1
WAKTU
pagi sememangnya waktu yang sibuk buat semua orang yang bekerja kecuali pada
hari minggu. Jam menunjukkan hampir ke pukul 8.30 pagi. Syazana yang sudah
bersiap-sedia untuk ke tempat kerja kini memakai kasut pula. Jam di pergelangan
tangannya dibelek seketika. Semerta otaknya teringatkan sesuatu. Matanya meliar
ke sekeliling sudut rumah sewa itu. Hana! Ya Allah, minah ni belum bangun ke?
Dia lupa ke hari ni hari Isnin? Adoiii! Syazana membuka kembali kasutnya.
Dengan pantas dia menuju ke bilik teman serumahnya. Pintu bilik diketuk
bertalu-talu.
“Hana!
Woiiii! Dah lewat ni! Kau tak nak pergi kerja ke?!” pekik Syazana sekuat
hatinya. Bibirnya dikemam-kemam apabila tiada sahutan daripada Hana. Geram.
Tangannya
mengetuk pintu lagi. Nak kena betul si Hana ni! Tangan aku pun dah sakit ketuk
pintu bilik dia! “Woii!! Hana! Kau tak kerja ke? Ya Allah.. Aku dah penat la.
Aku pergi dululah kalau macam ni!”
Pintu
bilik Hana terbuka dengan tiba-tiba. Ya Allah! Syazana mengucap dan
beristighfar berkali-kali. Rasa tidak percaya dengan apa yang baru dilihatnya. Wajah
Hana yang terpampang sedang tersengih itu membuatkan Syazana rasa mahu
mencekik-cekik leher Hana. Mana tidaknya, rupanya Hana sudah siap berpakaian
kerja dan menggalas beg sandang. Tapi, sempat ber’selfie’! Siap dengan monopod lagi
tu untuk selfie!
“Zana,
sini kejap! Sebelum pergi kerja, jomlah kita selfie dulu..” panggil Hana dengan
muka excited tak ingat dunia.
Syazana
menolak bahu Hana. “Selfie kepala hotak kau! Cubalah kau tengok jam kat dinding
tuuu! Dah pukul berapa? Kau kerja pun masuk pukul 9 kan? Kau dah gila ke, Hana?
Apa nak jadilah dengan kau ni. Kuat betul dengan selfie kau tu!” leter Syazana
panjang-panjang.
Hana
mencemik. Mulutnya berkumat-kamit mengajuk leteran Syazana. “Alah, baru 8.45
pagi. Bos aku tu baik.. aku selalu lewat 5 – 10 minit tapi dia takde pulak membebel macam kau ni.”
“Memanglah
dia tak membebel. Kalau tiba-tiba kau dapat surat berhenti kerja, macam mana?
Kau jangan ingat orang tu diam je, dia takde
fikir apa-apa. Orang yang pendiam lebih bahaya dari orang yang banyak mulut,
kau tau tak? Kena pulak yang jenis makan dalam dan simpan dalam hati. Bila dah meletup,
habislah kau!”
“Yelah,
yelah... daripada kau membebel ni, jomlah kita pergi kerja. Nanti lewat pulak!”
Hana malas hendak mendengar leteran Syazana. Tangan gadis itu ditarik
cepat-cepat lalu dibawa ke muka pintu.
“Kau
ni bila aku beri nasihat, mula la kau nak larikan diri..” kata Syazana geram.
“Alah,
aku tahulah. Besok lepas subuh, aku terus pergi kerja. Okey?” Hana tersengih
dan mengangkat kameranya. Menyempat lagi tu ber’selfie’ dalam masa yang sama
sedang bercakap dengan Syazana.
Syazana
tergeleng-geleng. Nak tergelak pun ada melihat gelagat Hana yang kelakar. Hanya
sebuah senyuman kecil dihadiahkan buat Hana. “Iyelah tu nak pergi kerja lepas
subuh. Hahaha!”
Syazana
memakai kasut lalu melambai pada Hana yang sedang menyimpan monopod ke dalam beg sandangnya. “Ewahh, perli
nampak?!”
Syazana
menjungkit bahu seraya menghidupkan enjin keretanya. Proton Persona SE milik
Syazana meluncur keluar dari garaj kereta rumah mereka. Hana mencemik. Dia
masuk ke dalam keretanya. Walaupun keretanya hanyalah kereta Perodua Kancil,
Hana sangat sayangkan keretanya itu. Sampai dah crowded setiap sudut keretanya itu dihias dengan teddy bear kecil dan perhiasan lainnya. Pink color gitu.
Dengan
wajah yang kembali excited, dia
membetulkan sedikit rambutnya dan sempat ber’selfie’ sebelum memulakan
perjalanan ke tempat kerjanya. Itulah hobi Hana semenjak sudah mempunyai
telefon pintar sendiri yang dibeli dengan mengorbankan sebulan gajinya.
Sampaikan Hana terpaksa berpuasa dan hanya memakan mi segera untuk
merealisasikan impiannya memiliki Samsung Galaxy S5 yang terbaru itu.
DATIN
Salmi mengerling kelibat Hana yang baru masuk ke dalam pejabat. Jam di dinding
menunjukkan pukul 9.05 pagi. Lewat lagi pekerjanya itu masuk kerja! Bulan ini
sahaja sudah 5 kali Hana datang lewat. Datin Salmi menggumamkan bibirnya kerana
geram. Tak boleh dibiarkan lagi si Hana ni! Dah buat macam office ni bapak dia yang punya pula.
“Hana..”
tegur Datin Salmi yang sudah tercegat di sebelah meja kerja Hana.
Hana
tersentak. Dia masih tidak berani untuk mendongak.
“Syarifah
Nur Hanani binti Ahmad,” panggil Datin Salmi beserta nama penuh Hana.
Hana
menelan liur. Dengan perlahan wajahnya diangkat. Sebuah senyum kambing
dipamerkan. Hatinya begitu cuak melihat wajah serius majikannya itu. Haih,
takkanlah apa yang Syazana cakap pagi tadi nak jadi kenyataan kut? Ya Allah,
bantulah hamba-Mu ini... Semoga bos aku tak marah aku sampai kena buang kerja..
amin.. wajah Datin Salmi ditiup-tiupnya sedikit dengan doa tadi.
“Ya,
datin...” sahut Hana teragak-agak.
“Awak
tahu apa kesalahan awak?” duga Datin Salmi.
Hana
menggigit bibir bawahnya dan menunduk. “Tahu, datin... datang lambat,” jawab
Hana perlahan.
“Ikut
saya ke bilik saya kejap,” ujar Datin Salmi tegas. Dia berlalu bersama Hana ke
dalam bilik pejabatnya.
Hampir
30 minit Hana di dalam bilik Datin Salmi. Sama seperti yang Syazana katakan
awal tadi, Hana telah dimarahi secukupnya kerana selalu datang kerja lambat.
Rupanya Datin Salmi yang nampak lemah-lembut dan pendiam pun pandai mengamuk
juga. Belum sampai setahun dia mengenali Datin Salmi kerana dia baru bekerja di
pejabat itu selama 6 bulan. Mujurlah Datin Salmi masih memberikan Hana peluang
untuk mengubah sikap datang lambatnya itu.
Hana
keluar dari bilik Datin Salmi dengan keluhan dan wajah sugul. Hairie yang
berjiran di sebelah meja kerjanya mengangkat kening tanda ingin tahu apa yang
dibualkan oleh Hana dan Datin Salmi. Hana buat tidak tahu kerana malas hendak
melayan Hairie yang memang suka menyakatnya itu. Kalaulah Hairie tahu, habislah
dia kena bahan nanti. Hana duduk di meja kerjanya, menyambung tugasan kelmarin
yang terbengkalai.
“Amboi,
sejak bila kau tak faham bahasa isyarat yang simple macam tadi? Aku tanya kau, apa dah jadi? Kau borak apa
dengan Datin Salmi tu?” Hairie memulakan bicara namun Hana masih berpura-pura
sibuk membuat kerja.
“Kau
tak payah nak buat rajin sangatlah. Kau jawablah pertanyaan aku dulu, baru buat
kerja kau..”
Hana
menjeling Hairie. “Amboi-amboi. Sibuk aje kau ni. Datin panggil aku tadi tu,
adalah hal yang kami bincangkan. Hal penting tau! Kau mana tau..”
“Kau
kena marah, kan? Sebab selalu datang kerja lambat. Aku tahulah, saja je aku nak
tanya kau! Hahahaha!” sembur Hairie dengan ketawa geli hati.
Terasa
menyirap darah Hana mendengar kata-kata Hairie itu. Dah tahu tapi sengaja nak
bertanya? Dia sengaja cari pasal lagilah tu! Hana mencubit lengan Hairie dengan
sekuat hatinya. Dipulas-pulas pula cubitan di lengan Hairie sehingga lelaki itu
menyeringai kepedihan lalu dilepaskan.
“Aku
gurau aje laa.. Kau ni apahal garang sangat macam singa? Harap muka je lawa dan
nampak lemah-lembut. Padahal, perangai dah macam jantan!”
“Haa..
kau tahu takut! Selama ni pun dah selalu kena cubit dengan sepak terajang
dengan aku, kau tak serik ke? Tahu nak menyakat aku aje kau ni!” bebel Hana
dengan wajah bengang. Fail yang terdampar di mejanya diambil dan diselak-selak.
Berura-ura mahu memulakan kembali kerjanya yang terbengkalai tadi.
Hairie
mengusap lengannya yang merah dan kepedihan. Sesekali dia mencuri jeling wajah
ayu jelita di sebelahnya itu. Rambut Hana yang ikal separas bahu itu direnung
lama, turun pula ke leher jinjang Hana. Gulp! Terasa tertelan air liur pula.
Hairie terus merenung alis mata Hana yang sedang tekun meneliti ke dalam fail
yang dipegangnya. Bibir yang kemerahan milik Hana pula dijamah matanya. Amat mempersonakan
sekali. Bertuahlah sesiapa yang memiliki gadis itu kelak.
Hana
perasan Hairie masih mendiamkan diri selepas kena cubit tadi. Terus kepalanya
dipusing ke arah kanan, memandang Hairie yang sedang mengelamun tak sudah.
“Woii! Kau tengok apa lagi? Kau buat kerja kau tu!”
Hairie
tersentak dari lamunannya. Dia tersengih panjang memerhati wajah cemberut Hana
di sebelahnya. “Kau ni kalau marah, lagi nampak lawa..” bisik Hairie perlahan.
Hana
bagai terdengar Hairie berkata sesuatu.
“Apa??!”
dahinya dikerutkan selaras dengan pertanyaan yang terbit.
“Eh,
mana ada aku cakap apa-apa pun? Kau ni laa... berangan! Dah, pergi buat kerja
kau tu...” ujar Hairie cepat-cepat. Ingin menutup bicara Hana.
Hana
mencebik. Kepalanya dipusing kembali ke hadapan. Matanya dicerunkan ke arah
fail tadi. Malas hendak mempedulikan Hairie lagi. Sebenarnya Hana tahu lelaki
itu ada menyimpan perasaan terhadapnya. Bukannya dia tidak perasan yang Hairie
selalu mengelamun sambil merenungnya. Cuma dia tidak betah mahu melayan blues
dan jiwang-jiwang ni. Hana seorang yang ceria dan suka berkawan.
Hana
juga jenis yang tidak kisah pandangan orang terhadap dirinya asalkan Hana tahu
dia tidak melakukan perkara yang salah. Kalau setakat orang nak mengata dia
gila selfie atau tak tahu malu asyik
bergambar sana-sini, Hana tak hairan langsung! Biarlah mulut mereka nak
mengata, bukan boleh tutup pun mulut manusia ni. Asalkan Hana tak melakukan
jenayah atau perbuatan yang tidak elok.
SEORANG
pemuda tegap dan segak bergaya turun dari sebuah kereta BMW 3 Series terbaru
Gran Turismo. Matanya melilau ke sekeliling kawasan ruang letak kereta di situ.
Hatinya terasa panas membara melihat tiada satu pun petak kosong untuk
memarkirkan keretanya. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Dengan tidak berlengah
lagi, dia melarikan jemarinya ke atas skrin Iphone 5S miliknya itu, menjawab
panggilan dari si pemanggil.
“Ya,
Shakir?”
“Wei,
Fir.. Eh, Yang Berbahagia Encik Firdaus Irham. YB kat mana? Dah penat saya
menunggu ni, haa.. Susah betul nak keluar dengan YB yang busy ni..” suara Shakir di hujung talian kedengaran tegang beserta
sindiran. Mana tidaknya, Firdaus sudah satu jam lambat.
“YB?
Apa kau merepek ni? Ala, kau sabarlah kejap. Aku tengah cari parking ni.
Bengang betul dari tadi aku pusing dah dekat satu jam belum dapat parking yang sesuai..” gerutu Firdaus
geram. Memang dari tadi dia mencari dan mencari parking yang dekat dengan pintu masuk kompleks membeli belah itu
tetapi tidak jumpa-jumpa.
Shakir
menepuk dahi. “Parking yang sesuai?
Maksud kau? Takkanlah satu pun takde parking dalam masa kau mencari parking tu? Come on laa.. Setahu aku, parking
lot sampai 5 tingkat!”
“Yelah,
ada tu memanglah ada yang kosong..”
“Habis
tu? Apa masalahnya? Parking aje
laaaa..” geramnya Shakir mendengar penjelasan Firdaus.
“Aku
nak parking yang dekat dengan pintu
masuk. Kau pun tahu yang kereta aku ni mahal. Kalau kena pecah karang, siapa
nak jawab? Lagipun, aku malas nak berjalan jauh atau mengingat tempat aku letak
kereta kat mana. You know me..” tiada
langsung raut bersalah yang terpamer di wajah Firdaus ketika itu. Langsung
tidak memikirkan perasaan Shakir yang menunggu lama.
“Astaghfirullahal’azim...”
berkumat-kamit mulut Shakir beristighfar. Dahi ditepuk berkali-kali. Kepala
digeleng-geleng. Tidak menyangka yang Firdaus sampai begitu sekali mencari
tempat parkir kereta. Inilah pertama kali dia mengajak Firdaus menemaninya ke
kompleks membeli-belah itu.
Dia
teringin benar menonton sebuah filem Hollywood yang hanya ditayangkan di
pawagam situ. Dan sudah semestinya tayangan perdanalah yang mahu ditonton oleh
Shakir. Tiket VVIP sudah dibeli oleh Firdaus. Shakir tidak terkejut pun jika
Firdaus sampai membeli tiket VVIP kerana Firdaus memang seorang yang berduit
pun. Yang Shakir terkejut sekarang ini, kes parking
pun kena cari parking yang sesuai? Aduh, macam nilah agaknya kalau dah ajak
orang berstatus tinggi keluar ke tempat awam sebegini.
“Eh,
okeylah. Biar aku pusing satu round lagi.
Kejap lagi ada kut parking yang
sesuai tu.. See you later,”
cepat-cepat Firdaus mematikan talian. Dia masuk semula ke dalam keretanya lalu
mula memulas stereng untuk mencari tempat meletak kereta.
SHAKIR
menilik jam tangannya. Dah 10 minit berlalu sejak talian telefon dimatikan oleh
Firdaus. Dari kejauhan, Shakir nampak batang tubuh Firdaus yang sedang
menghampirinya sambil melambai. Shakir menarik nafas lega kerana hanya lagi
lima minit tayangan perdana itu akan bermula. Nasib baik tak terlepas opening cerita tu. Gumam Shakir di dalam
hati.
“Hah,
dah jumpa parking kau?” sindir
Shakir. Wajah cemberutnya membuatkan Firdaus ketawa.
“Hei..
Kau jangan emo macam perempuan, boleh? Aku dah jumpa tadi. Kebetulan dekat giler dengan pintu masuk. Aku rasa
tempat tu memang khas untuk aku kut,” Firdaus menjawab selamba.
Shakir
mengepal penumbuknya dan ditayang ke wajah Firdaus. “Ni, kau nampak tak apa ni?
Sekali aku bagi sebiji, lebam biji mata kau, tau? Mana aku tak emo, kau tu
lembab sangat. Nasib baik tak terlepas time
tayangan tu tau! Ha, kat mana parking
yang kau jumpa tu?”
“Betul-betul
kat depan pintu masuk. Kalau tak silap aku, parking
tu reserve untuk pengurus besar shopping complex ni..”
Shakir
terkedu seketika. Matanya membuntang. Tidak percaya dengan kata-kata Firdaus
tadi. “Kau biar betul?!”
“Apasal?
Kau nampak muka aku ni macam muka orang tengah joking ke?” Firdaus membetul-betulkan rambutnya sambil melipat
cermin mata hitam lalu dimasukkan ke dalam poket baju kemeja berjenamanya.
Gayanya seperti tidak mempedulikan Shakir yang terkejut. Apa yang nak
dipelikkan? Biasalah tu, kereta mewah kenalah ada tempat khas untuk diletakkan.
Shakir
menepuk dahi. Biarkan ajelah.. kalau kena saman ke, kompaun ke, duit dia..
bukan duit aku. Shakir melihat jam tangannya. Seminit lagi tayangan hendak
bermula. “Okeylah.. jomlah kita masuk. Tayangan dah nak mula. Apa-apa hal, kau
tanggunglah pasal kereta kau tu. Aku tak nak tanggungjawab. Okey, bro?”
Firdaus
tersenyum dan mengangkat ibu jarinya. Shakir hanya menggeleng-geleng. Dahinya
diusap berkali-kali tanda masih tidak percaya dengan tindakan Firdaus tadi.
Memang betul-betul selfish si Firdaus
ni. Dari dulu sampai sekarang, suka buat ikut suka hati dia aje. Tak kiralah
perkara itu akan menyusahkan orang lain atau tidak. Tapi selalunya, memang segala
tindakan Firdaus selalu menyusahkan orang lain. Memang Firdaus layak kalau digelar
orang, Mr. Selfish.
2
HANA
tergesa-gesa keluar dari ruang pejabat untuk ke tandas. Rasa sudah tidak dapat
menahan lagi sakit perutnya itu. Tersalah makan ke tengah hari tadi agaknya?
Hana tidak dapat menjawab persoalan di dalam benaknya itu kerana fikirannya
lebih ke arah ingin segera sampai ke tandas. Memang terasa memulas perutnya
ketika ini. Memulas tahap tidak boleh ditahan-tahan lagi.
Hana
segera masuk ke tandas apabila sudah sampai di hadapan pintu tandas. Hampir 15
minit Hana berada di dalam tandas. Membuang segala yang patut dibuang. Terasa
lemah tubuh badannya selepas keluar dari tandas. Lututnya bagai sudah tidak
boleh menahan beban berat badannya. Hana memegang perutnya yang masih memulas.
Sekali lagi dia masuk ke dalam tandas. Kali ini 10 minit pula dia di dalam.
Tidak cukup dengan cirit-birit, dia turut muntah-muntah. Sah ni! Aku keracunan
makanan! Hana sempat berfikir sendiri ketika sudah tersangat lemah untuk
bergerak.
Kena
update gambar aku tengah sakit dalam
Instagram ni. Selfie dululah.. Hana mengambil gambar di hadapan tandas dengan
wajah yang pucat lesi. Selesai selfie, dia terus memuat naik gambarnya ke dalam
Instagram dan turut dikongsikan ke akaun Facebook serta Twitternya. Nak
terpengsan dah dia ketika itu kerana terlalu lemah hendak berjalan. Hana sedar
tubuhnya melayang mahu rebah ke lantai..
Tangan
sasa seseorang pantas menyambut tubuh Hana dan menahan gadis itu dari rebah ke
lantai. Hana membuka matanya yang hampir tertutup. Laa, Hairie?! Bila masa dia
ada dekat sini? Hana cuba untuk berdiri tegak dan cuba meleraikan pegangan
Hairie di bahunya. Usahanya tidak berjaya kerana pautan Hairie terlalu kemas
dan dia juga sudah kehilangan tenaga.
“Hana!
Kau ni.. dalam sakit-sakit pun kau nak berselfie. Pelik betul kau ni. Siap update dalam Instagram dengan Facebook
lagi. Twitter pun kau update. Kau ni
memang sah dah gila!” marah Hairie. Dia sungguh risau melihat keadaan Hana yang
lembik itu.
“Aku..
aku rasa, aku keracunan makanan. Kau sejak bila ada kat sini? Mana kau tahu
yang aku sakit?” suara Hana lemah.
“Aku
nampak kau keluar masuk tandas tadi dan aku tunggu sampai kau selesai. Aku
tengok, dah lembik-lembik keluar tandas pun kau sempat selfie. Ini yang aku nak
marah ni. Geram aku dengan kau ni!” jawab Hairie keras. Dia mengemaskan lagi
pautan di bahu Hana. Dipapah tubuh Hana ke kerusi berdekatan dan Hana
didudukkan.
“Ohh..
alaa, biasalah tu. Dunia moden sekarang ni kan dah canggih dengan kemajuan
teknologi. Mana la tau lepas aku update
tu nanti ramai yang like dan komen.
Nanti prihatin la sikit kawan-kawan aku dalam laman sosial tu dengan aku.
Entah-entah, ramai yang datang melawat aku nanti..” Hana memberikan alasan.
“Sudahlah
merepek tu. Jom, aku bawakan ke klinik..”
“Takpe ke? Datin Salmi tak marah ke? Kau kan
pekerja contoh dalam pejabat kita...” sempat lagi Hana menyindir Hairie.
Hairie
mengeluh. Banyak cakap pula si Hana ni. “Aku bagitau la nanti dekat dia. Apa
susah? Ini kan kes emergency. Biasa
la ni..”
Hana
tergelak kecil walaupun lemah. “Baik pulak kau. Selalunya kau kan suka menyakat
aku aje...”
Hairie
terdiam. Jari telunjuknya kini terlekat di bibir Hana. “Sekali-sekala aku baik
dengan kau. Dah, kau diam boleh? Jom, aku bawak ke klinik. Dah teruk aku tengok
kau..”
Di
dalam hati Hairie, perasaannya terhimpit. Antara rasa risau dan rasa kasih yang
berbunga-bunga buat Hana. Hendak diluahkan, Hairie terasa malu. Kerana memendam
perasaan inilah yang membuatkan Hairie selalu tidur tidak lena pada waktu
malam. Kadang-kadang bahagia, kadang-kadang terasa terseksa dengan perasaan
sendiri. Hairie buntu.
SYAZANA
tertawa mendengar cerita Hana. Amboi, aku tengah sakit macam ni dia boleh
ketawa? Nak aje Hana melesing kepala Syazana ketika itu. Geramnya tidak
terkata. Semerta sebuah cubitan kecil hinggap di peha Syazana. Gadis itu
menyeringai kepedihan.
“Kau
ni memang sampai hati betul. Sampai hati kau ketawa bila aku cerita yang aku
sakit?” Hana menjegilkan mata pada Syazana.
Syazana
masih berbaki ketawanya walaupun kepedihan dicubit Hana. “Mana tak gelak..
cerita kau memanglah agak menyedihkan. Tapi ada part yang lucu. Kau aje yang tak sedar yang cerita kau tadi tu ada
yang lucunya...”
“Apa
yang kelakarnya? Apa?” terjah Hana.
“Cuba
kau bayangkan.. kau tengah sakit-sakit nak berak dan ulang masuk tandas tu..
disaksikan oleh seorang lelaki yang handsome
dan macho macam Hairie tu. Lepas tu,
kau buat lawak pulak pergi selfie depan tandas tu? Jatuh saham kau, wei!”
“Ahh!
Ada aku kisah? Setakat si Hairie tu... malas aku nak layanlah!” Hana
memusing-musingkan bebola matanya tanda malas hendak melayan jika Syazana masih
ingin memuji-muji si Hairie.
“Hei,
kau buta ke? Dia tu sayang dekat kau, tau tak? Semua orang boleh teka layanan
seorang kawan biasa dengan layanan seorang lelaki yang ada hati dengan seorang
perempuan. Atau kau saja nak jual mahal? Rugilah kau kalau kau buat tak nampak
si Hairie tu. Kalau akulah, aku dah lama couple
dengan dia..” Syazana mengunyah keropok lekor yang baru dimasukkan ke dalam
mulut.
Siaran
televisyen di hadapan mereka yang menayangkan sebuah drama melayu di TV3 bertajuk
‘Rindu Awak 200%’ ditatap kosong. Dia masih menanti reaksi Hana selepas mendengar
kata-katanya tadi. Lama Hana terdiam membuatkan Syazana menoleh ke arah gadis
kecil molek itu. Ya Tuhan... dia boleh selfie dengan keropok lekor. Syazana
menepuk dahi dan menggeleng-geleng.
“Woi!
Bagilah reaksi sikit lepas aku bercakap. Kau ni...” protes Syazana geram.
Ditolak bahu Hana dengan kasar. Hampir terjatuh Samsung Galaxy S5 milik Hana.
Badan gadis itu hampir tumbang ke sebelah kiri sofa panjang yang diduduki
mereka.
“Hei,
kalau nak bercakap pasal si Hairie tu baik tak payahlah. He is not my type. Dia bukan termasuk dalam ciri-ciri lelaki yang
aku suka..”
“Habis
tu, lelaki macam mana lagi yang kau suka? Kira okeylah si Hairie tu. Handsome and caring. Baik hati pun ada
aku tengok..”
“Baik
hati? Tang mana tu cek oii? Selalu buli aku adalah! Baik ke
tu? Naya weh, naya..” saja Hana mengeluarkan loghat utara yang tak berapa nak
jadi.
Syazana
tergelak geli hati mendengar loghat utara Hana itu. Dah macam apa lagi. Syazana
orang Kedah, jadi dia tahu bagaimana menyebut sesuatu perkataan loghat utara
dengan betul. Dan memang gaya sebutan Hana tadi tidak terlalu tepat.
“Tolonglah
jangan cakap utara. Kelakar, kau tau tak?” Syazana ketawa kuat.
Hana
berkerut dahi. “Amboi, dia punya gelak besaq
no! Sakan!”
Syazana
memukul bahu Hana sambil ketawa. Memang kelakar bila dengar orang bandar sebut
loghat utara ni. “Dahlah, kau tak payah cakap utara lagi! Karang tak tidur kau malam
ni sebab aku gelak kuat-kuat sampai pagi..”
“Yelah,
aku cuma nak cakap yang si Hairie tu not
my taste laa.. aku tahu dia suka kat aku. Tapi aku saja buat-buat tak
faham,” terang Hana sambil menggigit keropok lekor yang sedikit liat. Puas
ditarik-tarik dengan giginya lalu dikunyah perlahan.
“Dah
tu, kau suka lelaki yang macam mana?” duga Syazana. Rasa berminat pula dia
hendak mengetahui ciri-ciri lelaki idaman si gadis manis itu.
“Aku
suka lelaki muda yang berjaya dan kaya-raya. Yang berharta, yang berduit, yang
boleh belikan aku macam-macam benda yang aku nak! Hahaha!” jawab Hana sambil
tertawa. Macam tengah bergurau sahaja gayanya.
“Kau
bergurau ke apa ni? Aku seriuslah!”
Hana
memicit pipi Syazana lembut. “Betullah! Aku tak bergurau..”
Syazana
terbeliak. Dipicit balik pipi Hana yang sedikit tembam itu. Pipi yang comel
kemerah-merahan itu bertambah merah kesan dari cubitan kecil Syazana. Hana
menepis tangan Syazana. “Adoi! Aku picit pipi kau lembut-lembut je. Apasal kau
cubit pipi aku kuat-kuat ni? Pedihnyaaaa!”
“Masalahnya
sekarang, kau ada calon ke? Silap-silap, jadi andartu kau tunggu lelaki macam
tu! Satu dalam sejuta, weh! Eh, tapi tak sangka kau ni mata duitan jugak, kan?”
“Hei,
dunia sekarang ni semua pakai duit. Arwah mak aku pun pesan suruh aku cari
lelaki kaya, tau! Dia nak tengok anak dia hidup senang-lenang.. calon tu takde lagilah. Tapi aku akan berusaha
mencari calon seperti yang aku describe
tadi!” dengan yakin Hana bersuara.
“Kesian
Hairie... kau tak nak try ke dengan
dia? Bagi aku laa.. Hairie memang ada ciri-ciri jejaka idaman semua gadis.
Manalah tahu, dah cuba nanti kau terus sayangkan dia sangat-sangat dan terus
ajak kahwin,” Syazana melangut memandang siling, seperti berangan-angan.
Matanya bersinar selepas berkata-kata.
“What? Kahwin? No, no, no! Dengan Hairie memang taklah. Tapi kalau aku dah jumpa
lelaki kaya, barulah aku akan ajak dia kahwin terus!” Hana pula yang seakan
berangan-angan.
Syazana
menolak bahu Hana yang kelihatan berkhayal. Lamunan Hana terbang entah kemana.
Bibirnya digumam, geram. Suka hati saja Syazana mahu menolaknya begitu. Nasib
aku tak ada heart attack. Kalau tak,
dah arwah aku dibuatnya.
“Kalau
kau berkenan sangat dekat si Hairie tu, apa kata kau yang pergi mengayat dia?
Aku support kau 200%! Hee..” Hana
tersengih dengan lebar melihat riak wajah Syazana yang mula berubah.
Pipi
Syazana mulai merona merah. Memanglah dia berkenan sangat dengan Hairie. Tapi,
masalahnya sekarang ni Hairie tu sukakan Hana. Takkanlah dia hendak terhegeh-hegeh
pulak kut? Memalukan aje..
“Kau
jangan nak merepek. Nanti buat malu muka aku aje tau.. sebab si Hairie tu suka
kat kau. Bukan aku.. kau faham? Aku ni bukan jenis perempuan terhegeh-hegeh nak
dapatkan lelaki walaupun aku suka giler
kat lelaki tu. Tau?!” getus Syazana dengan muka geram. Mahu tak geram melihat
wajah Hana yang jelas-jelas sedang mengusiknya.
Hana
ketawa terbahak-bahak. Dengan cepat, dia berselfie berlatar belakangkan wajah
Syazana yang tengah geram itu. Lagi bertambah geram Syazana dibuat Hana.
“Hana!
Kau baik delete gambar tadi! Aku
geletek kau sampai pagi kalau kau tak delete!”
jari telunjuk Syazana melurus ke arah Hana yang masih tertawa.
“But what to do? Aku dah upload dalam Instagram.. linked to Facebook and also Twitter!”
“Delete! Please la delete woi!”
Syazana merebut Samsung Galaxy S5 dari tangan Hana. Dia memeriksa Instagram
Hana. Rupanya Hana hanya bergurau. Dia belum memuat naik gambar tadi rupanya.
Hana
masih belum berhenti ketawa. Seronok melihat wajah masam Syazana dan rungutan
teman serumahnya itu. “Kau ni pun.. agak-agaklah. Takkan aku nak upload gambar muka kau sememeh macam tu?
Hahaha!”
“Nasib
baik. Kalau tak, terimalah hukuman geletek sampai pecah perut kau ketawa!”
geramnya Syazana ketika itu. Diserahkan kembali Samsung Galaxy S5 ke tangan
Hana setelah memadamkan gambar tadi. Bukan boleh percaya sangat si Hana yang
gila selfie tu. Karang datang gila dia, tidak mustahil dia betul-betul akan
memuat naik gambar itu.
Tawa
Hana semakin mereda. Dipandang wajah Syazana yang masih mencuka. “Ala, kau ni.
Itu pun nak merajuk. Senyumlah sikit.. kita hidup sama-sama sebumbung ni
kenalah ada usik-usikan dan gelak tawa. Kalau tak, tak happening la!”
“Amboi
kau. Pandai betul kau berkata-kata. Time
aku, kau boleh pulak cakap macam tu. Kalau time
kau yang kena usik dengan aku, samalah jugak kau mesti buat muka seposen jugak
kan!” potong Syazana bernas, memulangkan paku buah keras.
Hana
menjungkit bahu. “Well, that’s life!
Hahaha!”
Pecah
ketawa Hana dan juga Syazana. Sememangnya pada setiap malam, suara gelak tawa
mereka akan sentiasa memenuhi ruang dalam rumah sewa mereka itu. Sehari tidak
berborak antara mereka, memang tidak sah! Tak kiralah tentang apa pun, mesti
mereka akan berborak panjang pada setiap malam.
FIRDAUS
termenung kebosanan. Jika berada di rumah banglo empat tingkat milik arwah ibu
dan abahnya itu, Firdaus tentu terasa sunyi dan keseorangan. Sejak ibu dan
abahnya meninggal dunia serentak dalam sebuah kemalangan jalan raya 15 tahun
lepas, dalam sekelip mata Firdaus bergelar anak yatim piatu. Harta peninggalan
arwah abahnya sebanyak berbilion-bilion ringgit semuanya menjadi milik Firdaus
mutlak seorang diri kerana dia adalah anak tunggal.
Syarikat
milikan abahnya pula diserahkan di bawah jagaan Pak Usu Firdaus yang sangat
setia dan jujur. Firdaus bersyukur mempunyai bapa saudara yang baik hati serta
penyayang seperti Pak Usunya. Sedikit pun Firdaus tidak merasakan kehilangan
kasih sayang seorang bapa. Pak Usunya juga tidak mempunyai keluarga sendiri.
Sekian lama Pak Usunya itu membujang kerana terlalu sibuk dengan kerja di
syarikat. Sejak dari menjadi orang kanan arwah abahnya, sehinggalah menjadi
pengarah urusan syarikat.
Firdaus
sudah 25 tahun sekarang dan dia tidak berminat langsung untuk menguruskan
syarikat abahnya itu. Walau berkali-kali Pak Usunya memujuk, Firdaus tetap
dengan keputusannya tidak mahu mengambil tahu walau sedikit pun hal mengenai
syarikat. Dan Firdaus bercadang ingin menyerahkan milikan syarikat itu
sepenuhnya kepada Pak Usunya memandangkan selama ini Pak Usunya lah yang
sentiasa bertungkus-lumus memajukan syarikat itu sehingga syarikat itu mampu
berdiri gah di Malaysia sebagai salah sebuah syarikat paling terkemuka serta
disegani.
Helaan
nafas yang berat dilepaskan oleh Firdaus setelah lamunannya terhenti. Wajah
arwah ibu dan abahnya terbayang pula di ruangan mata. Pedih hati Firdaus
mengingati senyuman kedua insan tersayangnya itu. Sangat lembut dan penuh rasa
kasih sayang. Firdaus sangat merindui kasih sayang mereka berdua. Air mata mula
menitis di pipi Firdaus. Sayu hatinya apabila setiap kali teringatkan arwah ibu
dan abahnya. Selalunya ketika berseorangan beginilah yang menjadikan Firdaus
begitu. Di setiap sudut rumah yang sunyi itu terdapat memori tentang ibu dan
abahnya. Walaupun Firdaus masih kecil ketika mereka masih hidup, namun Firdaus
dapat mengingati banyak memori mengenai ibu dan abahnya.
Iphone
5S milik Firdaus tiba-tiba berbunyi. Cepat-cepat Firdaus mengesat air mata yang
belum kering di pipinya. Barulah Firdaus sedar yang dia sudah jauh berfikir. Di
skrin Iphone tertera nama Pak Usunya. Firdaus tersenyum kecil sebelum melarikan
jari telunjuknya di atas skrin telefon pintar itu.
“Assalamualaikum,
Fir..” suara garau Pak Usu terdengar dari dalam telefon.
“Waalaikumussalam,
Pak Usu!”
“Kau
tengah buat apa? Sihat ke?” soal Pak Usu lagi.
Firdaus
tersenyum lagi. “Sihat aje, Pak Usu... Pak Usu tu sihat ke tak? Dah makan ke
belum?”
“Mestilah
sihat. Cuma belum makan aje ni,” terdengar tawa kecil Pak Usu meledak.
“Kenapa
belum makan? Tak lapar ke?” Firdaus mulai risau. Pak Usunya itu memang selalu
begitu. Workaholic sangat sampai
tidak tentu masa makan. Itu sahaja yang merisaukan Firdaus.
“Sebab
tu Pak Usu call ni. Nak ajak Fir makan
dengan Pak Usu. Boleh temankan Pak Usu makan ke tak ni?”
“Eh,
mestilah boleh! Pak Usu nak makan kat mana? Nanti kita jumpa kat sana aje..”
soal Firdaus sambil mula mengangkat punggungnya.
“Tak
naklah makan luar. Anak saudara Pak Usu kan pandai masak. Kejap lagi Pak Usu
sampai rumah Fir.. teringin pulak nak makan western,”
getus Pak Usu lembut.
Firdaus
tergelak. “Pak Usu.. Fir suruh kahwin tak nak. Kan dah susah asyik makan luar
dengan makan makanan Fir masak je. Kalau ada Mak Usu, mesti dia yang masakkan
hari-hari sampai gemuk Pak Usu nanti. Tapi, dengan syarat kena cari bini pandai
masaklah! Waktu tu, Pak Usu mesti dah tak ingat nak datang sini makan!”
“Eh,
ke situ pulak dia ni!” protes Pak Usu mendengar usikan dari Firdaus.
Firdaus
tergelak-gelak. “Betul la Pak Usu. Pak Usu pun tahu Fir cakap benda yang betul.
Pak Usu patut kahwin dah. To have someone
taking care of you all the time, kan?”
Pak
Usu terdiam mendengar kata-kata Firdaus yang banyak benarnya. Belakang leher
digosok-gosok. Dahi pula berkerut-kerut. “Okeylah, Pak Usu dah nak drive ni. Jumpa Fir kat rumah nanti! Okay, Mr. Celebrity Chef?”
Firdaus
tersengih. Mentang-mentanglah Firdaus seorang Selebriti Chef yang sedang
popular pada masa kini, ada sahaja Pak Usunya itu nak mengusik. Minat Firdaus
di dalam dunia masakan memang terpupuk sejak kecil lagi. Semasa kecil, Firdaus
suka belajar memasak dari ibunya. Paling disukai ialah masakan rendang istimewa
ibunya. Sehingga kini Firdaus masih lagi memasak kesemua resipi ibunya bagi
mengubat kerinduan terhadap wanita itu.
Selepas
habis sekolah, Firdaus terus melanjutkan pelajarannya ke luar negara di dalam
bidang masakan. Tidak ketinggalan juga bidang bakeri, kek dan pastri. Sehingga
Firdaus menjadi seorang yang professional di dalam bidang masakan dan mendapat
tawaran dari berbagai institusi untuk mengambilnya bekerja. Kini Firdaus sudah
bergelar seorang Selebriti Chef untuk rancangan masakan di Astro Ria dan Asian
Food Channel.
3
PUAN
Zakiah mengurut rambutnya yang ikal separas bahu. Gaya rambut curly atau wave yang baru sahaja ditukar semalam ternyata membuatkan dia lebih
yakin berhadapan dengan orang terutamanya klien-klien. Skrin Macbook miliknya
ditatap lama. Meneliti bait-bait ayat yang sesuai untuk digunakan bagi menarik
perhatian klien. Ada projek terbaru yang sedang diusahakan olehnya. Cuma
sekarang dia masih kekurangan suatu perkara yang sangat penting dalam menarik
minat klien. Iaitu seorang model jelita yang mampu mencairkan mata-mata yang
memandang.
Heliza
masuk ke bilik pejabat Puan Zakiah bersama beberapa proposal yang sudah
disiapkan untuk disemak oleh Puan Zakiah. Team
mereka yang diketuai oleh Puan Zakiah itu akan membentangkan mengenai projek
baru itu pada minggu hadapan. Selepas projek mereka lulus dan mendapat sponsor
dari pihak-pihak tertentu, barulah promosi majalah terbaru mereka akan diadakan
secara besar-besaran.
“Ni
dia fail-fail proposal yang puan suruh kita orang siapkan tu. Puan semak la
yang mana satu yang sesuai ye. Kalau ada apa-apa perubahan, boleh bagitau kita
orang..” ujar Heliza tersenyum manis.
Puan
Zakiah tersenyum kecil. “Duduk dulu. Saya nak bincang sikit dengan awak pasal
projek kita ni.”
Heliza
mengangguk lalu duduk. Dipandang wajah Puan Zakiah yang masih anggun dan cantik
itu walaupun umurnya sudah mencecah 48 tahun. Tubuh badan Puan Zakiah pun masih
langsing seperti anak dara. Entah apalah rahsia kecantikan wanita itu. Pandai
sungguh menjaga badan dan kecantikan diri. Tentu suaminya bahagia mempunyai isteri
secantik itu. Rasa kagum terbit di hatinya.
“Haa,
ada apa hal puan nak bincang dengan saya?”
“Pasal
model kitalah. Apa lagi..”
“Kan
kita dah pilih beberapa orang model hari tu. Puan tak berpuas hati ke?” Heliza
mengerutkan dahinya.
Puan
Zakiah menyandar ke kerusi empuk yang didudukinya. Wajah Heliza di hadapannya
dipandang sekilas lalu pandangannya kembali ke skrin Macbook. Ada seraut wajah di
situ yang menarik perhatiannya untuk dijadikan model mereka. Sebuah senyum
penuh makna muncul meniti di bibir Puan Zakiah.
“Model-model
hari tu semua saya tak nak. Mereka ada yang terlalu muda dan ada yang tak
menepati citarasa saya,” balas Puan Zakiah telus.
“Habis
tu, puan ada cadangan model lain ke?” tanya Heliza.
Puan
Zakiah tersenyum. Jari telunjuknya dihalakan tepat ke skrin Macbooknya.
Dialihkan menghadap Heliza. “Yes, of
course. Macam mana dengan gadis ni? Saya suka cara dia bermain dengan
kamera. Dan wajah dia memang sangat ayu jelita. Sesuai dengan konsep majalah
terbaru kita nanti.”
Heliza
terangguk-angguk. Memang pilihan Puan Zakiah sangat teliti. Ciri-ciri seorang
model memang nampak jelas pada gadis di dalam gambar-gambar itu. “Tapi, mana
puan dapat gambar-gambar gadis ni?”
“Dalam
Twitter,” tersengih Puan Zakiah selepas menjawab.
Heliza
juga tersengih. Dah memang Puan Zakiah gila Twitter pun. Tidak hairanlah dia
boleh terjumpa gambar gadis rupawan ini di laman sosial itu. “But, how do we contact her?”
“Saya
dah siasat latar belakang dia. Suruh kawan saya yang kerjanya private
investigator tu yang siasat. Luckily,
she’s in KL now. Working somewhere..”
“So, puan dah contact dengan dia ke?” soal Heliza lagi.
“Belum
lagi. Saya ingat, besok baru saya nak ke tempat kerja gadis ni. Nak jumpa dan
tengok depan-depan dulu dia macam mana. Kadang-kadang, gambar boleh menipu juga
kan?” jelas Puan Zakiah lagi. Kedua tangannya disilangkan memeluk tubuh.
Kakinya bermain-main di atas lantai untuk memusingkan sedikit kerusi itu ke
kiri dan kanan.
Heliza
terangguk-angguk lagi. Puan Zakiah sememangnya seorang yang teliti dalam
memilih sesuatu. Setiap kriteria akan diambil berat dan dikaji dengan sangat
berwibawa. Heliza yakin yang pilihan wanita itu adalah terbaik untuk team kerja mereka. Kalau tidak, sudah
tentu pemilik syarikat modeling sebesar ini tidak akan memberi sepenuh
kepercayaan kepada Puan Zakiah untuk menubuhkan team mereka dan memberi peluang menerajui majalah terbaru mereka.
Semestinya kebolehan Puan Zakiah sudah diiktiraf oleh ramai pemegang saham
terbesar di dalam syarikat itu dan pemilik syarikat itu sendiri.
“Okey,
puan. Ada apa-apa lagi yang puan nak bincangkan dengan saya?”
“Tak
ada. Awak boleh balik sekarang. Lagipun dah malam ni. Awak pun mesti belum dinner, kan?” getus Puan Zakiah ramah.
Senyuman manis meniti di bibir.
“Yelah,
puan. Puan tu pun mesti belum dinner.
Asyik dengan kerja aje. Jangan workaholic
sangat, puan. Kesihatan kena jaga jugak,” pesan Heliza sebelum tersenyum kecil.
Puan
Zakiah menutup Macbooknya dan disarungkan ke dalam beg bimbit miliknya. “Saya
dah nak baliklah ni. Sebab tu halau awak balik dulu!” Puan Zakiah tergelak
kecil.
“Amboi,
puan. Halau juga ayat yang digunakan. Sampai hati puan, yeee..” Heliza juga
tergelak. Dia tahu wanita itu hanya bergurau. Nasiblah Puan Zakiah tidak
terlalu serius dalam hubungannya dengan pekerja. Semua pekerja bawahannya
memang selesa bekerja dengan dia.
Selesai
menyusun meja kerjanya, Puan Zakiah datang menghampiri Heliza yang juga sudah
bangun dari tempat duduk. “Jomlah, balik sama-sama. Tapi saya dinner kat rumah saya la.. Karang
merajuk pulak Mr. Husband di rumah
tu!”
“Yelah,
puan.. Jom!” sambut Heliza senang hati. Mereka berjalan beriringan keluar dari
bilik pejabat itu.
HANA
turun dari kereta Syazana. Dia melambai ke arah teman serumahnya itu yang masih
berada di dalam kereta. Hari ini kereta Hana buat hal. Tak mahu hidup enjin.
Hana pun tak tahu kenapa. Kelmarin okey aje! Bikin panas hati Hana aje pagi ini.
Hampir diterajang kereta kesayangannya itu. Tetapi apabila difikir-fikir balik,
sayanglah pulak nak sepak terajang. Karang lagi teruk pula kereta itu buat hal.
Nasiblah Syazana masih belum keluar ke tempat kerjanya. Hana dipelawa menumpang
kereta Syazana.
“Wei,
Zana. Terima kasih la tolong hantarkan aku ni. Nasiblah tak lewat..” kata Hana
seraya melihat jam di pergelangan tangan. Nasib baik tempat kerja Syazana pun
tidak jauh dari situ.
“Aik..sejak
bila pulak kau kisah datang kerja lewat ke tak ni?” perli Syazana. Tersengih
memandang wajah cemberut Hana.
“Amboi!
Sempat nak perli aku ye. Jahatlah kau!” protes Hana.
“Hahaha!
Okeylah, aku gerak dulu. Karang aku pulak yang lewat masuk kerja. Bye! Assalamualaikum!”
“Okey,
bye. Waalaikumussalam. Hati-hati
bawak kereta tu! Thanks tau!” jerit
Hana apabila kereta Syazana sudah meluncur menuju ke tempat kerjanya.
Hana
tergopoh-gapah ingin memasuki bangunan pejabatnya.
“Cik
Hana?” panggilan itu membuatkan Hana memberhentikan langkah.
Hana
memalingkan wajah ke arah si empunya suara. Seorang wanita anggun bergaya
berkaca mata hitam dilihat tersenyum manis. Hana mengerutkan dahinya, cuba
mengenali wajah insan yang terasa asing itu. Rasanya dia tak kenal wanita ini.
Siapa agaknya?
“Ya,
saya..” jawab Hana pendek. Wajahnya masih dilamun perasaan tertanya-tanya
siapakah gerangan wanita cantik itu.
“Saya
Zakiah dari syarikat modeling Bintara Holdings. Nice to meet you,” Puan Zakiah menghulurkan tangan untuk bersalam.
Dari
atas hingga ke bawah dia meneliti Hana. Memang gadis itu punyai kecantikan asli
yang boleh membuatkan mana-mana lelaki tergoda. Ternyata matanya tidak salah
menilai gambar-gambar Hana dari Twitter. Dalam gambar dengan luar gambar, sama
sahaja cantik orangnya. Malah, bila bersemuka begini, lagi bertambah lawa Hana
di mata Puan Zakiah. Terasa senang hatinya melihat gadis itu mulai mengukir
senyuman manis yang menawan.
“Ya..
Ada apa nak jumpa saya ni ye? Saya sebenarnya on the way nak masuk kerja ni. Ini ofis saya..” ibu jari Hana
menunjuk ke arah bangunan pejabat yang tidak sampai sepuluh langkah dari tempat
mereka berdiri sekarang.
“Don’t worry. Saya dah cakap dengan ketua
awak Datin Salmi yang saya nak pinjam awak sekejap. Ada hal sikit yang saya nak
bincangkan,” terang Puan Zakiah lembut.
“Ye
ke? Macam penting pulak hal tu sampai Datin Salmi benarkan saya masuk kerja
lambat,” perlahan sahaja suara Hana. Pelik dengan Datin Salmi. Hari itu
punyalah marah-marah dia datang kerja lambat. Kali ini, boleh bagi peluang pula
dia masuk kerja lambat. Pelik.. memang pelik!
“Jom,”
ajak Puan Zakiah tanpa berlengah.
Hana
keliru. Betul ke ni dia dah cakap dengan Datin Salmi? Jangan-jangan dia ni
penculik! Nak menculik aku ke ni? Tiba-tiba aje ‘jom’ dengan aku. Terasa
sedikit menggelabah Hana dibuat Puan Zakiah.
Puan
Zakiah perasan wajah Hana yang serba-salah dan kelihatan sedikit keliru. Lantas
matanya menangkap kelibat Datin Salmi yang keluar dari bangunan pejabat dan sudah
tiba di hadapan mereka berdua. “Tu Datin Salmi dah keluar. Awak mungkin tak
mudah percayakan saya, kan? Tanyalah dia sendiri..”
Puan
Zakiah tergelak kecil melihat wajah Hana yang sudah kemerahan kerana malu.
Yelah, dia baru sahaja mencurigai Puan Zakiah. Penculiklah konon. Ada ke orang
nak culik perempuan rupa macam kau ni Hana? Terasa membahang wajah Hana. Di
dalam hati, dia menyalahkan diri sendiri yang terlampau berjaga-jaga.
“Awak
boleh masuk kerja lambat sikit pun takpe.
Ni Puan Zakiah, kawan sekolah saya dulu. Tak sangka pulak boleh jumpa kat sini.
Kan, Kiah?!” sambut Datin Salmi dengan wajah teruja.
“Ha’ahh.
Itulah pasal, Mie..”
“Takpe, Kiah. Kau bawalah budak aku ni pergi
bersembang kejap. Nanti kita story
lagi ye. Aku pun ada kerja kat dalam..”
“Iyelah,
Mie. Aku pinjam dia kejap, ek?” Puan Zakiah mengenyit sebelah mata kepada Datin
Salmi. Mereka tersenyum sesama mereka sebelum Datin Salmi menghilang ke dalam
bangunan pejabat.
“Jomlah,
Cik Hana..” ajak Puan Zakiah mesra.
“Kiah..
eh, Kak Kiah... err.. suka hati saya pulak nak panggil. Err.. nak panggil apa
ye?” Hana terasa kekok sampai tersasul-sasul.
Puan
Zakiah tertawa riang. “Panggil puan aje pun takpe!”
Hana
tersengih segan. “Okey, puan. Jomlah!”
PEJAM
celik, pejam celik mata Hana ketika ini. Tilam empuk tempatnya berbaring itu
terasa selesa dan nyaman pula malam ini. Pandangannya masih terhala pada siling
bilik. Mindanya masih cuba memproses isi perbincangannya dengan Puan Zakiah
pagi tadi. Sampai kerja-kerjanya di pejabat pun banyak yang tersilap buat.
Beberapa kali dirinya dileteri oleh Datin Salmi kerana beberapa kesilapan.
Nampak sangatlah dia tidak dapat memberi tumpuan pada kerjanya dari pagi
sehingga ke petang. Semuanya gara-gara memikirkan apa yang telah dibincangkan
dengan Puan Zakiah.
“Biar
betul, Puan Zakiah tu? Nak aku jadi model dia?” Hana menggaru-garu kepala yang
tidak gatal. Masih kurang percaya dengan tawaran yang diterimanya pagi tadi.
“Nak
kata tak betul, muka dia memang serius tadi. Siap dah keluarkan surat tawaran
lagi untuk aku tandatangan. Kalau tak kerana aku cakap kat dia yang aku nak
fikir dulu, entah-entah aku dah selamat sign
surat tawaran tu! Betul ke bohong ni?!” Hana memegang kedua belah pipinya.
Ditampar berkali-kali dengan lembut. Rasa macam berada di alam mimpi pula.
Syazana
memasuki bilik Hana secara terhendap-hendap. Pintu bilik temannya itu tidak
ditutup rapat. Jadi, inilah peluang dia untuk menyergah Hana! Syazana tersenyum
nakal. Gelak jahat terbit perlahan-lahan.
“Huarrrgghhhhhh!!”
sergah Syazana tiba-tiba.
“Hoiii!
Nak mampus?!” pekik Hana. Terlompat-lompat Hana di atas katil lalu terturun
pula dari katil. Siap buka langkah pencak silat lagi! Mentang-mentanglah pernah
belajar silat semasa kecil dulu.
Syazana
tertawa besar. Geli hati melihat telatah Hana yang sedang bersilat bagai.
Badannya direbahkan ke atas katil Hana. Memeluk bantal sambil ketawa mengilai.
Geli hati betul dia! Hana kalau dah melatah, macam inilah jadinya. Jarang boleh
lihat Hana melatah. Tapi sekali dia terkejut besar, memang pecah perut orang
lain ketawakan dia!
Hana
tersedar dari melatah. Wajahnya bengis memandang Syazana yang masih ketawa
terbahak-bahak dan berguling-guling di atas tilam empuk katilnya. “Woiii! Kau
ni takde kerja ke?!”
Syazana
memberi isyarat menyuruh Hana tunggu sekejap sementara dia habis ketawa dulu.
Lagi membara terasa jiwa Hana melihat Syazana masih belum mahu berhenti dari
ketawa. “Kau kalau kena langkah silat aku tadi, aku tak tahulah apa akan jadi.
Entah-entah, jadi belacan kau dibuat aku!”
“Hahahaha!
Siapa tak gelak tengok gelagat kau tadi, memang dia ada masalah urat ketawa dia
putuslah. Kira aku ni normal la kan boleh ketawa lagi! Hahaha!” Syazana menekan
perut yang terasa sebu. Kuat sangat ketawa tadi. Semuanya disebabkan gelagat
lucu Hanalah!
“Woiii!
Sudah-sudahlah tu. Aku ni bukan peserta maharaja lawak pun. Kau agak-agaklah!”
Tawa
Syazana sudah mulai reda. “Okey.. okey..!”
“Okey..
now boleh aku baring balik atas katil
aku ni?”
“Silakan,
tuan puteri si bujur sireh!” balas Syazana tersenyum-senyum.
“Dah
apa kena dengan kau ni, Zana? Kena sampuk ke?” Hana melayangkan tubuhnya ke
atas katil di sebelah Syazana.
Syazana
menepuk bahu Hana lembut. “Kau tulah yang kena sampuk. Aku dok usha aje kau
dari tadi kat sebalik pintu bilik tu. Dok bercakap sorang-sorang. Lepas tu,
tampar-tampar pipi sendiri. Kau dah kena mandrem
ke apa? Atau, kau dah mula syok kat si Hairie tu?”
“Hisy!
Ke situ pulak kau ni! Aku tengah fikirkan masa depan akulah tadi!” jawab Hana
jujur. Tidak pernah lagi dia berahsia dengan Syazana selama mereka berkenalan.
Syazana
tiba-tiba berasa berminat pula hendak tahu. “Fikir tentang apa?”
“Tadi,
ada seorang perempuan lawa. Dia kawan sekolah Datin Salmi. Dia datang
semata-mata nak jumpa aku. Kau tahu tak apa yang dia tawarkan kat aku?”
“Haaa..
apa? Apa? Suruh jadi menantu dia ke? Hahaha!” buat lawak pula Syazana ketika
Hana sedang serius.
“Hoi!
Ke situ pulak kau ni perginya. Biar logik sikit ayat kau tu. Understand?!” bentak Hana. Wajahnya
serius memandang Syazana.
“Okey..
apa? Dia tawarkan apa?”
“Dia
bagi tawaran untuk aku jadi model kat syarikat modeling dia!” getus Hana
serius. Dipandang wajah Syazana yang tidak beriak apa-apa.
“So? Apa yang nak difikirkan lagi? Kau accept ajelah,” sambut Syazana dengan
selamba.
“Kau
ni! Tengoklah muka aku ni! Layak ke jadi model? Dengan lemak-lemak tepu lagi
kat perut aku ni. Kau rasa aku layak ke?” Hana tergeleng-geleng. Dia memang
tidak suka meninggi diri walaupun ramai yang memujinya mempunyai kecantikan
asli gadis melayu.
“Kau
memang layak, Hana. Kau cantik. Kau fotogenik. Kau menawan kalbu. Memang kau
layak!” kata-kata Syazana yang seolah-olah menyindir Hana itu membuatkan
bahunya dicubit kecil oleh Hana.
“Hoii!
Aku mintak pendapat ikhlas dan jujur dari kau ni!”
“Ya
Allah, betullah apa yang aku cakap. Itu memang pandangan peribadi aku tentang
kau! Kau dah memang layak.. daripada kau berselfie tu, baik kau tonjolkan bakat
fotogenik kau tu untuk masa depan yang lebih cerah!”
Hana
menepuk dahi. Terasa tertekan pula mendengar pujian Syazana yang melebih-lebih
itu.
“Kata
nak minta pendapat jujur dan ikhlas dari aku. Dah memang jujur sangatlah tadi
tu! Kau nak aku sumpah pun boleh!” tambah Syazana lagi.
“Dah,
stop! Tak payahlah sampai nak
sumpah-sumpah. Aku cuma rasa macam tak percaya aje. Kan ramai lagi perempuan
lain yang lebih cantik dari aku. Tapi, kenapa aku jugak yang terpilih untuk
menjadi model dia? Syarikat besar pulak tu. Pelik betul. Minah-minah kacukan
kat luar sana lagi layak. Yang ada sijil modeling bagai.. aku ni apa pun tarak. Harap pandai selfie aje dalam
laman sosial!” berserabut rasanya kepala otak Hana memikirkan kelayakannya.
“Dah,
kau pulak yang kena stop! Tak payah
nak fikir kenapa dia pilih kau. Dah tentulah dia ada sebab-sebab yang
tersendiri. Mungkin dia nampak ada sesuatu yang istimewa dalam diri kau.
Manalah tahu, kan? Kira ini rezeki kaulah. Terima ajelah.. bukan senang nak
dapat peluang datang bergolek macam ni tau!”
Hana
terdiam dan termenung seketika. Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh
Syazana itu. Mungkin aku yang terlebih fikir agaknya! Hana menggaru-garu lagi
kepala yang tidak gatal. Bantal yang berada dalam pelukannya, dipeluk bertambah
erat. Hatinya sedikit sebanyak terasa yakin selepas mendapat nasihat dari
Syazana.
4
PETANG
yang terasa panas membahang. Tidak sabar-sabar Firdaus berjalan untuk memasuki
keretanya. Dia baru sahaja selesai membuat rakaman program masakan khas yang
akan ditayangkan di stesen TV Astro tidak lama lagi. Program masakan bertemakan
ala Italian pula kali ini yang terpaksa dikendalikan oleh Firdaus.
Sebaik
sahaja tiba di hadapan keretanya, Firdaus menggagau poket seluarnya. Diseluk
berkali-kali poket kiri dan kanan seluarnya. Kunci keretanya tiada di dalam!
Panasnya hati Firdaus! Dahlah cuaca tengah panas membahang ketika ini. Ini
mesti kerja orang yang uruskan pakaian aku tadi. Cuainya! Terasa membuak-buak
kemarahan Firdaus ketika ini. Dengan perasaan tertekan, Firdaus menapak semula
ke arah bangunan tempat rakaman program masakan tadi.
HANA
membelek dirinya di dalam cermin. Apahal pulak aku kena pakai macam ni dan kena
make up macam ni hari ni? Dah macam
ala-ala Betty La Fea pulak! Ada pendakap gigi, ada klip-klip kecil dekat
rambut, kena pakai spek mata tebal dan besar macam ni. Lepas tu kena ikat
rambut bertocang dua macam ini. Alahai.. rasa hendak terpengsan pun ada Hana
melihat dirinya sendiri di cermin. Baju pun baju nerd aje!
“Cik
Hana.. you’re next. Nanti dia orang
akan terangkan konsep untuk hari ni punya shoot,”
terang Abang Jep yang merupakan organizer di tempat shooting itu.
Hana
sekadar mengangguk dalam kebingungan. Tak payah terangkan pun aku dah tahu!
Tengok gaya aku pakai ni, dah dapat agak konsep apa! Hadoiii! Hana mula terasa
menyesal menyertai syarikat modeling itu. Ingatkan dapat pakai baju lawa-lawa,
kasut lawa-lawa. Berpinar kepala Hana memikirkan tindakannya menandatangani
kontrak selama 2 tahun dengan Puan Zakiah petang kelmarin. Kau pun satu Hana,
lain kali tu tanyalah dulu nak shoot yang macam mana. Nasib baiklah bukan kena
pakai baju yang seksi-seksi ke, bikini ke. Mintak jauhlah..
Sedang
Hana mundar-mandir di bilik itu, matanya tertancap pada suatu objek yang berada
di atas lantai. Segera dia membongkokkan badannya lantas objek itu diambil.
Nampak macam... kunci kereta? Memuncung mulut Hana memerhatikan kunci kereta
yang berada di tangannya. Namun, tiba-tiba sahaja kunci itu diragut dengan
kasar oleh seseorang.
“Hoii!
Kalau dah jumpa kunci orang tu, pulangkanlah!” pekik Firdaus yang tiba-tiba
muncul entah dari mana.
Terpinga-pinga
Hana melihat wajah kacak yang kemerahan di hadapannya itu. Blur sekejap rasanya
kepala otak Hana ketika ini. But, wait!
Kenapa pulak aku yang kena marah ni? Aku baru aje jumpa kunci tu. Dah macam
pencuri pulak dia marah aku! Ini tak boleh jadi ni!
“Hello,
encik. Saya baru aje ternampak kunci tu ada kat atas lantai bawah ni. Saya baru
kutip. Faham? Jangan nak main marah aje kalau tak tahu apa yang berlaku.
Lagipun, ini kes kecuaian diri awak sendiri! Jangan nak salahkan orang lain
pulak!” tempelak Hana kembali. Geram betul dia kerana dimarahi secara tiba-tiba
atas kesalahan yang bukan salahnya.
“What? Salah aku? Hei, perempuan hodoh.
Kau tu siapa? Kau kenal aku tak? Aku ni seorang yang cermat. Aku takkan cuai
macam ni. Ni semua mesti salah orang yang organize baju aku tadi!” tanpa
meminta maaf dan berterima kasih pada Hana yang menjumpai kunci keretanya,
Firdaus menyalahkan orang lain pula yang menyebabkan kunci keretanya itu
tercicir.
“Amboi,
bajet artis betul awak ni kan!”
Abang
Jep datang menghampiri selepas mendengar bunyi kecoh-kecoh. “Haa, apahal ni
terpekik terlolong aje abang dengar dari dalam sana tadi? Kenapa ni Fir?”
“Ni,
minah hodoh ni. Dia ambil kunci kereta saya..” balas Firdaus selamba.
Ternganga
mulut Hana mendengar gelaran dirinya oleh mamat perasan handsome itu. “Awak nak panggil saya tu, baik-baik sikit!” gumam
Hana kegeraman.
“Cik
Hana, awak ada ambil kunci kereta si Firdaus ni ke?” tanya Abang Jep tenang.
“Saya
jumpa laaa.. atas lantai ni tadi!” hampir terhentak-hentak kaki Hana
mempertahankan dirinya.
“Jumpa
dan tak pulangkan dengan segera!” potong Firdaus.
Mata
Hana terpejam. Geramnya. Boleh pula dia potong percakapan aku! Bibir Hana mula
bergetar. Belum sempat lagi Hana membuka mulut mempertahankan dirinya, Firdaus
memotong lagi.
“Dahlah!
Aku nak cepat ni! Lain kali tu, jumpa kunci kereta orang tolong pulangkan.
Okeylah, aku pergi dulu. Aku maafkan kau kali ni. Bye!” tanpa memikirkan perasaan sesiapa pun, Firdaus terus berlalu
meninggalkan Hana dan Abang Jep.
Geramnya
Hana pada Firdaus! Kaki dihentak-hentak kuat. Abang Jep sekadar tergelak kecil.
Dia memang dah faham sangat dengan perangai Firdaus. Selalu sangat Firdaus ke
situ untuk merakam program-program masakan.
“Kenapa
Abang Jep gelak-gelak ni?” sakit hati Hana melihat gelagat Abang Jep. Macam nak
mempermain-mainkan dia aje.
“Cik
Hana memang tak kenal lelaki tadi ke? Atau buat-buat tak kenal?”
“Tak
kenal langsung! Siapa dia tu? Kerek semacam aje! Geram betul saya!”
“Serius
tak kenal? Dia tu Chef Selebriti yang agak terkenal jugak kat Malaysia ni.
Takkan tak pernah nampak muka dia kat TV?” terang Abang Jep. Senyum kecil
terhias di bibirnya.
Kedua
belah kening Hana terangkat serentak. “Ohhh.. patutlah kerek. Retis rupanya!”
“Jaranglah
orang tak kenal dengan si Firdaus tu. Sebab dia kan kacak. Selalunya kalau
tanya orang perempuan, cepat aje kenal dia,” sambung Abang Jep lagi.
Hana
sekadar mengangguk kecil. Rasa tekaknya nak termuntah aje mendengar pujian
Abang Jep mengenai Firdaus. Famous
sangat ke kalau dah perangai macam tu? Memanglah muka dah tampan. Tapi kalau
perangai out, memang sebagai
perempuan, aku tak inginlah lelaki macam tu!
“Perangai
dia tu memang macam tu ke?” soal Hana pendek. Baik tukar topik keburukan mamat
itu pula. Baru best sikit bergosip. Retis kan dia tu.
“Who knows? Tapi selalunya dia memang
pentingkan diri dia aje. Memang kebanyakan orang yang kenal dia, semua cakap
macam tu..”
Hana
mengangguk-angguk. “Ohh.. patutlah perangai macam tu. Mulut macam longkang tak
cuci setahun..”
“Alah,
abaikan aje dia tu. Orang glamour
macam tu, memang perangai pelik sikit. Kira dia tu okey lagilah, walaupun
pentingkan diri, dia tak sombong. Selalu juga berborak dengan kita orang..”
ujar Abang Jep lagi.
“Ohhhhhhhh...”
panjang betul perkataan ‘oh’ yang keluar dari mulut Hana. Seakan-akan mengejek
sikap ‘tak sombong’ Firdaus yang baru disebut oleh Abang Jep.
Abang
Jep melihat jam tangannya. “Okey, giliran Cik Hana dah sampai ni. Jom masuk ke
bilik untuk shoot. Standby dalam 5
minit. Sedikit penerangan tentang konsep selama 5 minit akan diadakan nanti..”
“Yelah..
jomlah,” Hana terpaksa akur walaupun hatinya tidak berkenan dengan penampilan
ini untuk dibawa masuk ke dalam majalah.
HANA
menghempaskan badannya dengan selesa ke atas sofa di ruang tamu rumah sewanya.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Penatnya berposing! Samsung Galaxy S5nya
dikeluarkan dari dalam beg tangan. Aplikasi Instagram ditekan.
Hana
buat muka penat dan terus mengambil gambarnya yang sememangnya kepenatan itu.
Gambar itu turut dikongsikan ke akaun Facebook dan Twitternya melalui
Instagram.
‘Fuhhh!
Penat betul hari ni berposing. Kita rest dululah kejap! Malam nanti update
lagi! Bye u’olls! #selfieagain’
Begitulah
caption yang ditaip oleh Hana.
Matanya terasa berat pula selepas memasukkan kembali telefon pintarnya ke dalam
beg tangan. Namun tiba-tiba dia menjadi segar apabila ingatannya kembali kepada
Firdaus yang kerek petang tadi tu. Tangannya menggagau kembali telefon
pintarnya. Browser dibuka pantas.
Betul ke mamat tu retis? Kalau betul,
mesti ada gambar dia dalam internet! Dengan penuh bersemangat waja, Hana menaip
kata kunci di Google Images, ‘chef firdaus’.
Beberapa
imej kacak terdampar di dada skrin telefon pintar Hana. Gaya posing yang
terlalu professional. Agaknya jadi model pun boleh mamat ni. Fotogenik juga dia
ni walaupun perangai kaku macam batu. Hisy, dok puji dia kenapa pulak aku ni.
Mamat macam ni kena bagi stok caci maki aje! Bermacam-macam jenis kritikan yang
terbit dalam hati dan pemikiran Hana ketika membelek-belek gambar Firdaus.
Meluat, menyampah melihat senyuman lelaki itu di dalam internet. Senyuman palsu
ni! Tak ikhlas langsung!
“Kau
ni dah kenapa? Muka sememeh macam tu! Tengah meluat kat siapa tu?” tanya
Syazana pelik melihat kelakuan Hana yang herot semacam aje mukanya.
“Ini
haaa! Mamat kerek nak mampus!” Hana menunjukkan gambar Firdaus pada Syazana.
Syazana
pelik bagaimana Firdaus ini boleh menjengkelkan Hana secara tiba-tiba.
Bagaimana pula Hana boleh kenal dengan chef kacak itu?
“Ini
gambar Chef Firdaus yang handsome
lagi bergaya kegilaan ramai gadis tu. Kau cakap dia kerek kenapa? Kau tak sihat
ke hari ni? Kau baru bangun dari mimpi ke? Kau tertidur tadi dan mimpikan dia?”
Syazana memegang pipi Hana yang semulajadi kemerahan. Bertanya dengan perasaan
ingin tahu. Sahlah Hana ni bermimpi ni. Mana mungkin Hana mengenali chef itu.
Hana
menepis tangan Syazana. “Aku tak mimpilah! Dia ni memang kerek. Aku jumpa dia
tadi kat tempat shooting aku. Amboi,
sedap hati dia aje panggil aku hodoh!”
“Hah?
Apahal pulak dia panggil kau hodoh? Orang secantik selawa macam kau ni dia
panggil hodoh? Dia buta ke? Hmmm... eh, tapi betul ke kau jumpa Chef Firdaus ni
tadi? Serius?” Syazana berteriak dalam keterujaan. Tenggelam sudah point utama yang disebutkan Hana tadi
iaitu Hana yang digelar ‘hodoh’.
“Aku
baru nak suruh kau back up aku sikit.
Ini tak, teruja pulak kau bila dengar nama mamat kerek tu!” separuh merengek
Hana kerana geram dengan Syazana.
Syazana
mematikan angan-angannya tadi yang sudah terbang ke langit. Baru nak ajak Hana
jumpa lagi dengan Chef Firdaus bila ada peluang. Tetapi memandangkan Hana
sedang memerlukan sokongan mental dan fizikal dari aku sekarang ini, baik aku
dengar cerita dia dulu. Syazana memegang bahu Hana. Dipandang wajah temannya
itu sedalam-dalamnya.
“Okey,
kau boleh teruskan cerita kau. Aku sudi mendengarnya..” dah macam skema gila
pula ayat-ayat Syazana tika ini.
Hana
menarik nafas pendek. “Tadi aku diberikan konsep penampilan dan perwatakan
seorang gadis nerd yang ala-ala Betty
La Fea. Siap pendakap gigi lagi dengan cermin mata besar dan tebal!”
“Okey..
teruskan..” khusyuk Syazana mendengar satu persatu cerita dari Hana. Dari A
sampailah ke Z Hana bercerita tentang pertemuannya dengan Firdaus.
“Begitulah
ceritanya.. patut ke dia panggil aku hodoh? Dia mesti ingat aku memang
berpenampilan macam tu! Bencilah! Satu lagi, ada ke patut dia tuduh aku macam
tu? Sepatutnya dia berterima kasih sebab aku jumpa kunci kereta dia!”
“Alaaa..
apa susah? Kau pergi jumpa dia lagi.. pakai lawa-lawa sikit. Baru dia tahu
siapa kau.. hehehe!” cadang Syazana.
Mudah
betul kedengarannya. Tapi, payah bagi Hana. Malaslah Hana hendak berjumpa lagi
dengan mamat itu. Malas juga dia hendak menonjolkan dirinya yang sebenar di
hadapan Firdaus. Hana bukan seorang yang suka meninggi diri dan menunjuk-nunjuk
pun! Biarlah pertemuan mereka itu merupakan pertemuan pertama dan terakhir.
Noktah. Titik!
5
SEBULAN
berlalu. Hana semakin dikenali dalam bidang peragaan. Gambar-gambarnya selalu
mendapat perhatian dari ramai pihak. Ada yang menjemputnya untuk menyertai
pentas peragaan. Tetapi Hana menolaknya kerana Hana tidak pandai hendak
berjalan cat walk bagai. Lagipun,
Hana malu serta segan jika dirinya menjadi tontonan ratusan malah ribuan
penonton yang datang menyaksikan pertunjukan fesyen.
Puan
Zakiah tersenyum melihat Hana yang masih berjalan menuju ke arahnya. Tangannya
segera melambai ke arah gadis cantik itu. Puan Zakiah memerhati penampilan
Hana. Dari rambut ikal yang beralun sehinggalah ke baju t-shirt lengan panjang
berwarna hitam dipadankan dengan seluar jeans biru lusuh dan juga sandal.
Biarpun berpenampilan ringkas, Hana sudah kelihatan cantik. Inikan pula jika
dia memperagakan baju-baju untuk majalah mereka. Kafe Old Town White Coffee itu
menjadi pilihan Puan Zakiah untuk berjumpa Hana. Senang sikit hendak berborak
di kafe begini.
“Duduklah,
Hana..” pelawa Puan Zakiah dengan sebuah senyum kecil.
“Dah
lama puan tunggu ke? Sorrylah tadi
saya ada hal sikit..” Hana tersengih. Alasan itu hanya rekaan semata-mata.
Sebenarnya dia terlambat kerana sempat berselfie dulu sebelum datang.
“Takpe. Saya pun baru datang dalam 10 minit
lalu.. ingatkan Hana yang awal,” sahut Puan Zakiah dengan senyum simpul.
Hana
mengusap pipi sebelah kanannya seraya tersenyum segan silu. Terasa segan pula
kerana selalu datang lambat ketika perjumpaan dengan Puan Zakiah. Nasib baiklah
wanita itu jenis yang penyabar orangnya. Lagi tabah dari Datin Salmi gitu.
“Puan
nak bincang apa dengan saya kali ni?” soal Hana, mengubah topik kekok awal
tadi. Puan Zakiah hanya tersengih.
“Saya
nak awak bawa watak dan penampilan first
awak dulu. Masa mula-mula shoot dulu. Ingat lagi konsep apa?”
Hana
mula terasa kurang enak. Terbayang kembali imej penampilan hodoh yang terpaksa
ditonjolkan pada sesi photoshoot
sebulan yang lepas. Namun lidah Hana kelu untuk menolak permintaan wanita itu.
“Ingat, puan..”
“Good. Kalau ingat, dalam minggu depan
kita akan start photoshoot. Tapi outdoor.. ada kisah yang perlu awak
faham kali ni. Awak kena bawa watak berpenampilan lebih kurang hari tu, dengan
kisah tersendiri. Kira kali ini ada jalan cerita la. Awak kena fahamkan kisah
tu untuk menjiwai emosi ketika photoshoot
tu nanti,” Puan Zakiah menjelaskan secara terperinci.
Hana
cuma mengangguk lemah. Terpaksalah dia menjiwai semula watak perempuan hodoh
itu. Tiba-tiba sahaja terngiang semula panggilan Firdaus kepadanya. ‘Perempuan
hodoh!’. Jauh di sudut hati Hana, memang sampai mati pun dia akan ingat
panggilan lelaki itu terhadapnya.
“Hana?”
panggilan Puan Zakiah mengembalikan Hana ke alam nyata.
“Ye,
saya..” jawab Hana pantas.
“Awak
dengar apa yang saya terangkan tadi? Faham tak?”
“Faham,
puan.. Emm, kat mana kita nak buat photoshoot
tu?”
“Di
Melaka. Awak free kan? Boleh ambil
cuti dengan Datin Salmi? Tentulah boleh, kan?” soalan itu dijawab sendiri pula
oleh Puan Zakiah. Iyalah, mentang-mentang Datin Salmi tu kawan sekolah dia.
“Lagipun,
photoshoot tu dijadualkan sehari aje.
Kita pergi tiga hari dua malam. Bolehlah awak bersiar-siar juga nanti,” tambah
Puan Zakiah, menambahkan lagi minat Hana untuk pergi.
Melaka?!
Bestnya! Teruja Hana mendengar. Hana
hanya tersengih-sengih. Nak tergelak pun ada juga. Sejak dua menjak ni, Datin
Salmi tidak berapa ambil kisah pun dia nak datang kerja lambat ke, awal ke.
Kalau nak ambil cuti, mesti approved punya!
Seronoklah kalau ini macam. Baik aku kerja dengan Puan Zakiah terus lagi senang.
Sebab dah banyak masa aku sekarang ni pun sekarang asyik mengikuti sesi
fotografi bersama Puan Zakiah.
“Saya
rasa, boleh kut. Datin Salmi kan kawan sekolah puan. Hehehe..” getus Hana
perlahan. Keterujaan Hana memang tidak dapat dibendung.
“Okay, so next week ye. Jangan lupa
pulak!”
“Takkan
lupa punyalah, puan!” balas Hana bersemangat.
Tak
kisahlah kena pakai macam Yo Soy Betty La
Fea pun, asalkan aku dapat peluang bersiar-siar di Melaka. Belum pernah
lagi kaki aku menjejakkan kaki ke sana. Lagipun, dah lama betul aku tak pergi
bercuti. Kalau ajak Syazana sekali pun best
ni!
SUASANA
di gelanggang badminton itu riuh-rendah dengan suara-suara manusia yang datang
untuk bermain badminton. Ada yang membawa ahli keluarga, ada juga yang datang
bersama kawan-kawan. Terdapat 20 buah gelanggang yang disediakan di situ dengan
kadar sewaan satu gelanggang RM20. Ianya tidaklah mahal kerana masing-masing pemain
yang datang semuanya membawa teman seramai 3 orang. Jadi, bolehlah mereka
berkongsi duit untuk membayar sewa gelanggang itu. Lebih ramai yang datang,
lebih jimat.
Firdaus
menggalas beg raket berjenamanya. Bukan calang-calang jenama raket itu. Harga
raketnya mencecah hampir ke seribu ringgit. Raket berjenama Yonex itu adalah
raket eksklusif yang direka khas untuk pemain badminton nombor satu negara,
Dato’ Lee Chong Wei. Shakir di sebelah hanya mampu menggigit jari melihat raket
mahal yang dimiliki oleh Firdaus itu. Sekali pun Firdaus tidak membenarkan
Shakir meminjam raket tersebut walaupun diminta berkali-kali oleh Shakir.
Peluh
menitis di dahi dan pipi Firdaus, membuatkan dia cepat-cepat mengambil sapu
tangan di dalam kocek seluar panjangnya lantas peluh itu dilap sehingga kering.
Perasaan inilah yang paling terbaik sekali iaitu perasaan selepas bermain
badminton. Peluh bersukanlah kiranya. Ia dapat menyihatkan badan dan membentuk
tubuh yang sentiasa kekal menarik. Tidak perlu ke gym pun tak apa.
“Kau
ni... kedekutlah. Aku dah banyak kali mintak pinjam raket tu. Aku tak mampu
beli, so aku nak try la pukul sekali guna raket tu. Kau ni, itu pun nak berkira
dengan kawan sendiri!” kembang-kempis hidung Shakir menyatakan rasa
ketidakpuasan hatinya.
“No, no, no, no.. Tak boleh!” jari
telunjuk Firdaus bermain-main di depan muka Shakir menandakan yang dia memang
takkan memberi pinjam raket itu.
“Kedekut
betul. Piiirraaahhhhh!!” gerutu Shakir geram.
Firdaus
tertawa besar. “Jomlah, balik. Lagipun masa dah tamat kan 2 jam. Aku dah penat
sangat ni. Nak balik makan pulak ni!”
“Makan
aje kau tau! Badan tak gemuk-gemuk pun! Aku yang tengah makan hati ni, kau tak
ambil kisah pun kan?” bebel Shakir.
“Laa..
Manusia memang kena makan untuk hidup. Pasal makan hati tu aku tak tau, okey..”
balas Firdaus bersahaja.
Shakir
menggigit bibir. Geram dengan gelagat Firdaus. Malas dia nak bercakap lagi.
“Kau
free tak next week?” soal Shakir tiba-tiba.
Firdaus
mengerutkan dahi. “Kenapa?”
“Aku
nak ajak kau pergi Melaka. Aku rancang nak pergi bercuti untuk release tension. Tapi tak tahu nak pergi
dengan siapa. Itulah aku try ajak
kau. Manalah tahu, kau sudi temankan aku bercuti,” jawab Shakir.
Firdaus
berfikir-fikir dulu. Mengingati jadualnya pada minggu hadapan. Rasanya semua rakaman
program masakan akan selesai dalam minggu ini. Minggu hadapan Firdaus memang
mempunyai kelapangan. Amboi, Shakir ni. Macam pakai ilmu pula boleh meneka
waktu kelapangan aku! Firdaus berkata sendiri di dalam hati.
“Kau
ada ilmu ke? Kenapa kau boleh tahu yang aku free
minggu depan?” Firdaus menduga Shakir.
Terkejut
Shakir yang mendengar. “Woii! Kau baik-baik sikit cakap tu. Aku tak teka pun
kau free. Aku tanya aje kau free ke tak! Ada beza, okey!”
Firdaus
menarik sengih. Ditolak kasar bahu Shakir yang berjalan di sebelahnya. “Haa..
tahu takut! Saja aku nak takut-takutkan kau..”
“Puii..
tak takut pun! Setakat kau ni..” memuncung bibir Shakir.
“Minggu
depan jangan lupa. Melaka!” sambung Shakir sebelum Firdaus masuk ke dalam
kereta.
“Yelahhhh!!
Tapi kau booking hotel. Aku tak nak
hotel murah-murah. Pastikan 5 bintang. Faham? Untuk aku, bilik suite. Untuk
kau, lantaklah asalkan jangan mahal-mahal sangat..”
“Hoii!
Kaulah booking. Kau banyak duit.
Kalau aku yang booking, habislah
pokai!” gerutu Shakir.
“Malas
aku nak bersusah-payah. Kau yang ajak. Jadi, kaulah booking. Kau takde duit,
nanti kau cakap aje. Aku kasi nombor kad kredit aku..”
Shakir
menepuk dahi. Dasar selfish. Memang
tak mahunya bersusah-susah. Semua nak senang aje. Adoiii! Kenapalah kawan aku
yang sorang ni macam ni? Kawan baik pulak tu. Macam manalah aku boleh berkawan
baik dengan dia ni? Macam mana aku boleh tahan dengan dia selama ni? Shakir pening
memikirkan perjalanan persahabatan mereka selama ini.
“HELLO,
puan. Assalamualaikum. Puan ada dekat mana?” Hana memulakan bicara. Samsung
Galaxy S5nya dilekap rapat ke telinga. Bunyi hiruk-pikuk di kawasan pekan itu
membuatkan Hana menjadi kurang pendengaran tentang butir bicara Puan Zakiah di
dalam talian.
“Apa,
puan? Tak dengarlah. Kuat sikit..” Hana cuba untuk mendengar apa yang
diperkatakan oleh Puan Zakiah namun gagal.
Syazana
di sebelah berpeluk tubuh menunggu talian dimatikan oleh Hana. “Jom kita ke
sana dulu. Aku tengok kat sana tu lengang sikit. Kau call dia kat sana aje..”
“Hah,
yelah.. jom!” ajak Hana.
Mereka
berjalan beriringan. Sampai sahaja di tempat yang dinyatakan oleh Syazana, Hana
mula menelefon Puan Zakiah semula. Setelah bercakap-cakap dengan wanita itu,
Hana mengelap peluh yang mulai menitis di dahinya.
“Ha,
dia cakap apa?” soal Syazana, turut menyeka titisan keringat yang sudah
membanjiri wajahnya.
“Kata
Puan Zakiah, kita kena ke Philea Resort and Spa kat Ayer Keroh. Sekarang kita
kat mana ye? Eh, kat mana kau parking kereta kau tadi?” jawab Hana sambil
melabuhkan punggung ke kerusi kayu berhampiran.
Gelagat
manusia yang lalu-lalang hanya dipandang kosong. Fikirannya lebih ke arah ingin
segera sampai ke hotel untuk berehat secukupnya kerana keesokan harinya, dia
dijadualkan ke sesi fotografi selama satu hari suntuk.
“Kita
kat Ayer Keroh la ni. Tinggal nak cari hotel tu aje kan.. Hah, aku parking dekat hujung sana tu. Jomlah, aku
pun dah terasa panas gila ni!” rungut Syazana lemah.
“Jom,
jom!” ajak Hana. Laju sahaja dia berjalan meninggalkan Syazana menuju ke arah
kereta.
Tiba-tiba,
Hana terpandang seorang lelaki yang sedang membeli kopi di Starbucks
berdekatannya. Matanya membesar dan dia terus bersembunyi di sebalik kereta
Syazana. Apa pulak mamat kerek ni buat kat Melaka ni? Adoiii.. Keluh Hana
sendirian.
Syazana
menepuk belakang Hana membuatkan Hana terkesima seketika. Segera wajahnya
dialih ke arah Syazana. Kening Syazana kelihatan terangkat sebelah. “Hoii! Kau
dah kenapa ni terhendap-hendap macam orang buat salah aje?”
“Shhh!!”
jari telunjuk Hana diletakkan ke bibir Syazana.
“Apa
yang ‘shhh’?”
“Alaa,
kau diam aje laaaaa!”
“Apahal
ni?”
Hana
menarik Syazana supaya tunduk juga berselindung di sebalik kereta. Mata Syazana
meliar ke hadapan, arah yang sedang menjadi tumpuan Hana. Mulut Syazana
ternganga. Ehh! Itu kan Chef Firdaus yang handsome
tu!
“Wei!
Tu chef yang kau gaduh hari tu kan?” Syazana tersenyum simpul.
“Yelah.
Baguslah kalau kau kenal dia. So,
boleh diam tak? Karang dia nampak aku kat sini!”
“Yo,
yo, yo! You should take a look at
yourself. You look fine. Gorgeous! So, kalau dia tengok kau pun rasanya tak
salah. Lagipun, masa dia jumpa kau dulu, rupa kau tak macam ni kan!” tukas
Syazana pula.
Hana
terfikir balik. Ya tak ya juga, ya. Masa dia jumpa aku dulu, penampilan aku
macam ala nerdy sikit. Eh, bukan nerdy sikit. Nerdy sangat-sangat sampai dia gelarkan aku perempuan hodoh! Terasa
panas pula hati Hana mengingati semula panggilan itu.
“Malas
aku nak tunjuk-tunjuk diri aku macam ni dekat dia! Boleh blah!” ucap Hana
geram. Dia tidak menunggu lama, terus memasuki perut kereta diikuti Syazana.
“Yang
aku pelik, apa dia buat kat sini ye? Macam berjodoh pulak kau orang ni boleh
berjumpa kat sini!” Syazana tergelak-gelak sambil memakai tali pinggang
keledar. Hana turut memakai tali pinggang keledar dengan wajah cemberut. Meluat
dan menyampah melihat gelagat Firdaus yang sedang menghirup kopi di bahagian
luar dan berpayung kafe Starbucks itu.
“Eh,
hello! Tolong jaga sikit mulut kau tu! Tak kuasa aku nak ada jodoh dengan dia
tu. Perangai macam apa entah!” marah Hana.
Syazana
tertawa lagi. Lucu sungguh muka Hana bila memuncung begitu. “Aku bergurau aje..
lagipun, kalau betul jodoh kau dengan dia, kau boleh tolak takdir ke? Soal
jodoh ni kan Allah yang tentukan!”
“Haa,
tau pun kau. Jodoh Allah yang tentukan. Apahal kau pulak yang nak menyibuk tak
tentu pasal ni?” ujar Hana memulangkan paku buah keras.
Tersentak
Syazana mendengar serangan balas dari Hana itu.
“Dah,
dah! Cer buka Waze. Cari alamat hotel yang kita nak pergi tu. Karang sesat
pulak tak guna GPS!” Syazana menukar topik perbualan.
Hana
tergelak besar. “Haaa.. tahu pun kau ubah topik bila kena kat batang hidung kau
sendiri, kan? Hahaha!”
Hana
mencapai telefon pintar yang terselit di poket jeansnya. Aplikasi GPS yang
diberi nama Waze dibuka oleh Hana lalu alamat hotel disetkan olehnya. Telefon
itu kemudiannya dilekatkan pada phone
holder yang terpacak di atas dashboard
kereta itu.
6
“ASSALAMUALAIKUM,
Hana..”
“Waalaikumussalam,
mak long. Kenapa call ni tiba-tiba?
Mak long sihat tak?” tanya Hana sebaik sahaja mendengar suara ibu saudaranya,
Mak Long Faridah. Yalah, jarang orang tua itu hendak menelefon. Ini tiba-tiba
pula dia telefon. Mesti ada sebab.
“Mak
long dengar cerita, kau pergi Melaka. Betul ke?” soalan bertukar soalan pula.
Langsung tidak dijawab pertanyaan Hana mengenai kesihatannya.
Hana
menepuk dahi. Ini mesti abah yang bagitau mak long! Adoii, abah ni kan.. Hana
terguling-guling di atas tilam empuk bilik hotel yang serba mewah itu.
“Hana
datang urusan kerja, mak long. Kenapa?”
“Mak
long bukan apa. Dah lama tak jumpa kau. Datanglah rumah mak long nanti lepas
dah habis kerja dan nak balik KL,” ujar Mak Long Faridah dengan suara sedikit
teruja.
Hana
menepuk dahi lagi. Bukannya dia tidak mahu ke rumah mak longnya itu di Port
Dickson. Cuma dia meluat dengan anak sulung mak longnya itu yang asyik mengurat
dia sejak dulu. Abang Farid itu bukan boleh nampak Hana. Ada sahaja ayat-ayat
puitis dan berbunga-bunga yang akan didendangkan di hadapan Hana nanti. Malas dan
rimas betul Hana hendak melayannya berborak dari pagi sampai ke petang nanti! Asyik
nak mengacau Hana 24 jam. Nak berkepit aje kalau boleh. Gangguan mental pulak
nanti jadinya, Hana oii!
“Err..
mak long. Saya bukannya apa.. saya busy sikit
sekarang ni. Banyak sangat kerja saya. Nantilah kalau ada kelapangan baru saya
pergi sana, ye..” Hana mencipta alasan lapuk. Dah itu sahaja yang terlintas di
fikirannya ketika itu.
Terdengar
keluhan kecil Mak Long Faridah. Sedikit sebanyak Hana berasa bersalah kerana
mengecewakan orang tua itu. Tak boleh, tak boleh pergi sana! Aku tak boleh
jumpa Abang Farid sewel tu. Nanti aku yang sewel! Hana mengentalkan hatinya.
“Kalau
macam tu, tak apalah. Kau sampaikan salam mak long pada abah kau dan adik kau
si Hamdan tu ya...”
Terasa
lega Hana mendengar Mak Long Faridah berkata begitu. Mak longnya itu sudah lama
hidup menjanda. Ada pula anak lelaki 3 orang semuanya. Semuanya pula lasak-lasak
belaka sampaikan Mak Long Faridah tidak sempat untuk mencari pengganti arwah
suaminya. Hidupnya semata-mata hanya untuk membesarkan anak-anak lelakinya
sahaja selama ini.
“Insya-Allah,
mak long. Akan saya sampaikan nanti!”
“Assalamualaikum,”
ucap Mak Long Faridah.
“Waalaikumussalam,”
jawab Hana sambil melepaskan nafas lega.
Sebaik
meletakkan Samsung Galaxy S5nya ke atas tilam, Hana menghembus nafas yang
sangat panjang dan berat. Lega betul! “Fuhhh! Selamat aku! Kalau tak, sewel
jadinya!”
Syazana
menumpukan perhatian pada wajah lega Hana. “Selamat? Apa maksud kau? Kau dah
sewel ke?”
“Takde apa-apalah. Kau tak payah tahu!”
sengih Hana. Lebar gitu.
KEESOKAN
harinya, Hana awal-awal lagi sudah ke set penggambaran. Sesi fotografi yang
berjalan dengan lancar pada hari tu membuatkan semua orang berpuas hati dengan
prestasi Hana. Lagi-lagi Puan Zakiah. Tersengih-sengih dia kerana suka melihat
aksi Hana yang fotogenik. Memang tidak salah dia memilih Hana sebagai model
untuk majalahnya. Sesi fotografi itu diadakan di Pantai Klebang.
Sudah
hampir waktu maghrib, barulah segalanya selesai selepas hanya 3 kali waktu
berehat selama sejam setengah dalam masa photoshoot
itu. Hana sudah kepenatan sangat. Dia ingin segera kembali ke bilik hotel. Nak
mandi! Hana membetulkan cermin mata tebal dan besar yang dipakainya. Imej hodoh
itu membuatkan Hana malu untuk berjalan memasuki kereta kerana masih terdapat
ramai orang di situ. Hana nak tunggu keadaan lengang sikit barulah dia balik.
Akhirnya Hana mengambil keputusan untuk melepaskan lelah seketika di
celah-celah batu di tepian pantai berdekatan. Jauh juga Hana berjalan.
Mentang-mentanglah ‘cuti’, jadi dia tidak perlu bergegas balik ke bilik untuk
solat maghrib.
Sampai
di suatu tempat yang agak selesa, Hana duduk di atas batu-batu di tepi pantai
itu. Lama Hana termenung menikmati suasana senja yang merah. Betapa cantiknya
pemandangan di dada langit yang semakin gelap. Terasa dirinya begitu kerdil dan
lemah. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
“Kau
ke tepi sikit boleh? Aku nak lalu ni,” sapa seorang lelaki yang tiba-tiba
muncul.
Hana
mendongak. Sebaik terpandang wajah itu, dada Hana mulai berombak. Wajahnya
merah menyala. Bukan malu ke apa. Tapi marah! Marah dengan lelaki itu. Marah
kerana kes yang sebelum ini, dan juga marah dengan apa yang baru lelaki itu
cakap kepadanya. Tak ada budi bahasa langsung! Dekat sini pun dia ni ada?? Biar
betul!
“Eh,
kau lagi? Kalau tak silap aku, kau ni perempuan hodoh hari tu kan? Yang liat
nak pulangkan kunci kereta aku tu?” Firdaus tersengih sinis.
Hana
memejamkan mata. Gerammmmm! Bibirnya sudah menjuih dan terkumat-kamit semacam
hendak menerkam Firdaus. “Woii, alien!
Awak ni datang dari planet mana?!”
Firdaus
tersentak mendengar panggilan ‘alien’
itu. Kali ini dia pula yang terasa nak marah. “Mulut kau baik-baik sikit.”
“Tahu
pun marah orang panggil awak bukan-bukan! Yang awak panggil saya hodoh tu
apasal?!”
“Dah
tengok cermin ke belum ni? Dah memang kau hodoh. Kau tengok muka aku ni.
Banding dengan alien. Sama ke? Tak
masuk akal betul kau nak samakan aku dengan alien!”
Hana
terdiam mendengar kata-kata Firdaus. Nak balas apa ni? Nak balas apa kat mamat
kerek ni? Hana menggaru-garu kepala. Nak kata muka dia macam beruk? Nanti dia
suruh bandingkan muka dia dengan beruk pulak. Memang tak sama!
“Dahlah,
buang masa aku aje bertekak dengan kau kat sini!” Firdaus ingin melangkah
pergi, tetapi Hana menghalang.
“Kau
ni dah kenapa? Kau stalk aku sampai
ke sini ke? Kemaruk nak tengok muka aku sampai tak dapat beza dengan alien? Ke tepilah!!” Firdaus cuba untuk
meneruskan perjalanan tetapi tetap dihalang oleh tubuh Hana. Kalau mengelak lagi,
jatuh lautlah jawabnya.
“Kau
ni.. ke tepilah!” Firdaus dengan beraninya menolak kepala Hana dengan jari
telunjuknya. Tindakan spontan itu sahaja yang dapat difikirkan oleh Firdaus
tika ini.
Hana
tiba-tiba hilang pertimbangan dan terjatuh ke dalam laut. Firdaus
terpinga-pinga di atas batu. Memerhati tubuh Hana yang tenggelam timbul. Rasa
cemas mulai bersarang. Se’selfish’ mana pun dia, takkanlah dia nak biarkan
orang mati kerana dia? Ini tak boleh jadi! Firdaus terjun ke laut untuk
menyelamatkan Hana.
Kaki
Hana kekejangan sebaik terjatuh ke dalam laut. Itulah yang membuatkan dia tidak
dapat berenang ke tepian. Hana sudah banyak tertelan air laut sebelum tubuhnya
dipaut oleh Firdaus. Segera Firdaus menarik tubuh Hana ke tepian dan menolak
Hana naik ke atas batu-batu. Terasa penat dan keletihan Firdaus buat seketika,
tetapi dia perlu memeriksa Hana sekiranya gadis itu memerlukan bantuan
pernafasan.
Hana
tiba-tiba tidak sedarkan diri. Tanpa berfikir panjang, Firdaus terus memberikan
pernafasan mulut ke mulut seperti yang telah dia pelajari di kolejnya dahulu.
Lama juga Firdaus mengulangi aksi pertolongan cemas itu. Ditekan-tekan juga
dada Hana. Tidak lama kemudian, Hana tersedar dan memuntahkan air laut yang
ditelan tadi. Terbatuk-batuk Hana, cuba untuk mencari keselesaan kerana tekak
serta hidungnya terasa begitu perit. Ditolak tubuh Firdaus yang cuba untuk
memaut tubuhnya.
“Kau
duduk diam-diamlah! Aku cuba tolong kau ni!” Firdaus memeluk Hana supaya gadis
itu duduk diam dan bertenang. Terlupa sudah yang mereka bukan mahram. Cemas
punya pasal sampai terlupa!
“Tepiii!!”
marah Hana. Terbatuk-batuk lagi.
“Ke
sini, aku tolong kau!” Firdaus cuba mengangkat tubuh Hana.
Hana
terdiam dan barulah dia teringat yang Firdaus baru sahaja menyelamatkan dia
tadi daripada mati lemas. Dibiarkan lelaki itu memegang bahunya. Lantas, hanya
dengan sekali angkat sahaja, tubuh Hana sudah berada di dalam cempungan
Firdaus. Hana terasa malu melihat tubuh Firdaus. Walaupun berbaju t-shirt, badan
sasa itu kelihatan sungguh seksi apabila basah.
“Assalamualaikum!”
tiba-tiba ada seorang lelaki yang bersuara dari belakang mereka.
“Waalaikumussalam...”
Firdaus menoleh. Hana juga cuba untuk melihat siapakah lelaki itu.
Lelaki
berkopiah itu tidak keseorangan. Dia ditemani 5 orang lagi lelaki yang juga
berkopiah. Hati Firdaus mulai dilanda resah. Bimbang jika apa yang difikirkan
benar-benar kenyataan. Takkanlah mereka ini dari jabatan agama Islam? Ya Allah!
Hana
menelan liur. Dia melihat keadaan dirinya dan juga Firdaus. Dahlah basah macam
ni. Tak ada orang lain pula yang menemani! Memang mencurigakan! Hana
tergeleng-geleng. Tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Janganlah mereka
ini dari jabatan agama Islam sudah!
“Kami
dari Jabatan Agama Islam Melaka. Tumpang tanya, apa hubungan kamu berdua ni?
Suami isteri yang sah ke?” soal lelaki tadi.
Sekeping
kad ditayang di hadapan Firdaus dan Hana. Kad itu adalah kad pengenalan diri
bahawa mereka memang benar-benar dari Jabatan Agama Islam Melaka.
Firdaus
dan Hana terkesima. Apa yang ditakutkan memang benar-benar menjadi kenyataan.
Mereka gagal menjawab pertanyaan itu. Mereka terdiam dan mulai dilanda berbagai
spekulasi serta fikiran yang bukan-bukan.
“Kami...bukan
suami isteri..” getus Hana pendek. Nak menipu pun tak guna. Bukan ada bukti
pun.
“Dia..
dia jatuh laut tadi, encik! Saya tolong dia.. saya cuba nak tolong dia aje..” Firdaus
pula bersuara untuk menerangkan keadaaan sebenar yang terjadi.
Lelaki
berkopiah itu kelihatan bercakap seketika dengan teman-temannya. Selesai
bercakap, lelaki itu memegang bahu Firdaus. “Encik, sesiapa pun boleh reka
alasan macam tu. Masalah sekarang ni, encik tiada saksi dan tiada bukti. Jadi,
encik kena ikut kami.. apa-apa pun, kita bincang kat pejabat agama nanti. Jom,
ikut kami..”
“Encik,
logik ke saya nak berkhalwat dengan perempuan sehodoh ini? Fikirlah logik
sikit, encik..”
Hana
membesarkan matanya. Amboi! Tak habis-habis dengan perkataan ‘hodoh’ tu? Geram
betul Hana.
“Logik
atau tak, kita cakap kat pejabat agama saja. Jomlah,” ujar lelaki itu lagi.
Membuatkan Firdaus akur.
Firdaus
tertunduk. Rasa marah dan kecewa. Kalaulah dia tidak bertikam lidah dengan perempuan
hodoh itu tadi, tentu dia takkan kena tangkap khalwat begini. Tolong orang pun
disalah erti sebagai kesalahan khalwat! Inilah kali pertama Firdaus ditimpa
rasa malu, marah dan kecewa begini. Firdaus sangat bimbang jika imejnya
terjejas hanya kerana kes ini. Jangan sampai pihak media tahu tentang perkara
ini. Kalau tidak, habislah! Aku takkan maafkan perempuan hodoh tu! Firdaus
memang terasa bengang gila ketika ini. Wajah Hana langsung tidak mahu dipandangnya.
Terbaik...next!!! :D
ReplyDeleteterbaik...next!!! :D
ReplyDeleteAkhirnyer ader jgak citer terbaru dr kak auni..hehehe next n3 plezzz! ^_^
ReplyDeleteAlaaa..sedap2 bace dh abis. Hihihi. Tapi puas giler lah n3 pnjang mcmni! Tq kak auni! :)
ReplyDeletebestttt!! cayok2!!
ReplyDeletebest 3x nak lagi.
ReplyDeleteAda perancangan tak untuk terbitkan novel ini dalam versi cetak?
ReplyDeletewah hebat ! like it ... wuhuu ... salute lah 😊
ReplyDelete