AKU membetulkan tudung labuh yang kupakai. Angin yang bertiup agak kencang
itu membuatkanku beristighfar berulang kali. Cuaca kelihatan agak mendung,
tentu sekejap lagi hujan ni. Fikirku sendirian. Beg pakaian yang agak berat ku
usung cepat-cepat ke depan pintu apartmen baruku di kediaman perempuan Kolej
Kejuruteraan Berjaya, sebuah kolej swasta yang agak terkenal di Selangor ini.
“Assalamualaikum,” ucapku ketika melangkah masuk setelah pintu dibuka.
Sebaik memasuki apartmen tersebut, aku dapati sudah ada barang-barang yang
diletakkan berhampiranku. Tentu teman serumahku sudah sampai, baik aku pergi
tegur dulu.
Aku menjengukkan mukaku ke dalam sebuah bilik yang pintunya tidak tertutup
rapat. Mataku terbuntang ketika menyaksikan sepasang manusia yang sedang
berpelukan di atas katil. Yang perempuannya sudah berada di atas lelaki dengan
gaya menggoda. Jantungku berdebar lalu aku mengucap dan beristighfar
banyak-banyak. Apa ni? Takkan suami isteri kut? Aku mengerutkan dahi. Ini tidak
boleh jadi.
“Emm!!” aku berdeham. “Assalamualaikum!” aku memberi salam sekali lagi.
Seorang gadis seksi dan juga lelaki tadi menjengulkan kepala dari dalam
bilik memandangku. Cara pandangan mereka sungguh sinis. Aku mengentalkan hati.
“Nama saya Anis Safiyyah. Panggil aje Anis.. Emm, awak ke housemate baru saya?”
soalanku tertuju pada si gadis yang sedang menjongket sebelah keningnya.
Mungkin jelik memandang penampilanku yang bertudung labuh. Biasalah, dia kan
seksi.
“I am.. Mariam. But, my friends selalu panggil Mary je. So, call me Mary.
Okay?” Mary tersenyum kecil. Tangannya dihulur ke arahku. Aku tersenyum juga
membalas lalu berjabat tangan dengannya. Selepas bersalam seketika, mataku berkalih
pada lelaki di sebelah Mary yang sedang menghadiahkan pandangan nakal kepadaku.
Gila ke apa jantan ni? Aku ni bukan
mahram dia, yang duk jeling-jeling ushar aku bagai tu kenapa? Aku menggerutu di
dalam hati, langsung tidak sukakan pandangan lelaki itu. Pantas mukaku ku
tundukkan.
“Yang itu suami awak ye Mary?” soalku tanpa sebarang prasangka. Suamilah tu
sampai berpeluk macam tadi dalam bilik. Zaman sekarang ni pelajar pun ada yang
dah berkahwin.
Tiba-tiba Mary dan lelaki itu tertawa setelah mendengar pertanyaanku tadi.
Entah mengapalah mereka tertawa begitu kuat. “Eh, saya buat lawak ke?” bendul
giler soalan aku tika ini. Mereka melanjutkan tawa. Aku jadi bingung menghadap
kedua makhluk Allah di hadapanku yang ketawa tanpa sebab ini.
“Kenalkan ini Haizar. And hello, dear. He is not my husband. Kami hanya
couple je. Kenapa you tanya?” Mary menjawab setelah tawanya reda. Hairan dan
pelik dengan pertanyaanku barangkali. Atau dia ingat aku nak rampas lelaki tu
dari dia? Eh, mana ada. Aku ni bukan perampaslah.
Hairan tak hairan, mataku menjadi besar dan bulat selepas otakku mula
mencerna penjelasannya tadi. Bukan suami dia? Sampai berpeluk-peluk begitu,
bukan suami dia? Aku mula terasa sesak nafas. Rasa nak lempang-lempang si
lelaki itu pun ada. Berani kacau anak dara orang. Tapi, kalau bertepuk sebelah
tangan memang takkan berbunyi kan? Mestilah Mary pun salah dalam hal tadi tu.
Na’uzubillah.
“Takdelah, saya tanya je sebab dia ni boleh ada dalam rumah kita ni dan kat
dalam bilik awak.. Sepatutnya, dia bukan mahram awak atau saya. Jadi, tak elok
biar lelaki asing macam ni masuk rumah perempuan bujang macam kita ni..”
jelasku beserta teguran yang membina. Membina ke? Lantaklah, asalkan aku dah
tegur. Kalau tak tegur nanti, kena soal pula oleh Allah SWT di hari akhirat
nanti.
Wajah Mary dan Haizar berubah tegang. Aku tahu mereka terasa dengan
teguranku. Biarlah, asalkan aku tegur kerana Allah dan demi menjaga kesucian
agama Islam. Hatiku dikuatkan supaya aku mampu menentang pandangan mereka yang
jelas tidak sukakanku.
“Mary, you sanggup ke nak tinggal dengan minah kolot macam ni? I datang
tolong you angkat beg pakaian you je tadi kan. Banyak tu barang-barang you.
Sebagai boyfriend, takkan I nak biarkan you angkat sorang-sorang semua ni kut?”
Haizar mula memberi alasan. Konon-kononnya niat sebenar dia hanyalah nak
membantu Mary. Padahal... Nak ambil kesempatan jugak sebenarnya!
“Betul tu. Dia datang tolong I je. You jangan nak bersangka yang
bukan-bukan pula..” marah Mary.
“Hmm, ikut sukalah. Allah lebih tahu apa yang saya tak tahu. Jadi, lebih
baik awak suruh lelaki ni keluar. Tak elok dia berlama-lama kat dalam ni. Nanti
timbul fitnah..” tegurku lagi. Menggesa Mary supaya meminta lelaki itu keluar
dari situ.
Haizar tergelak sinis dengan kata-kataku. Dia memandang mukaku dengan tidak
percaya. Ya, mungkin aku dianggap kolot oleh mereka. Tetapi siapalah mereka
sampai nak judge aku macam tu? Biar aku nampak kolot di mata mereka, bukan
kolot di mata Allah! Aku sedang mempertahankan agama Islam. Allah je yang boleh
judge tindakan aku ni kolot atau tak!
“Dahlah, Zar. You balik la dulu. Nanti ustazah ni bising-bising tak sudah
sampai besok pagi. Nanti I call you, okay?” pujuk Mary dengan tawa kecil.
Jelingan sinis sempat dihadiahkan kepadaku.
Mary memegang tangan dan memeluk Haizar di hadapanku ketika menghantar
lelaki itu sampai ke muka pintu. Aku memalingkan wajahku ke arah lain, tidak
mahu melihat kemungkaran yang sedang berlaku.
“Assalamualaikum!” tiba-tiba ada suara perempuan yang memberi salam dari
muka pintu. Aku menoleh semula. Haizar masih belum keluar. Tubuhnya masih
memeluk tubuh Mary. Aku rasa macam nak bakar aje mamat Haizar tu. Suka-suka
hati dia je nak buat maksiat depan mata semua orang.
Tetapi kini pandanganku lebih tertumpu pada seraut wajah gadis hitam manis bertudung
melilit-lilit bagai yang berada di muka pintu bersama beg pakaiannya. Ternyata
gadis itu juga terkejut menyaksikan ‘drama telenovela’ antara Mary dan Haizar.
Mesti dia pun housemate aku juga ni. Aku mulai tersenyum kepadanya tanpa
menghiraukan lagi Haizar dan Mary.
“Waalaikumussalam! Dapat apartmen ni jugak ke?” aku bertanya sambil
menganggap Haizar dan Mary sebagai tunggul tidak bernyawa di tengah-tengah
antara aku dengan gadis hitam manis tadi.
“Okeylah, sayang. I gerak dulu. Call me later!” Haizar mencium pipi Mary
sebaik melepaskan pelukan. Selepas Mary mengangguk, dia terus berlalu dari
situ.
Blah la kau jantan. Aku cukup tak sukakan lelaki dayus begitu. Yang hanya
tahu mengambil kesempatan pada perempuan. Hmm, Ya Allah, jauhkanlah aku dari
lelaki seperti itu. Berikanlah aku jodoh baik-baik yang boleh membimbingku. Aku
sempat berdoa di dalam hati.
“Yes, apartmen ni jugak. Hai, saya Aisyah. Korang housemate baru saya ye?”
gadis hitam manis itu memperkenalkan diri. Wah, gaya berfesyen sakan. Dengan
tudung melilit-lilit, lepas tu pakai baju sendat dan berseluar jeans ketat. Dah
macam sarung nangka.
Bukan nak cakap aku ni baik sangat berpakaian proper muslimah begini,
tetapi aku kesian tengok mereka berdua. Aku hanya tersenyum hambar dan
kesedihan melihat wanita-wanita akhir zaman yang pernah digambarkan oleh
Rasulullah SAW di dalam hadisnya bahawa di akhir zaman ini wanita kebanyakannya
berpakaian tetapi pada hakikatnya bertelanjang.
-----------------------------------------------------------------------------
MARY berdandan sakan pada malam itu. Katanya hendak keluar dinner dengan
Haizar. Aku risaukan Mary tu. Anak dara keluar malam-malam macam ni, mestilah
bahaya. Aku dah berikan dia nasihat supaya menjaga diri dan maruah baik-baik.
Kita wanita ni mudah ditindas oleh lelaki-lelaki jahat. Kena selalu waspada,
terutamanya bila hidup di kawasan bandar ini.
Aisyah juga menasihati perkara yang sama kepada Mary. Alhamdulillah,
setakat aku mengenali mereka selama 2 bulan ini, tiada lagi perkara tidak
menyenangkan yang berlaku antara kami. Malah boleh dikatakan yang kami bertiga
mempunyai otak gila-gila yang sama. Orang cakap, ada chemistry la.. Tetapi aku
cukup kasihankan cara pemakaian mereka. Ada juga aku menegur tetapi mereka
hanya sekadar mengangguk sahaja. Esok-esok tengok pakai pakaian jenis yang sama
je.
“Mary, kau balik awal tau. Kau tu anak dara, jangan lambat sangat..”
pesanku kali terakhir sebelum Mary melangkah keluar dari apartmen kami.
“Hmm, tengoklah dulu. Aku ingat nak makan malam dengan Haizar lepas
clubbing nanti. Nanti aku cubalah balik awal..” Mary berkata perlahan. Mungkin
segan denganku kerana setiap kali dia hendak keluar saja, tentu aku akan
berpesan begitu kepadanya.
Aku tersenyum hambar. Kecewa kerana Mary masih mengekalkan budaya ‘clubbing’nya.
Aku sudah berkali-kali menegur tetapi dia masih tidak berubah.
Aisyah memandang Mary dengan pandangan lain macam. Aku perasan sejak
sebulan yang lepas, Aisyah sering memandang Mary begitu. Seakan-akan menyampah
dengan Mary. Kenapa agaknya? Ahh, malaslah aku nak fikir. Asalkan tiada apa-apa
masalah dalam rumah ni, kira dah okey.
“Pergilah kau clubbing. Aku baca Quran lagi bagus, dapat pahala. Kau
clubbing tu dapat dosa je. Kan baik kau stay je kat rumah ni, belajar-belajar
mengaji al-Quran dan mendekatkan diri dengan Allah macam yang aku selalu buat..”
tegur Aisyah dengan perasaan bangga diri. Namun aku tidak perasan langsung yang
dia sedang show off amal ibadat dia. Aku fikir, dia sekadar menegur Mary supaya
menjadi lebih baik.
Tapi, sedar atau tak, aku mulai perasan yang Aisyah memang selalu begitu.
Bila buat sesuatu yang baik atau beribadat, selalu saja dia nak cerita pada
orang apa yang dia buat. Bukankah itu riak namanya? Aku menggeleng-geleng
seketika.
Mary mendengus tidak berpuas hati. “Yelah, kau orang je yang baik. Aku ni
jahat!” Mary baran. Dia terus memakai kasut tumit tinggi miliknya seraya
berlalu dari situ.
Tidak sempat aku hendak menenangkan keadaan yang tegang tadi, Mary dah
hilang ke ruangan menunggu lif. Kali pertama berlaku ketidaksefahaman antara
kami. Aku jadi tidak sedap duduk. Yelah, dah elok-elok tinggal bersama selama 2
bulan ni. Ada lagi 2 bulan untuk kami bertiga jalani hidup bersama. Tak bestlah
kalau tak serasi.
“Syah, kau tak boleh macam tu..” tegurku pendek.
Aisyah menjongket bahu. “Habis tu, kalau tak tegur nanti semakin
menjadi-jadi. Kau nak biarkan je dia macam tu? Baik kita nasihatkan dia tu
supaya dia tahu hukum agama ni.. Mak bapak dia tak ajar agaknya, kan? Nasiblah
mak bapak aku ajar semuanya..”
“Syah! Kenapa kau sampai cakap bukan-bukan macam tu pasal Mary? Mana kau
tahu yang mak bapak dia tak ajar dia? Kita tak boleh paksa dia berubah. Dia
sendiri kena sedar. Islam bukan agama yang memaksa..” tegurku lagi.
Aisyah bulat mata menjelingku. “Tapi, mana boleh kita biarkan kemungkaran
berlaku depan mata. Kenalah halang!”
“Aku dah tegur, kan? Kau pun dah pernah tegur.. Biarlah Allah je yang
berikan dia hidayah, bukakan hati dia untuk berubah. Mungkin bukan sekarang
masanya, tapi di kemudian hari nanti tentu dia boleh berubah..” balasku keras.
Aku tidak sukakan cara Aisyah.
“Ahh, aku tak suka tau. Aku kalau boleh, nak rumah ni bersih dari
orang-orang yang suka buat maksiat!” kata Aisyah seperti orang yang berlagak
baik giler.
“Kita bukan Tuhan untuk merubah semuanya. Jadi, biarlah Allah je yang
tentukan. Kita dah berusaha, kan..” ujarku lembut.
“Anis, kau ni memang pelik! Alim tapi tak reti nak ajar orang supaya jadi
baik. Baik aku yang kau suka tegur pakai baju ketat-ketat ni lagi dari kau yang
pakai baju longgar-longgar bagai. Kau ingat orang yang pakai tudung labuh dan
baju longgar-longgar je yang baik dan menutup aurat? Aku pun tutup aurat dan
baik jugak..” kata Aisyah lagi dengan muka bangga.
“Syah, jauhi diri kau dari riak dan takbur..” hanya itu pesanku sebelum aku
menggeleng dan berjalan memasuki bilikku.
“Kau memang ustazah yang pelik! Siapa yang riak ni? Kau atau aku?!” jerit
Aisyah sebelum aku menutup pintu bilik.
-----------------------------------------------------------------
MARY pulang awal pada petang itu. Mungkin tiada kelas agaknya. Aku
tersenyum memandang Mary yang sudah memasuki apartmen kami. Tetapi aku hairan
memandang kotak sederhana besar yang dipegang Mary.
“Assalamualaikum,” Mary memberi salam. Sudah beberapa minggu Mary masuk
rumah dengan memberi salam. Aku bersyukur dengan perubahan Mary walaupun tidak
banyak. Sekurang-kurangnya dia sudah pandai memberi salam ketika memasuki
rumah. Dulu, haram la dia nak beri salam. Sekarang ni, alhamdulillah.
“Waalaikumussalam.. Eh, Mary.. Apa tu dalam kotak tu?” tanyaku setelah
salamnya ku jawab. Senyumanku masih mekar.
Mary juga tersenyum dan mulai duduk di sebelahku di sofa. “Ni, ada kitten
yang aku jumpa dekat tepi longkang tadi. Kesian sangat aku tengok dia.. So, aku
ambillah. Dia kurus sangat tapi sangat comel bila datang bermanja-manja dekat
aku. Mungkin dia kelaparan kut..” terang Mary seraya membuka kotak itu.
Seekor anak kucing comel yang berwarna oren keputihan kelihatan
melompat-lompat ingin keluar dari kotak berkenaan. Aku tersenyum. Indah sungguh
ciptaan Allah ini. Memang comel sangat. Inilah dia haiwan kesayangan Rasulullah
SAW. Aku ambil anak kucing itu dan letakkan ke ribaan aku. Aku pandang wajah
Mary yang sungguh teruja melihat anak kucing tersebut.
Kata ustazahku dulu, kalau manusia yang hatinya tak pernah sesekali sukakan
kucing, malah membenci kucing serta menzalimi haiwan comel tersebut, memanglah
akidah dia ada problem dan manusia tersebut perlu segera check apa yang tidak
kena pada amal ibadat mereka. Sebab hati yang menyayangi kucing ini adalah
seperti hati nabi SAW dan juga para sahabat baginda terutamanya Abu Hurairah
R.A.
Ada juga kisah di mana seorang pelacur dijanjikan syurga oleh Allah SWT
kerana hatinya begitu menyayangi haiwan. Pelacur itu hanya memberi minum kepada
seekor anjing yang dahaga lalu diampunkan dosanya berzina dan dimasukkan oleh
Allah ke syurga-Nya. Betapa Pengasih dan Pengampun Allah yang Maha Berkuasa.
“Mary.. Kau nak bela ke kitten ni?” soalku selepas beberapa ketika melihat
keterujaan Mary.
“Mestilah! Kau tahu tak, mama aku pernah cakap dekat aku yang Allah akan
datangkan kucing kepada kita kerana Allah nak uji kita sama ada kita sanggup
atau tak berkongsi rezeki kita dengan makhluk-Nya yang lain.. Lagipun, comel
ni.. Who dare to say no?” ujar Mary tersenyum gembira.
Aku terkejut mendengar ucapan Mary. Alhamdulillah. Tahu juga Mary
menghargai haiwan kesayangan Nabi SAW ini. Memang Allah telah datangkan anak
kucing ini untuk menguji Mary. Alhamdulillah, tentu ada hikmahnya Allah
mendatangkan kitten ni dalam hidup Mary..
Aisyah datang dengan tiba-tiba. “Hey, nanti kalau dia berak merata-rata,
macam mana? Busuk satu rumah ni tau. Tak silap nanti, kita yang dapat penyakit!
Dahlah, Mary. Kau pergilah buang kitten ni. Boleh kan?”
Aku mengerutkan dahi. Rupanya Aisyah mendengar perbualan antara Mary
denganku. Dan aku terkejut yang dia langsung tak sukakan kucing? Binatang
secomel ni dia boleh tak suka? Aku dah naik hairan. “Hesy, mana boleh. Kau tak
kesian ke tengok dia. Lagipun, comel apa?” marahku.
Aisyah menarik muka masam. “Tapi, aku tak sukalah kucing. Benci tau bau
busuk tahi dia. Nanti dia cakar-cakar sofa ni macam mana?”
“Aku jamin, dia takkan buat semua tu. Ni, aku nak pergi petshop. Nak
belikan dia makanan, shampu, litter box, cat litter dan segala yang diperlukan
bagi menjaga kebajikan kitten kesayanganku ini. Eh, nak namakan dia apa ek?”
Mary memandangku tanpa mempedulikan Aisyah yang mulai tergopoh-gapah memasuki
biliknya. Mungkin malas melayan kita orang yang juga malas melayan kerenahnya.
Aku tersengih. “Kita namakan dia.... Oyen! Okey tak?”
Mary tersenyum dan mengangguk. “Oyen sebab kaler dia oren kan.. Okeylah tu.
Jomlah temankan aku pergi petshop. Kurungkan kejap kitten ni dalam bilik aku..
Tak jauh pun petshop tu, so tak lama punyalah..”
“Okey!” jawabku teruja.
-------------------------------------------------------------
MARY semakin menyayangi Oyen. Sudah hampir 3 minggu Oyen tinggal di
apartmen kami menjadi indoor cat. Gemuk dah Oyen asyik makan tidur je. Mary tak
bagi Oyen keluar sebab risaukan Oyen takut hilang pulak nanti. Biasalah tinggal
di apartmen. Dah tak lama lagi nak habis semester akhir ni. Jadi, bolehlah Mary
bawa Oyen balik rumah parents dia nanti.
Dan alhamdulillah sejak kehadiran Oyen dalam hidup Mary, gadis itu sudah
jarang sangat keluar malam pergi clubbing. Memang boleh dikiralah. Macam Haizar
tu langsung dah tak penting dalam hidup dia. Oyen je yang paling penting. Banyak
masa dihabiskan di rumah sahaja bermain dengan Oyen dan menguruskan makanan
serta berak kencing kitten kesayangannya itu. Yelah, kalau tak buat semua tu
nanti si Aisyah pula akan bising-bising cakap busuk tahi kucing la, busuk
kencing kucing la... macam-macam hal. Mary dah masak sangat dah dengan perangai
Aisyah yang terlalu anti dengan Oyen.
Jadi, inilah hikmahnya Allah menghadirkan Oyen dalam hidup Mary. Supaya
Mary melupakan masa bersosialnya kerana sibuk menguruskan Oyen di rumah. Dah
macam bela anak sendirilah kalau bela kucing ni. Nabi SAW pun suruh kita bela
kucing macam jaga ahli keluarga sendiri. Makanan mesti kena cukup! Bahaya tau
kalau tak beri makan kucing dengan secukupnya. Allah SWT melemparkan seorang
perempuan ke dalam neraka kerana membela kucing tetapi tidak diberi makan
sehingga mati kebuluran. Na’uzubillah..
Suatu malam ketika hendak tidur, aku lalu di depan bilik Mary. Pintu bilik
dia pulak tidak ditutup rapat. Aku nampak dia sedang mengucup pipi Oyen ketika
anak kucing kesayangannya itu tidur di sebelahnya. Mary kelihatan sungguh
penyayang ketika itu dan aku sungguh terharu menyaksikan kasih sayang yang
terjalin antara manusia dan haiwan. Aku sendiri pun berazam ingin memiliki
kucing sendiri juga selepas tamat belajar nanti.
“Oyen jangan hilang tau. Jangan pergi dulu dari Mama. Mama sayang Oyen,”
Mary tersenyum dan mulai terlena sambil memeluk Oyen.
Aku pulak yang terharu kat sini. Air mataku yang mahu menitis, kuusap
cepat-cepat. Langkah kakiku laju menuju ke bilik.
------------------------------------------------------------------
“ANIS! Anis! Kau ada nampak Oyen tak? Aniss.. Oyen takde dalam rumah ni,
Nis. Aku risaulah.. Aku dah cari setiap tingkat kat apartmen ni. Aku cari kat
kawasan bawah-bawah tu pun takde. Macam mana ni, Anis? Aku tak bolehlah hidup
tanpa Oyen, Nis..” tangis Mary semahu-mahunya. Dia menyingkap rambutnya yang berserabut
ditiup angin sehingga menutupi mukanya.
Aku memandang sekeliling tempat meletak kenderaan itu. Tudung labuhku
dibetul-betulkan juga kerana angin bertiup agak kuat. Nak hujan ke ni? Aku
pandang ke langit yang mulai mendung walaupun waktu baru menunjukkan pukul 2
petang. Eh, nasiblah aku dah solat tadi sewaktu di kampus. Aku bergegas balik
ke apartmen selepas dihubungi Mary. Buku-buku yang mahu ku pinjam, habis ku
tinggalkan di library gara-gara risaukan Mary punya pasal. Yelah, menangis
macam baru kematian suami.
“Kau dah cari kat belakang-belakang semak tu? Manalah tahu dia tidur kat
situ sebab penat cari rumah ke..” soalanku hanya dijawab dengan anggukan Mary.
Dia lebih suka mengalirkan air mata sahaja ketika ini daripada bercakap-cakap.
Sayang betul Mary dengan Oyen. Aku pun sayangkan Oyen, tetapi aku tetap bukan
yang terapat dengan kitten comel tu. Yelah, tiap-tiap hari asyik Mary je yang
konker main dengan dia. Malam-malam pula Oyen tidur dengan Mary. Mestilah Mary
meroyan kalau bayangkan yang malam ni Oyen takde dalam dakapan dia.
“Mary, rilekslah. Kau banyakkan istighfar dan ingatkan Allah selalu. Kalau
kita ingat pada Allah, Allah pun akan ingat pada kita tau. Allah je yang tahu
kat mana Oyen sekarang ni. Kalau kau betul-betul sayangkan dia, kau kenalah
doakan supaya Allah pelihara dia kat mana saja dia berada. Dan kalaulah benar
dia masih milik kau, kau mohonlah supaya Allah kembalikan dia ke pangkuan kau..
InsyaAllah, Mary. Kau perbanyakkan membaca ayat Kursi dan menyebut ‘Ya Haqq’
masa lepas solat... InsyaAllah, Allah akan kembalikan apa yang kau hilang tu..”
pesanku panjang berjela-jela. Tetapi aku tahu Mary masih tidak mampu menerima
sebarang input ketika ini. Maklumlah tengah sedih giler. Aku hanya mampu
mengusap belakang dia menenangkan dia.
--------------------------------------------------------------
MARY semakin murung sejak kehilangan Oyen. Sudah 3 hari Oyen hilang. Mary
jadi tidak lalu makan dan stress. Hari-hari bertemankan air mata. Puas aku
memujuk dan menenangkan hati Mary namun dia tetap juga begitu. Melayan perasaan
sehingga lupa dunia. Sampaikan kelas pun dia ponteng.
“Kau ni Mary... Sudah-sudahlah tu. Aku tak boleh la tengok kau macam ni
lagi. Kau ingatlah, Mary. Allah kan ada. Waktu semua orang tak boleh nak bantu
kau, Allah je yang boleh bantu kau. Allah je yang tahu kat mana Oyen berada dan
Dia jugalah yang tahu keadaan Oyen sama ada Oyen masih hidup atau dah mati. Kau
doalah pada Allah, okey? Buat solat hajat.. Banyakkan bersabar dan berdoa.
Allah nak uji kau..” aku cuba menasihati Mary sekali lagi. Mary bungkam sahaja,
macam mayat hidup dah rupanya.
Aisyah tergelak-gelak dari jauh. Aku dah pelik dah kenapalah si Aisyah tu
nak ketawa macam tu waktu housemate tengah bersedih. “Wei, Mary. Kau tak payah
sedih-sedih. Kau pergi clubbing lagi bagus. Dapat jugak enjoy-enjoy macam dulu
kan. Duduk rumah pun bukannya kau nak baca Quran atau beribadat pun. Solat pun
aku tak pernah nampak.. Macam nilah jadi kalau dah mak bapak tak reti ajar
anak-anak hukum agama..” perli Aisyah. Dia buat muka bangga kerana dia solat
selama ini.
“Syah!” protesku cepat-cepat.
Mary terbangun dan menjeling tajam Aisyah. Air mata diseka pantas. “Kau
jangan ingat aku ni pergi clubbing dan suka enjoy ni, aku tak reti solat! Aku
tahu solat cuma dah lama aku tak solat je! Kau jangan ingat yang mak bapak aku
tak ajar semua tu, okey? Aku yang pilih jalan macam ni, so kau jangan nak
tuduh-tuduh mak bapak aku yang tak ajar. Kau faham?!”
Aisyah terkejut. Wajahnya berubah merah padam. “Kau tahu solat? Hmm, kalau
dah lama tak solat, mesti dah lupa macam mana kan? Kalau lupa, kau datang sini
belajar dengan aku. Semua jenis solat aku tau!”
“Aku tak pernah lupa dan takkan lupa! Aku dah lama nak berubah. Tapi belum
sampai lagi rasa nak berubah sepenuhnya. Aku sentiasa ada rasa nak berubah
lepas aku fikir-fikir balik apa dosa yang pernah aku buat. Tambahan lagi, lepas
aku ada Oyen ni aku banyak fikir pasal hidup aku yang penuh dosa!” tegas Mary
sesungguh hati.
Aku dah tak sedap hati melihat pertengkaran yang berlaku. Selalu aje Aisyah
ni nak menyakitkan hati Mary. Kenapa ek? Aku cukup pelik dengan perangai si
Aisyah ni. Depan aku punyalah baik, pandai agama. Depan Mary pula, suka
rendahkan Mary hanya kerana Mary suka free hair dan bersosial. Dia tak tahu ke
dalam agama Islam ni, kita tak boleh merendah-rendahkan orang lain dan
menganggap diri sendiri terlalu sempurna.
Inilah jadinya bila ilmu agama yang ada, tidak ditambah menjadi lebih
banyak. Hanya berbekalkan ilmu yang sedikit saja yang pernah dipelajari sewaktu
di sekolah-sekolah dulu walhal ilmu agama Islam ini sebenarnya begitu meluas
jika dikaji isi al-Quran itu. Jadinya, manusia begini hanyalah seorang yang jahil
je banyak dari tahu serba-serbi.
“Sudahlah tu, Syah. Kau pergilah masuk bilik. Banyakkan istighfar. Tak elok
kau rendah-rendahkan orang lain dan membangga-banggakan diri kau tu. Allah tak
suka hamba-hambaNya yang riak dan takbur..” nasihatku kepada Aisyah.
Aisyah menjelingku lalu mengalihkan jelingannya ke arah Mary pula. Dia
menarik muka masam dan terus memasuki bilik. Aku tahu dia tidak berpuas hati
dengan kami. Tak apalah jika ketegangan yang berlaku dapat dileraikan. Aku
hanya mengharapkan Aisyah akan berubah. Mary pun dah cuba nak berubah. Aku
tahulah, sebab aku sendiri yang menyaksikan perubahan Mary walaupun sedikit
demi sedikit. Kehadiran Oyen memang membawa banyak hikmah di dalam hidup Mary.
Allah sedang memanggil Mary supaya pulang ke pangkal jalan. Aku tahu itu.
----------------------------------------------------------------
AKU berjalan ke dapur kerana dahaga. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.
Tekakku dahaga sangat dan aku pun menelan segelas air masak. Alhamdulillah, dah
lega rasanya tekakku ini. Rasa macam segar pulak. Baik aku buat solat tahajud
dah alang-alang terjaga ni. Segar mata pulak tu. Ini tentu Allah yang panggilku
supaya melakukan amal ibadah kepada-Nya ketika tengah malam begini.
Alhamdulillah kuucapkan lagi. Syukur ke hadrat Allah kerana telah memberikanku
peluang untuk melakukan tahajud pada malam ini juga setelah 3 malam
berturut-turut dalam minggu ini aku bertahajud. Itu pun kerana aku terjaga dan
tiba-tiba menjadi segar pada waktu-waktu semua manusia sedang nyenyak tidur.
Tiba-tiba aku terdengar suara esak tangis seseorang. Datang dari bilik
Mary. Biasalah, nak dijadikan cerita, si Mary ni bukan reti tutup pintu bilik
dia rapat-rapat. Sebab tulah aku selalu saja terrrrrrintai macam ni. Terrr,
okey. Bukan sengaja. Huhuhu.. So, aku pun macam biasalah. Cuba nak tahu apa
yang berlaku. Aku dekatkan muka dan mata aku di pintu bilik Mary yang tidak
tertutup rapat.
Aku nampak dia lengkap bertelekung. Sedang sujud di atas sejadah sambil
menangis teresak-esak. Solat hajat kut.. Sebab sujud lama sangat. Lama sujud,
Mary bangun duduk di antara dua sujud. Kemudian memberi salam tidak lama
selepas itu. Aku dapat menangkap beberapa butir ayat daripada doa Mary selepas
solat.
“Ya Allah, hanya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar rintihan hatiku.
Temukanlah Oyen denganku semula jika benarlah dia milikku sehingga ke hujung
nyawa kami. Jika dia bukan milikku lagi selepas ini, Engkau temukanlah dia
dengan orang yang boleh menjaga dia lebih baik dari aku menjaga dia.
Sesungguhnya aku teramat sayangkan Oyen. Aku sayangkan dia kerana-Mu, ya Allah.
Hanya Engkau yang tahu betapa sayangnya aku kepada Oyen. Tetapi ya Allah, jika
dia telah mati, Engkau tabahkanlah hatiku agar aku tidak ternanti-nanti lagi
kepulangannya ke sisiku. Buatkanlah hatiku berasa tenang, setenang dia di
sana... aminn..” esakan Mary bergema.
Aku menahan air mataku. Aku sungguh terharu dapat melihat Mary bertelekung
dan menunaikan solat di tengah-tengah malam, di waktu insan-insan lain sedang
sedap-sedap tidur. Alhamdulillah, detikku di dalam hati. Jadi benarlah apa yang
Mary cakapkan petang tadi bahawa dia tahu bersolat dan takkan pernah
lupakannya. Cuma Mary tersesat seketika, itu yang membuatkan dia sudah lama
tidak menunaikan solat. Ya Allah... Hidayah-Mu ada di mana-mana dan ada pada
setiap insan yang Engkau pilih. Beruntunglah Mary.. Alhamdulillah. Ya Allah,
Engkau tunaikanlah permintaan Mary kerana hanya Engkau sahaja yang Maha
Mengetahui bahawa dia memang benar-benar berharap dan berserah kepada-Mu.
Amin..
-----------------------------------------------------------
SUDAH 5 hari Oyen hilang. Dan aku tahu setiap malam Mary mengerjakan solat
sunat hajat serta bertawakal kepada Allah. Aku dapat lihat ketabahan yang mulai
terbentuk pada raut wajah Mary. Ada cahaya yang nampak berbeza dari sebelum ini
pada wajah gadis cantik itu. Walaupun dia masih tidak bertudung, aku yakin yang
tidak lama lagi Mary akan menutup rambutnya itu. Allah kan ada. Aku tahu Mary
juga sudah mulai sedar bahawa Allah itu sentiasa ada. Mary pun dah mula pergi
ke kelas balik sejak kelmarin.
Aku ke rumah kawan aku di apartmen lain yang berdekatan juga dengan kampus.
Selepas berbincang tentang projek akhir, aku mulai turun ke parking lot. Di
sebelah parking lot itu, aku nampak ada warung kedai mamak. Aku rasa sedikit
dahaga, jadi aku ke situ untuk membeli milo ais. Best ni tengah-tengah hari
dapat pekena milo ais! Aku tersengih.
“Satu ringgit tujuh puluh sen saja, adik manis..” kata mamak itu selepas
menyuakanku air milo ais yang sudah dibungkusnya.
“Wah, takde diskaun ke mamak?” saja aku bergurau dengan mamak tu.
“Itu sudah kasi diskaun sama you, adik manis. Sebab you manislah I kasi
diskaun!” seloroh mamak itu pula.
Aku hanya tersengih macam kerang busuk. “Okeylah mamak, saya gerak dululah..”
“Eh, sekejap adik manis. Ini I mau tanya sama you. You mau bela kucing tak?
Ini anak kucing siapalah sesat mari sini.. Eh, bukan sesat. Tapi ada orang
buang sini.. Aiyoyo.. Banyak susah mau buat kerja oo.. Dia asyik kacau daun
saja laa.. You kan adik manis yang baik punya orang. Mesti you sayang kucing
kan?” mamak itu berkata panjang lebar.
Aku mulai rasa lain macam. Aku toleh ke muka mamak itu yang dah
tersenyum-senyum. Gigi dia, mak aiii... Putih macam baru lepas kena clorox.
Cantik tersusun gitu. Rasa-rasanya kalah gigi aku yang comel ni. Ehhh.. Apa
pulak cerita pasal gigi mamak ni. Cerita balik pasal kucing tadi. Aku toleh ke
arah mamak tu dengan kening yang terangkat. “Anak kucing kaler apa mamak?”
“Hmm.. Itu kaler.. Oren la.. Banyak cantik punya. Kucing orang bela tu
sebab ada pakai rantai loceng..” terang mamak itu lagi.
Aku telan air liur. Eh, macam Oyen plak description yang mamak ni bagi. “Collar
la mamak. Hehe..”
“Haa.. itu orang panggil collar ya? Alaa, lantaklah. Tapi, kucing tu banyak
manis macam adik manis jugalah. Ambillah dia, bawa pergi bela..” pujuk mamak
itu lagi tanpa putus asa.
Aku pun dah mulai syak wasangka. Oyen la ni kut. Aku pandang tepat ke muka
mamak tu. “Mana dia, mamak? Kawan saya ada hilang kucing jugak. Kaler Oren..”
“Ohh, kalau macam tu.. Itu la kucing kawan adik manis tu!”
“Hesy, saya kena pastikan dulu. Kalau betul, saya nak call kawan saya
sekarang ni jugak,” ujarku tanpa berlengah. Aku mulai menjengulkan kepala ke
kiri kanan depan belakang. Mencari-cari kucing yang dimaksudkan.
“Oyennn... Meh sini meh.. Auntie Anis ni.. Oyennnnn..” aku panggil Oyen.
Manalah tau, betul yang tu Oyen.
Tengok-tengok, memang betul pun yang tu Oyen. Berlari-lari Oyen datang
mendapatkan aku. Terus melompat nak naik atas ribaan aku bila aku mula duduk
melutut. Memanglah dia kenal lagi aku yang selalu jugak main dengan dia. Mesti
dia kenal bau aku. Subhanallah! Kuasa Allah semua ni. Doa Mary dah termakbul.
Alhamdulillah. Kalau nak kata kebetulan ni, payah. Sebab Oyen ditemui beberapa
kilometer jauh jugak dari apartmen kita orang. Allah Maha Besar dan Maha
Mendengar. Aku terus telefon Mary.
Sebelum balik, aku ada tanya mamak tu mengenai kehadiran Oyen dekat situ.
Mamak tu cakap, dia nampak orang buang kat situ. Seorang perempuan melayu yang
pakai tudung melilit-lilit. Hitam manis. Lepas tu, pakai baju sendat-sendat. Ada
tahi lalat hidup kat tepi hidung. Sahlah.. Aisyah. Apalah kena dengan si Aisyah
ni agaknya? Aku sangat pelik dengan sikap Aisyah ni.
Mary menangis-nangis sebaik sahaja berjumpa Oyen. Dipeluk, dicium kucing
kesayangannya itu sepuas hati. Terus dia berikan Oyen makanan. Mary tanya aku
apa yang berlaku. Aku cakap je yang aku kebetulan jumpa Oyen kat situ. Sengaja
aku tak cerita pasal kemungkinan Aisyah yang buang Oyen kat situ. Aduh, gawat
ni. Aisyah ni pun satu. Kenapa nak buang kucing yang bukan milik dia pun.
Lagipun, apalah salah Oyen tu? Nak kata berak kencing kat bilik dia, tak pulak.
Semuanya kat dalam bilik Mary. Cuma makanan Oyen saja yang Mary letakkan kat
dapur.
Aku rasa, Mary pun tahu bahawa doanya telah didengar oleh Allah kerana aku
dapat dengar dengan jelas dia mengucapkan ‘alhamdulillah’. Aku juga turut
bersyukur dan gembira kerana Allah telah menemukan semula Mary dengan Oyen.
-------------------------------------------------------------------
AKU terjaga lagi pada pukul 3 pagi. Dan aku juga terrrrr lagi dengar Mary
berdoa di dalam bilik dia pada malam ini. Aku yakin Mary dah mula menjadikan
tabiat bangun malam ini sebagai rutinnya.
“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa. Engkau Maha
Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mendengar
rintihan hati hamba-Mu yang lemah dan hina ini. Ya Tuhan, aku bertaubat
daripada melakukan segala kemungkaran yang telah aku lakukan. Terlalu banyak
dosa-dosaku, ya Allah. Ampunilah aku, wahai Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha
Menerima Taubat. Aku bertaubat! Ya Allah, aku sedari hikmah Engkau mendatangkan
Oyen dalam kehidupanku. Engkau ingin mengujiku lantas menarikku semula ke
jalan-Mu. Aku sedar semua itu sekarang ni. Betapa Engkau menyayangiku sedangkan
aku selama ini lalai dan selalu melupakan-Mu. Aku bersyukur kerana masih
diberikan kesempatan ini untuk bertaubat dan beramal di jalan-Mu. Janganlah
Engkau biarkan aku tersesat lagi dari jalan-Mu kerana aku adalah hamba-Mu yang
sangat-sangat lemah dan hina di sisi-Mu. Aku mudah alpa dengan tipu daya
duniawi ini. Aku mudah termakan dengan tipu daya syaitan yang direjam.
Lindungilah aku dari tipu daya syaitan serta godaan nafsu yang selalu membawaku
ke arah kemaksiatan. Jauhilah aku dari sifat-sifat mazmumah yang boleh
menghalangku dari mencintai-Mu, ya Allah. Lindungilah aku dari azab kubur dan
juga azab api neraka-Mu. Terimalah taubatku, ya Tuhan yang Maha Pengasih. Aku
bertaubat!” Mary menangis semahu-mahunya.
Aku yang menyaksikan semua itu turut mengalirkan air mata. Apa yang terjadi
membuatkan aku lebih menghayati keindahan iman yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Hidayah Allah hanya untuk insan-insan terpilih. Allah sentiasa memberikan
hidayah dengan menggerakkan hati sebahagian besar manusia supaya terdetik rasa
ingin bertaubat tetapi manusia-manusia itu selalu tidak menyedarinya dan terus
mengabaikan signal hidayah dari Allah itu.
Hanya insan-insan terpilih itu sahaja yang berjaya mengharungi semua dugaan
dengan tabah dan akhirnya menggapai puncak keimanan yang tiada tara
tandingannya di dunia ini. Diri terasa dekat dengan Allah SWT, bukankah itu
perasaan terindah yang mahu dirasai oleh semua mukmin yang sejati?
Ya Allah, Engkau kekalkanlah diriku di dalam hidayah-Mu. Janganlah Engkau
biarkan aku alpa walau sesaat pun. Engkau sahaja yang ada denganku saat orang
lain tidak ada. Engkau lebih menyayangi ibu bapaku dan mengambil mereka dariku,
tetapi Engkau tidak pernah meninggalkanku. Engkaulah pemeliharaku selama ini. Cukuplah
Engkau ada untukku, ya Allah. Air mataku terus mengalir kerana perasaan cintaku
semakin bercambah buat Allah SWT, Tuhan semesta alam.
-------------------------------------------------------------
AKU nampak ada perubahan pada bentuk tubuh Aisyah. Dia semakin berisi.
Selain itu, wajahnya jelas murung. Dia selalu saja baran dan naik angin.
Terutamanya pada Mary. Dia bencikan Mary yang sudah mulai bertudung dan belajar
memakai pakaian yang longgar. Mary sudah tidak seperti dulu. Mary nampak tenang
dan lebih yakin untuk berubah. Dia sudah lama tidak clubbing, sejak masih tidak
bertudung lagi. Itu yang membuatkan Aisyah cukup bencikan Mary. Lain yang
diharap, lain pula yang jadi.
Dia harapkan untuk nampak baik di mataku dan orang lain. Dan dia harapkan
Mary nampak jahat dan jalang di mataku dan mata orang lain. Sekarang, segalanya
sudah terbalik. Mary sudah berubah. Dia juga berubah, tetapi berubah menjadi
seseorang yang dia sendiri tidak mahu.
Aisyah berasa loya lalu berlari-lari ke sinki. Aku dan Mary berpandangan
sesama kami. Hairan dengan Aisyah yang nampak sakit. Wajah Aisyah pucat lesi.
Aku bangun menghampiri Aisyah dan mengusap tengah belakangnya. Biasanya itulah
yang orang selalu lakukan untuk orang yang sedang muntah-muntah. Aku berasa
risau kerana Aisyah tidak pernah sakit selama kami tinggal bersama.
“Kau okey ke, Syah?” soalku risau.
Aisyah mendengus. “Aku okeylah!” dia menepis tanganku yang sedang mengusap
lembut belakangnya.
Aku tergamam dengan kelakuan Aisyah. “Jom kita ke klinik. Muka kau
pucatlah, Syah..” pujukku.
Mary datang ke arah kami dan turut menyentuh bahu Aisyah. “Jomlah, Syah.
Kita ke klinik ya?”
Aisyah terjerit kecil. Dia menepis tangan Mary juga. Dadanya kelihatan
berombak kencang. Dia muntah sekali lagi, rasa mual sungguh kuat ketika ini.
Aku dan Mary berpandangan lagi. Kami mulai pelik tetapi tidak mahu berfikir yang
bukan-bukan. Takkanlah Aisyah mengandung tanpa bernikah. Tak mungkin! Aku
segera menolak sangkaan buruk itu jauh-jauh seraya beristighfar berkali-kali.
“Hey! Kalau kau dah berubah sekalipun, hati kau tetap hitam, busuk! Kau tak
payah nak tunjuk baik hati kat sinilah, Mary!” jerit Aisyah kuat. Dia kelihatan
sungguh tertekan.
“Syah! Kenapa dengan kau ni? Please stop it!” potongku cepat-cepat.
“Kau pun samalah, Anis! Kau pura-pura je baik selama ni kan? Kau tu yang
riak, bukan aku!” tempik Aisyah lagi dengan lebih kuat.
Aku dan Mary beristighfar berulang kali. Apa dah kena dengan Aisyah pada
malam ini? Aku berasa tidak sedap hati. Sangat tidak sedap hati. Bagai ada
sesuatu yang akan berlaku pada malam ini. Sesuatu yang buruk. Na’uzubillah. “Bawak
mengucap, Syah. Kau dah melampau..” kataku lagi.
“Ahhh! Kau tak payah lagi nak pura-pura! Kau orang yang berpura-pura tu...
bukan aku! Aku yang terbaik antara kita. Sebab tulah Haizar pilih aku!” Aisyah
memecahkan tembelangnya sendiri.
Mary dan aku kembali berpandangan. Haizar? Apa kena dengan Haizar pulak ni?
Aku membayangkan semula wajah mamat gila itu. Na’uzubillah. Mintak Allah
simpangkan daripada berjodoh dengan lelaki seperti itu.
Mary membesarkan matanya. Di dalam hati, Mary juga sedar yang Haizar
sekadar inginkan tubuhnya sahaja. Nasiblah Mary tidak sampai terlanjur dengan
Haizar tempoh hari. Nasiblah Allah telah menghantar gadis bernama Anis Safiyyah
sebagai penyelamatnya pada waktu itu. Terima kasih, ya Allah.. Bisik Mary di
dalam hati.
Aku memandang Aisyah. “Haizar? Kau ada apa-apa dengan dia ke? Kau jangan
dekati dia..”
Aisyah ketawa. “Apa kau tau? Dia bagi aku segalanya yang aku nak.. Dan aku
dah bagi dia segala-galanya yang dia nak..”
Mary berasa tidak sedap hati. “Maksud kau, Syah?”
“Ya, aku dah bagi semuanya. Dan sekarang ni, aku akan beri dia tanda cinta
kami. Sebagai hadiah kesetiaan dia... Sepatutnya tadi dia cakap ‘ya’. Tapi..
tadi.. Dia... suruh aku gugurkan pulak..” Aisyah tertawa kecil, dah macam orang
yang sasau.
Aku rasa tidak percaya mendengar pengakuan Aisyah. Ya Tuhan! Aku pula dah
rasa nak pengsan. “Astaghfirullahal’azimm, Syah! Apa kau dah buat, Syah?!” aku
menepuk bahu Aisyah yang berada tidak jauh dariku. Aku sangat kecewa dengan
Aisyah. Tentu ibu bapa Aisyah lagilah kecewa jika mengetahui tentang hal ini.
“Aku sukakan Haizar sejak pertama kali aku nampak dia lagi kat dalam
apartmen ni dengan Mary.. Aku cuba semuanya yang termampu nak miliki dia.. Tak
sangka, sebab dah bosan dengan Mary yang dah tak mahu layan dia, akhirnya dia
nampak jugak aku ni. Barulah dia tau aku ni yang paling terbaik. Baik dari
Mary...” Aisyah tertawa lagi. Dia memegang kepalanya yang tiba-tiba berdenyut.
Mary menggeleng-geleng tidak percaya. Dia cuba bertenang. Keselamatan
Aisyah dan kandungannya lebih utama ketika ini. “Syah, kau duduk dulu kat sofa.
Bahaya kau bergerak-gerak macam ni..”
“Jangan sentuh aku!” Aisyah cuba mengelak apabila Mary cuba memegang
bahunya.
Aku memandang Aisyah dengan perasaan sedih dan kecewa. “Syah, kenapalah kau
buat macam ni? Apa perasaan mak bapak kau kalau dapat tahu pasal ni? Malu dia
orang nanti. Kau pun takkan tak malu dengan orang? Kau tak malu pada Allah ke, Syah?”
aku mulai sebak.
Aisyah menarik muka tidak puas hati. Dia berlari ke arah pintu rumah.
Hendak keluar dari rumah dan apartmen itu. Malas lagi dia hendak mendengar
celoteh kedua insan yang bernama Siti Mariam dan Anis Safiyyah itu. Dia berlari
tidak tentu arah ke arah tangga kerana menunggu lif yang lambat sampai. Mary
dan aku segera mengejar dia dengan seberapa daya yang mungkin. Bimbang sesuatu
yang buruk terjadi pada dia.
Akhirnya, apa yang aku bimbangkan dan perasaan tidak sedap hati yang aku
rasai tadi berlaku juga. Aisyah tergelincir dan jatuh tergolek di atas tangga.
Dari anak tangga teratas sampailah ke bawah. Adalah dalam 20 anak tangga untuk
ke tingkat bawah dari tingkat ini. Ya Allah! Selamatkanlah Aisyah! Aku menangis
teresak-esak seraya berlari mendapatkan dia. Mary turut membontotiku.
Darah merah yang pekat mengalir dari celah paha dan juga berlumuran di
seluruh wajah Aisyah membuatkan aku dan Mary berasa panik. Tidak tertanggung
rasanya kepayahan di dalam hatiku untuk mempercayai apa yang baru sahaja
berlaku kerana semuanya berlaku hanya dalam sekelip mata.
Bibir Aisyah terketar-ketar, kepalanya dibanjiri darah merah. Nampak macam
Aisyah sudah nyawa-nyawa ikan. Ya Allah... Jika inilah pengakhirannya, Engkau
ampunkanlah segala dosa-dosa kawanku ini.. Aku memandang Mary yang turut
menangis di sebelahku. Kami sangat sedih! Mary segera mengeluarkan telefon
bimbit dari dalam kocek seluar slacknya. Dia menghubungi ambulan.
“Ma.. Mar.. Mary...” panggil Aisyah terketar-ketar.
Mary memandang Aisyah dan mengangguk. Air matanya dibiarkan mengalir sepi
ke pipi. “Ya, Syah? Shh.. Sabar, okey. Aku dah panggil ambulan. Kau tahan kejap
je ni. Kejap je lagi ambulan sampai..” ucap Mary, cuba memberikan kekuatan buat
Aisyah. Mary mengigit bibir, cuba tabahkan hati.
Aisyah menggeleng dua kali dengan cukup lemah. Kemudian dia cuba mengukir
senyum namun hambar. “Aku.. minta.. ampun.. yaaa..?” Aisyah menggenggam jemari
Mary.
Aku tidak dapat menahan perasaan sayu. Air mataku semakin galak mengalir ke
pipi. Aku tidak dapat membayangkan kesakitan yang dialami Aisyah ketika ini.
Ketika nyawa sudah hampir bercerai dari badan. Ketika malaikat Izrail sedang
mula menjalankan tugasnya mencabut nyawa Aisyah.. Tidak sanggup aku melihat
penderitaan Aisyah ketika ini. Ya Allah, ringankanlah penderitaan kawanku ini..
Mary mengangguk-angguk. “Aku maafkan kau, Syah.. Kau jangan risau lagi. Kau
pergilah dengan aman.. Aku tak pernah pun tak maafkan kau. Setiap malam sebelum
tidur, aku dah maafkan semua kesalahan orang dekat aku..” ujar Mary lemah. Air
mata Mary terbit lagi.
Aisyah menarik nafas dalam-dalam. Dia memandangku pula. Aku memegang
pipinya dan mengangguk. “A.. Anis.. Sorry..”
Aku pula yang mengangguk lemah. “I forgive you, my friend. Kau jangan
risau. Aku sentiasa akan mendoakan kau.. Mengucap, Syah...” ujarku sayu.
Selepas beberapa ketika aku mengajarkan Aisyah mengucap, dia pun
menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ. Tidak sempat pun ambulan sampai.
Ya Allah, Engkau cucurilah rahmat ke atas roh Aisyah. Ampunilah segala
dosa-dosanya. Ringankanlah azab-Mu ke atas dia. Tempatkanlah dia di kalangan
orang-orang yang Engkau redhai. Aminn..
Mary dan aku mengelap air mata. Tidak mahu menyeksa roh Aisyah yang sudah
tiada lagi di dalam jasadnya yang kaku. Semoga rohnya aman di sana.
-------------------------------------------------------
Akhir kata dariku, setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Sebagai
manusia yang diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini, tujuan hidup kita
hanyalah satu. Beribadah dan beramal di jalan Allah SWT. Itulah tujuannya kita
hidup di dunia yang sementara ini. Dunia yang sebenar-benarnya bagi sekalian
manusia hanyalah akhirat. Di sanalah kita akan kekal hidup buat selama-lamanya.
Dan sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan.
Tetapi kesilapan bukanlah bermakna yang kita sudah tersilap buat
selama-lamanya. Daripada kesilapan itulah kita boleh mencari balik jalan
kembali supaya kita terus berjaya. Berjaya memperolehi hidayah yang
dicari-cari. Hidayah Allah SWT ini, hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang
dikehendaki-Nya.
Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Pengampun. Jika kita tersilap langkah,
mohonlah keampunan dengan bertaubat. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam
golongan yang dipilih oleh Allah SWT untuk kekal berada di dalam hidayah-Nya.
Insya-Allah.
p/s : apa yg baik semuanya dari Allah... yg buruk adalah dari diri saya sendiri sebagai manusia yg lemah... apa yang tak betul, silalah tegur ek.. saya ni bukan tau sangat pun. hanya berharap garapan cerpen ini mampu menggerakkan hati pembaca... Lillahi.. :')
speechless.. :')
ReplyDeletemanusia boleh berubah sekelip mata sahaja...
ReplyDeletesubhanallah
ReplyDelete(",)...best....n tahniah penulis...citer ni pnh dgn pengajaran...(@_@)..
ReplyDeletepadat dgn pengajaran....tahniah cik writer~~
ReplyDeletePenuh dengan pengajaran..Alhamdulillah..tidak sia2 saya baca:)
ReplyDeletethanks kpd yg sudi komen... :')
ReplyDeletethanks sis..best & pnuh pngajarannye! tahniah sis..truskn berdakwah melalui pnulisan! =)
ReplyDeletegud job dek...banyak hikmah nye andai readers leh wat iktibar di dalam ceritu u dek...ape yg baik pasti dari nye yg maha Esa.segala keburukan dari kite sendiri.so baik berpada pada n berjahat hati tu cuba lah jauhi.yg baik kite titip wat panduan....suka dek pendekatan u bagai satu pengajaran.
ReplyDeleteMksod "Tiada pksaan dlam agma islam" itu adlah hnye ntok org bkan Islam .. ^^
ReplyDelete