosikalnya memerhatikan apa yang berlaku.
Alangkah sedihnya dia ketika itu menyaksikan Firdaus yang sudah berlumuran darah terbaring di atas jalan raya. Tubuh abangnya itu terperosok di bawah sebuah lori treler yang diparkir di tepi jalan. Rupa-rupanya Firdaus terlanggar belakang lori berkenaan kerana lori tersebut tidak memasang lampu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan tanpa lampu itu yang sangat gelap, Firdaus tidak nampak lori berkenaan di tepi jalan. Tiada drebar di dalam lori itu dan tiada apa-apa papan tanda diletakkan di belakang lori berkenaan. Nampaknya lori itu ditinggalkan sejak petang tadi. Mungkin.
Anuar meraung sekuat hatinya sambil menangis teresak-esak menangisi keadaan abangnya itu. Pantas dia menghampiri Firdaus lalu kepala abangnya itu dipangkunya.
“Abangg… Abangg…” panggil Anuar sambil teresak-esak menangis tanpa henti.
Mata Firdaus yang sedia terpejam, kini terbuka perlahan-lahan. Wajah adik kesayangannya muncul di pandangan. Dengan sebuah senyuman yang amat payah sekali untuk diukir, Firdaus mengangkat tangannya mengusapi kepala Anuar buat kali terakhir.
“Jaga mama..” pesanan Firdaus itu terngiang-ngiang serta bergema berkali-kali di dalam minda Anuar. Kemudian mulut Firdaus kelihatan berkumat-kamit mengucapkan kalimah syahadah.
Anuar meraung sekali lagi. “Abang!!!!!”
-----------------------------------------------
HASIAH mengelap air matanya. Hari ini sepatutnya hari mereka mengadakan jamuan kesyukuran sempena Firdaus tamat belajar dan hari ini juga jamuan hari lahir Anuar. Tetapi, jamuan kesyukuran itu telah bertukar kenduri tahlil arwah Firdaus yang sudah kembali ke rahmatullah. Hasiah menghampiri Anuar yang sedang mengasingkan diri di suatu sudut. Dia menyuakan sekeping kad hari lahir kepada Anuar.
“Nah, Nuar.. Arwah Abang Daus kau yang tulis ni.. Masa dia masih ada..” teresak-esak Hasiah ketika itu. Anuar pantas mencapai kad tersebut. Hasiah bangun sambil mengelap air matanya. Matanya sudah sembab dek kerana terlalu sedih meratapi pemergian salah seorang anaknya. Perlahan langkahnya diatur ke arah tetamu yang baru memasuki rumah mereka.
Kepada adik yang abang sayang..
Selamat hari lahir, adik! Abang doakan semoga adik panjang umur dan dimurahkan rezeki adik di dunia ni. Dah besar pun adik abang ni rupanya! Dah 19 tahun adik hidup kat dunia ni. Selama 19 tahun abang tengok adik membesar depan mata abang walaupun masa abang sambung belajar tu, abang tak ada bersama adik dan mama tapi abang selalu tau tanya pasal adik kat mama..
Abang harap, bila umur adik dah nak masuk 20 tahun ni.. Adik berubah demi abang dan mama kita.. Mama dah berubah kalau adik perasan. Dia dah jarang keluar kerja.. Dia duduk rumah jaga adik..
Nanti kalau ditakdirkan abang dah tak ada, siapa nak jaga mama kalau bukan adik, kan? Jadi, abang harap adik berubah demi abang dan mama.. Jadilah seorang anak yang taat pada mama, okey?
Selamat hari lahir, adik! Semoga adik cepat-cepat dewasa dan dapat kerja bagus-bagus. Boleh kahwin kan nanti? Abang teringin tengok adik kahwin.. :)
Salam sayang dari abang..
-Firdaus-
Air mata mengalir deras ke pipi Anuar. Kad hari lahir itu terjatuh ke lantai. Dia teresak-esak menangis sambil tidak henti-henti juga mengesat air matanya. Tidak dipedulikan lagi mata-mata yang memandang ke arahnya.
Kenangannya sejak kecil bersama Firdaus berputar-putar semula di benaknya. Bagai telah dirakam. Dia menangisi setiap satu kenangan yang hadir. Sejak kecil, hanya abangnya sahaja yang memberi perhatian dan kasih sayang kepadanya. Abangnya itulah yang selalu memanjakannya. Abangnya juga selalu mempertahankannya.
Tetapi selama ini dia telah dibutakan dengan GAM! Dia lebih suka menghidu gam daripada mendengar kata abang dan mamanya sendiri. Walaupun abangnya itu kerap menasihati, dia langsung tidak mahu mendengar kata. Apatah lagi kalau mamanya yang memberi nasihat. Semuanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Wajah Firdaus terus hadir menyucuk-nyucuk mindanya yang sudah sarat dengan ingatan terhadap abangnya itu. Abangnya itu memang tiada ganti. Satu dalam sejuta! Abangggg..! Raung Anuar di dalam hatinya.
------------------------------------------
ANUAR sudah berusia 33 tahun kini. Dia berjalan menghampiri pusara abangnya. Sambil memimpin tangan anaknya yang masih kecil berumur 3 tahun itu, wajah isterinya di sebelah turut dipandang sayu. Wajah tua mamanya yang sugul juga dipandang dengan sebuah senyum pahit. Setiap bulan, mereka akan datang menziarahi kubur Firdaus.
“Assalamualaikum, abang.. Nuar datang lagi bawa isteri dan anak Nuar.. Abang kan cakap teringin tengok Nuar berumah tangga. Ni, dah hampir empat tahun Nuar kahwin, bang.. Alhamdulillah, keluarga kami bahagia setakat ni dan harap kebahagiaan ni berkekalan sampai ke akhirnya.. Mama pun ada ni, bang! Kami hadiahkan Yaasin lagi untuk abang, ya? Semoga abang tenteram di alam sana..” ujar Anuar sambil duduk bersila di atas sebuah batu besar. Dia membuka Surah Yaasin, begitu juga isterinya dan juga mamanya yang turut membaca bersamanya.
Sejak kematian Firdaus dan sejak membaca kad hari lahir yang diberikan abangnya itu, Anuar cuba berubah walaupun cukup payah. Dia ke kelas bimbingan dan juga pusat serenti untuk memulihkan jiwanya. Dia juga banyak mengaji al-Quran dan juga bersolat jemaah di masjid. Apabila dia terasa ketagihan gam, dia akan perbanyakkan zikir munajat kepada Allah SWT. Dia cuba menyibukkan diri dengan kerja. Segala yang dibuatnya, semuanya kerja-kerja berfaedah.
Dia mendapat kerja sebagai kerani akhirnya selepas bersusah-payah mencari pekerjaan. Alhamdulillah, kini pangkatnya sudah naik ke Penolong Pengurus. Dia pun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang sihat dan sungguh comel.
Nuar dah ada sebuah keluarga, bang. Sebuah keluarga yang bahagia namun ianya akan lebih bahagia jika abang ada bersama… Tapi Allah lebih sayangkan abang.. Nuar redha.. Nuar harap abang juga bahagia di sana.. Bisik hati Anuar sayu.
p/s : maaf ye terbuat cerpen pulak utk n3 baru.. idea utk cerpen tiba2 muncul, utk novel terhenti kejap..huhu harap cerpen ni dihayati korang dgn sepenuh hati sbb 80% drp jalan citer cerpen ni adalah dari kisah benar.. :)
sedey... :(
ReplyDeletesedih.. :(
ReplyDeletesedih bnyer.......
ReplyDeleteuish, sedihnya. tapi banyak pengajaran. :)
ReplyDeletesdey..
ReplyDelete2la org cakap sesal dulu pendapatn,sesal kemudian da tak berguna...
tp syukurla kematian abang die 2 dapat kembalikan die ke pangkal jalan...
alhamdulillah
sedih but ade bnyk pengajaran...:)
ReplyDelete